Kawan, saya juga seorang ibu. Kadang-kadang saya merasakan sangat sukar dan berat menyandang gelaran seorang ibu. Namun, sesukar mana pun saya ada lagi orang lain yang lebih sukar berbanding saya.

Sudahnya, dalam diam saya menyedari yang ‘kasih sayang’ Allah terhadap hambaNya tidak pernah berkurang dan ia datang dari pelbagai sudut. Kita cuma perlu bersyukur dengan apa sahaja yang didatangi kepada kita. Samada baik mahupun sebaliknya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kisah ini agak panjang. Luangkanlah sedikit masa untuk membacanya. Tapi bacalah dengan mata hati agar ia menjadi ibrah untuk kita semua sebagai ibubapa.

Kongsilah jika anda juga merasakan dengan perkongsian itu dapat membawa manafaat kepada orang lain. InsyaAllah saya halalkan.

Dalam satu acara baru-baru ini, saya telah didatangi seorang ibu. Saya kira wanita ini berusia di awal 40an.

Pada permulaannya kami cuma berbual kosong tentang anak-anak. Kemudian beliau mula bertanyakan saya bagaimana bermulanya kerjaya saya sebagai Kaunselor Penyusuan Susu Ibu.

Katanya beliau minat untuk menyertai saya. Sudah tentulah saya gembira. Makin bertambahlah pencinta dan pejuang susu ibu nanti.

“Kerja saya sekarang sangat sibuk Puan Sue. Saya mengaku… saya tak sempat untuk beri perhatian kepada anak-anak kerana terlalu sibuk. Dari anak-anak kecil lagi hinggalah sekarang, terkejar-kejarnya tetap juga sama. Bila anak-anak makin membesar, saya merasakan makin jauh dengan mereka”, luahnya perlahan.

“Waktu mereka kecil dulu, saya tidak perasan yang anak sulung saya ni sebenarnya memendam perasaan terhadap kami. Bila meningkat remaja dia mula memberontak. Kami umpama musuh. Saya sudah tak tahu lagi macamana hendak tangani anak itu. Hanya pada Allah saya berdoa”, tutur beliau sambil menahan air mata.

Sebenarnya saya tidak tahu hendak respon bagaimana pada ibu ini. Saya bukanlah pakar dalam hal-hal keibubapaan ni. Anak-anak saya masih lagi kecil dan masih lagi di fasa yang senang untuk ditangani.

Perjalanan saya sebagai ibu, masih lagi jauh kehadapan. Tidak terjangkau apa yang bakal saya tempuhi nanti. Saya pun tidak tahu kenapa saya yang dipilih oleh ibu ini untuk berkongsi rasa.

Jadi saya memilih untuk menjadi pendengar sahaja dulu. Namun, sebagai seorang kaunselor, seboleh mungkin saya cuba mendalami isi hati ibu ini dan meletakkan diri saya ditempat beliau.

“Saya faham perasaan Puan. Kita tidak boleh hendak elak untuk berasa sedih apabila apa yang kita harapkan tidak berlaku seperti yang diimpikan. Ini pula melibatkan hal anak-anak kan Puan.

Mungkin Puan ingin kongsikan dengan saya kenapa Puan rasa yang anak Puan makin jauh dengan Puan.” Saya cuba mengorek cerita. Manalah tahu kalau-kalau saya dapat membantu.

Ibu tadi terdiam seketika sambil menarik nafas. Mencari kekuatan untuk bercerita.

“Semuanya bermula tiga tahun tahun sudah. Anak saya berjaya mendapat keputusan yang bagus dalam peperiksaan. Dia meminta saya membelikannya hadiah yang saya tidak mampu untuk membelinya. Duit saya cukup-cukup sahaja setiap bulan.”

“Saya cakap yang saya tak ada duit. Anak saya tidak dapat menerima alasan saya. Dia marah-marah. Saya tidak pedulikan perasaan dia pada ketika itu. Yang saya tahu, saya perlu berjimat cermat menjaga kewangan keluarga kerana gaji suami juga tidak sebesar mana.”

“Bermula dari situlah anak saya mula memberontak. Dia buat endah tak endah sahaja bila saya cakap. Kalau bercakap sekalipun apa yang perlu sahaja. Dia jadi seorang yang pendendam dan pemarah. Pelajarannya juga kian merosot. Tak lagi pandai macam dia di sekolah rendah dulu.”

“Semua itu saya boleh terima lagi Puan Sue. Pada saya ini mungkin peralihan ke alam remaja. Sehinggalah satu hari itu, saya ada menegurnya tentang satu perkara. Dia sangat marah pada saya.”

“Kami bertikam lidah. Tanpa disangka-sangka anak saya ini mencapai sebilah pisau yang berhampiran dengannya. Dia pegang kemas pisau tu, angkat tinggi-tinggi seperti hendak tikam saya. Saya terkedu dan terkejut.”

“Saya terketar-ketar. Bukan saya takut. Tapi saya tak sangka yang mengangkat pisau di hadapan saya ini adalah anak yang saya kandung. Anak yang saya susui sehingga 2 tahun. Saya pasrah andainya ditakdirkan saat itu saya mati ditangan anak sendiri.”

“Saya beranikan diri. Melangkah setapak sangat hampir kepada dia. Saya pegang tangan dia yang memegang pisau itu. Kemas. Saya cakap:

“Abang…. Cuba tengok mata ibu ni Abang. Ini Ibuuu. Ibuuu… Abang. Tolonglah Ibu, Abang. Tolonglah. Janganlah buat Ibu macam ni. Abang dah tak sayang ibu ke?

Kalau Abang tak sayangkan Ibu sekalipun… tak apa Bang. Ibu terima. Ibu redha. Tapi tolonglah kasihan pada adik-adik Abang. Diorang kecik lagi… diorang perlukan Ibu. Bagaimanalah hidup diorang nanti kalau tak ada Ibu. Tolonglah Ibu… Abang.”

Mendayu-dayu suara ibu itu bercerita. Tersekat-sekat pertuturannya kerana beliau bercerita sambil tersedu-sedu. Sungguh saya tidak mampu untuk mendengar cerita-cerita sedih seumpama ini disajikan kepada saya.

Ya, saya Ratu Air Mata. Kesudahannya tangisan saya yang lagi hebat dari wanita itu.

Selama ini saya hanya melihat di TV dan mendengar cerita tentang ibu yang dibunuh anaknya sendiri. Kebanyakannya berpunca dari gangguan mental.

Tetapi hari ini saya berbual sendiri dengan ibu yang HAMPIR dibunuh anaknya. Anak yang masih lagi berusia setahun jagung. Allah Ya Allah berat sungguh ujian ibu ini dalam membesarkan anaknya.

“Saya ulang-ulang ayat itu berkali-kali. Alhamdulillah Puan Sue dia dengar juga rayuan saya. Akhirnya dia turunkan tangan dia dan campak pisau tu. Terus lari masuk bilik, tak bercakap sepatah pun.”

“Saya terduduk kat situ juga. Saya sangat-sangat sedih. Tak pernah saya rasa sekecewa ini. Saya gagal menjadi ibu dan mendidik anak saya. Saya gagal Puan Sue.”

“Tambah lagi sedih bila saya mengadu pada suami, saya pula yang dipersalahkan kerana tak pandai jaga anak. Apalah nasib saya Puan Sue. Saya rasa tak ada nilai lagi hidup saya ini.” Sudahi beliau sambil menyapu air mata.

Saya genggam tangan ibu ini menghulurkan sedikit semangat. Perlahan saya bersuara.

“Saya bersimpati atas apa yang Puan lalui. Dan saya kagum kerana Puan seorang ibu yang hebat dan tabah.”

“Kalau dikira pengalaman, saya ni bukanlah orang yang layak untuk memberi nasihat kepada Puan. Saya belum lagi sampai 10 tahun menjadi ibu. Malah saya juga bukan penceramah motivasi.

Tapi saya anak kepada seorang Cikgu yang juga seorang penceramah motivasi keibubapaan semasa hayatnya dulu. Izinkan saya berkongsi serba sedikit ilmu yang saya kutip daripada arwah Abah saya dulu.”

“Apa yang saya perhati dan alami, Abah saya sangat ‘murah’ dengan kata-kata MAAF dan TERIMA KASIH. Walau sekecil-kecil kesalahan, Abah saya dengan mudahnya menuturkan MAAF kepada anak-anaknya.

Begitu juga dengan perkataan TERIMA KASIH, sangat ringan di bibir dia. Setiap kali menelefon ke kampung dan bercakap dengannya, pasti Abah ucapkan TERIMA KASIH kerana menghubungi. Padahal itu sebahagian daripada tanggungjawab kita sebagai anak.”

“Dulu saya tak terkesan apa-apa pun dengan dua perkataan ini. Tapi bila sudah menjadi ibu ni saya akui yang dua perkataan ini ada keramatnya.”

“Okey… saya bagi contoh ya Puan apa yang saya amalkan pada anak-anak saya. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, mungkin Puan boleh jadikan panduan.

Setiap kali menghantar anak ke sekolah di waktu pagi, saya pasti akan ucapkan kata-kata MAAF dan TERIMA KASIH pada dia. Saya pilih waktu itu sebab saya ingin dia berlapang dada tanpa sebarang gulana sebelum dia menuntut ilmu.

Lebih kurang beginilah skrip dia:

“Abang Ariq, mom minta maaf kalau mom ada buat silap, marah-marah Abang Ariq tadi ya. Dan terima kasih sebab tolong mandikan adik tadi ya.”

Lama-kelamaan, bila amalan ini sudah menjadi rutin, anak saya sendiri akan menjawab:

“Mom, Abang Ariq pun minta maaf sebab tak dengar cakap mom. Terima kasih juga sebab masak breakfast sedap untuk Abang Ariq”.

“Tengok Puan… Saya cuma masak roti bakar sahaja. Bukan pizza pun. Tapi sebabkan dua perkataan keramat inilah makanan yang biasa pun boleh jadi sedap dan hati yang keras boleh jadi lembut. Anak pun dapat merasakan yang kita ni sebenarnya sayang pada dia walaupun kita marah-marah.”

“Tak salah Puan sebagai ibu untuk kita lafazkan kata-kata maaf kepada anak-anak. Kita juga manusia biasa, tidak terlepas dari kesilapan. Tak sewajarnya untuk kita berasa ego dengan ‘title’ seorang ibu dan menganggap segala perlakuan kita betul semuanya. Percayalah, ego inilah yang akan memakan diri kita bila kita semakin tua nanti.”

“Yang keduanya, Puan jangan berasa malu dan rendah diri pada anak-anak tentang situasi kehidupan Puan. Tidak perlu untuk kita hidup dengan bertopengkan kepalsuan, semata-mata terikut-ikut dengan cara orang lain. Kita dengan cara kita. Berpijaklah di bumi nyata.”

“Puan perlu berterus terang pada anak-anak walaupun ia melibatkan hal kewangan. Berceritalah mengikut kefahaman umur mereka dan minta pandangan anak-anak dalam membuat sesuatu keputusan.

Dari situ, mereka akan merasakan diri mereka penting dan suara mereka juga didengari oleh ibubapa. Kadang-kadang anak kita ni matang daripada apa yang kita sangkakan.”

“Saya masih ingat lagi sewaktu kami adik beradik masih kecil dulu, sesekali Abah belanja kami makan air krim Cornetto. Tapi bukanlah selalu.

Ada ketikanya kami teringin sangat nak makan lagi ais krim Cornetto. Tapi kami segan dan kesian untuk meminta-minta dari Abah. Jadi kami berpakat-pakat duit tabungan dan berkongsi 1 ais krim untuk 2 orang.”

“Moral ceritanya Puan, kami tidak mengeluh dan merasa susah dengan kehidupan berjimat cermat yang diamalkan Abah itu. Malah ia mengajar kami untuk menjadi lebih kreatif dalam mencari jalan penyelesaian. Malah kami bersatu hati melakukannya.”

“Begitulah anak-anak kita pun Puan. Hati mereka lembut andai kita melayannya dengan lembut. Mereka mudah kasihan pada ibu dan ayah mereka. Dan mereka juga pemaaf orangnya. Itu yang saya banyak belajar dari anak-anak kecil ini.”

“Cubalah Puan. Balik nanti banyakkanlah bercakap dengan anak Puan. Untuk permulaan ni, tak kisahlah dia dingin macam ais sekalipun. Puan cakap je. Lama kelamaan InsyaAllah lembutlah hati dia.”

“Amalkanlah Surah Al-Syura Ayat 19. Baca dan hembuslah ke ubun-ubun dia. Ini yang Mama saya ajarkan. Doa ibu sentiasa didengari Allah.”

Sebelum mengakhiri perbualan kami, teringin sekali saya berkongsi satu tips untuk menyatukan keluarga ini. Satu ilmu yang saya kutip dari ceramah ‘Solat Itu Tiang Agama’ di masjid berhampiran rumah.

“Maaf Puan… Saya ingin bertanya. Selalukah Puan sekeluarga bersolat berjemaah?”

Tangisan yang sudah surut kembali berbunyi. Wanita itu menangis lagi. Rasa bersalah pula saya.

“Tidak pernah Puan Sue. Semenjak saya kahwin, sehinggalah anak sudah besar tak pernah kami solat berjemaah bersama-sama di rumah. Dah puas saya ajak suami, selalu dia menolak. Saya teringin melihat dia menjadi imam kami anak beranak.” Tangis wanita itu.

“Tak apa Puan, masih belum terlambat untuk Puan mencuba. Mungkin Puan sendiri boleh membawa anak-anak Puan untuk berjinak-jinak dengan masjid. Masjid sekarang tidak macam dulu lagi. Banyak sangat program-program yang mengajak kita ke arah kebaikan. Pasti mereka pun seronok.”

“Puan tahu tak kenapa orang sering menyebut solat itu tiang agama?”

Dia menggeleng.

“Sebenarnya dalam solat itu ada erti sepakat. Sepakat yang mendekatkan dan menyatukan hati-hati kita. Hanya dengan kesepakatanlah kita dapat memastikan keteguhan tiang agama daripada roboh.

Bagaimana untuk bersatu? Dengan cara solat berjemaah. Bila kita semua sebaris tegak merapatkan saf, hati-hati kita akan bersatu mengikut imam yang satu sebagai pemimpin. Dari situlah tiang agama teguh berdiri.

Samalah juga dengan sesebuah keluarga, hanya dengan solat berjemaah yang diimami oleh ketua keluarga, mampu menyatukan setiap hati ahlinya. Walau dalam senang mahupun badai melanda…kita tetap bersama-sama mengharunginya.”

Wanita itu mengangguk-angguk tanda bersetuju.

“Terima kasih Puan Sue kerana banyak berkongsi. Banyak ilmu yang saya dapat hari ni. dan InsyaAllah saya akan amalkan nanti. Puan Sue tolong dokan saya ya.”

“InsyaAllah saya doakan semoga Puan terus kuat untuk membawa keluarga Puan ke jalan yang diredhai Allah. Puan jangan anggap yang Puan keseorangan dalam mendidik anak tanpa sokongan suami. Sebenarnya seluruh alam bersama-sama dengan Puan andai Allah lah tempat pergantungan.”

Sungguh saat itu saya sangat rindukan arwah Abah saya. Terngiang-ngiang pesanan dia.

“Mek, Abah ni mungkin tak belajar tinggi. Tapi Mek tengok dan nilailah. Apa yang baik pada didikan Abah, ambillah. Kalau buruk, tinggallah. Janganlah pula dicemuh. Didiklah anak-anak Mek mengikut zaman dia.”

Terima kasih Abah!

Suriati Shamsuddin
Ibu yang masih bertatih