“Otousan… okaasan hontouni iro-iro na arigato gozaimasu, iro-iro na sumimasendeshuta…”

“Otousan….okaasan….sungguh-sungguh!! Saya berterima kasih atas segala-segalanya dan saya meminta maaf atas segala-galanya.”

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sebelum menjalani latihan di Jepun, aku dan 6 orang lagi sahabat-sahabat ku mengikuti kursus persediaan di PLKP (Pusat Latihan Kejuruteraan Pertanian) Serdang selama 3 bulan.

Kami telah terpilih daripada 22 orang peserta yang lain. Kami diajar asas bahasa Jepun, budaya masyarakat Jepun, pengendalian mesin/jentera pertanian dan beberapa perkara asas yang lain.

Kami juga sebagai kohai (junior) berpeluang berjumpa dengan sempai-sempai (senior) yang pernah mengikuti program ini dahulu. Mereka banyak berkongsi pengalaman dangan kami, bagaimana untuk menjalani kehidupan di Negara Samurai itu.

Kami mula merasa agak bimbang, kerana sudah mendapat gambaran sebenar kehidupan di sana. Perkara yang paling dirisaukan ialah, takut-takut ada antara kami yang tidak dapat bertahan dengan kehidupan di sana.

Harap-harap tak buat keputusan untuk pulang awal, sebab perkara ini telah terjadi kepada segelintir sempai kami. Jika salah seorang dari kami pulang, ia akan memburukkan reputasi pelatih Malaysia.

Pengalaman Aku Di Jepun

Tiba pada 23 April 2010, Mai-chan menunjukkan aku bilik yang akan aku diami. Asing. Aku tinggal berasingan dari mereka. Mungkin “orang asing” ini akan membuatkan mereka tidak selesa untuk tinggal bersama. Aku pun lebih suka begini. Senang untuk aku bergerak dan melakukan aktiviti ku sendiri.

Sedikit perkongsian info, “-san” ialah ganti diri untuk encik, contoh Lie-san. “–chan” ialah ganti diri untuk kanak-kanak atau perumpuan yang rapat dengan kita, contoh Shin-chan atau Mai-chan. “–kun” ialah ganti diri untuk lelaki yang rapat dengan kita, contoh Lie-kun.

Ketika aku ke kandang lembu untuk memperkenalkan diriku, Mai-chan meluru kepadaku sambil mengucapkan “konbanwa” (selamat malam). Sambil menundukkan kepalanya kepadaku, aku membalas kembali salamnya. Mai-chan memperkenalkan aku kepada Otousan. Otousan menyapa ku. “Ooii lie, kombanwa”. Aku membalas “Konbanwa. Dozo yoreshiku onegaishimasu”.

Kemudian aku diperkenalkan dengan Okaasan. Kelihatan seorang perempuan setengah usia, berbadan kecil, bergerak pantas, berlari-lari membuat kerja dihadapanku. Dia berlalu tanpa mempedulikanku. Melakukan kerja, sambil menghempas alatan di tangannya seolah-olah memberikan suatu “amaran” kepadaku.

Aku turut dijemput ke ruang makan keluarga ini untuk makan malam bersama. Kelihatan Otousan, Okaasan, Oniesan dan Mai-can semuanya menungguku di ruang tersebut sejak dari tadi. Di atas meja makan, kelihatan Gohan, Misoshiru, Tempura, Sushi dan Sashimi.

Seawal jam 5:20 pagi, aku mula membersihkan najis lembu dan meletakkan “momigara” (sekam padi) di laluan lembu ke tempat shiboru (memerah susu lembu). Itulah tugasku setiap hari, siang dan malam bekerja. Aku juga mengangkat makanan lembu untuk diproses serta buat 2-3 kerja berat, sekali gus sangat-sangat memeras empat kerat tulang-temulang aku ini.

Aku pernah dimarahi berkali-kali kerana kelembapan aku melaksanakan tugasan-tugasan. Okaasan menyebut beberapa baris ayat dalam bahasa Nippon yang tidak aku fahami, tetapi tetap menyakitkan hati. Kesakitan di seluruh badan ku tidak aku rasai kerana sakit hati dihina sebegini.

Apabila sakit hati, aku jadi tak lalu makan menyebabkan makanan tidak dapat aku habiskan. Lagi sekali aku dimarahi kerana perbuatan itu satu pembaziran dan seolah-olah menghina dan tidak menghargai. Aku meminta maaf dan minta diri untuk pergi dengan keadaan hati pedih.

Begitulah diari hidupku sejak aku sampai disini. Hendak dikatakan hampir setiap hari aku dimarahi sampai aku jadi lali. Herdikan, marah dan celaan itu menyakitkan hati. Kadang-kadang terasa seperti dipermainkan dan dibuli-buli. Terasa macam budak sekolah rendah yang belum masuk jawi.

Ada 1 insiden yang tidak boleh aku lupakan ialah ketika aku menunggu di ruang makan seorang diri. Agak lama juga aku bersendiri. Tiba-tiba, aku terdengar bunyi seseorang berlari masuk ke dalam rumah. Okaasan (ibu angkat) membuka pintu ruang makan, kemudian menghempaskannya ke tepi.

Sambil membebel dan memarahi aku dengan bersungguh-sungguh, melompat-lompat dan menghentak-hentakkan kaki, mencapai makanan dan menghempaskannya di meja makan dan berlalu pergi, membuatkan aku terpinga-pinga sendiri. Aku tidak tahu apakah salah aku sehingga dilakukan begini.

Rupa-rupanya, semua disebabkan oleh arahan mereka yang aku sudah tersalah fahami. Aku pulang awal untuk makan malam, dan membiarkan mereka membuat kerja di kandang yang belum selesai.

Tidak pernah aku diperlakukan sebegini. Ya Allah apakah dosa ku. Aku ingin perbaiki. Ya Allah, tolonglah, bantulah diri ini. Tiba-tiba aku tersedar, isyarat dari Allah aku fahami setelah aku muhasabah diri.

Sebenarnya aku tidaklah kisah diperlakukan begini, sebab sejak dari mula sudah aku agak ini akan terjadi. Cuma ego aku yang tinggi menggunung seperti Everest memang sudah tertimbus di bawah kaki. Inilah hikmah aku kesini. Allah ingin membuang sifat aku yang suka meninggi diri.

Ada suatu lagi isyarat yang sangat-sangat aku pasti. Tatkala teringatkan ibuku, membuatkan aku sebak sampai tak keruan lagi. Satu demi satu dosaku kepada ibuku, aku recall dan aku ingati.

Ya Allah, inilah rupanya, kenapa keluarga angkatku melakukanku sebegini. Sebab aku banyak dosa dengan ibuku sendiri. Dan barulah aku sedar dan barulah aku sangat-sangat menghargai “SEBAIK-BAIK INSAN IALAH IBU DAN BAPAKU YANG AKU CINTAI”.

Cepat-cepat, aku berlari mendapatkan jitensyaku (basikalku), mengayuh dengan sekuat-kuat hati. Tokiwaya (sebuah pasaraya) aku tujui.

“Tutt…tutt….tutt…tutt…tutt….number you have dail…bla..bla..bla…” Ish apa ni. Aku mendail lagi. Alhamdulillah dapat bercakap dengan ibu kesayangan.

“Assalamualaikum mak,” ujar ku.
“Waalaikumsalam. Abang Ngah ke ni?” tanya mak kepada aku

Tatkala itu aku tidak boleh berkata-kata lagi. Rindu, sedih, insaf dan sebak telah menguasai diri. Mak tanya aku lagi; “Abang ngah kenapa ni?”

Aku jawab; “Mak… Angah minta maaf.”

Semasa malam terakhir aku berada di rumah keluarga angkatku, aku berasa tidak sabar untuk pulang, tetapi aku juga berasa sangat bersyukur ditempatkan di sana. Walaupun didikan dan ajaran mereka agak keras, tetapi ianya betul-betul membentuk jiwaku menjadi seorang insan.

Sesungguhnya, pengalaman itu ialah guru yang paling kejam. Tetapi guru yang kejam itulah yang dapat mengubah diri kita daripada “orang” menjadi “manusia”.

Selepas waktu makan malam, aku dengan penuh rasa rendah diri berterima kasih kepada keluarga angkatku terutamanya kepada Otousan dan Okaasan kerana menjagaku disana. Aku juga meminta maaf atas segala kesalahan dan kesilapanku.

“おとうさん。。おかさん。。ほんとうに いろいろな ありがとう ございます いろいろな すみません出主他。。。”

“Otousan… okaasan hontouni iro-iro na arigato gozaimasu, iro-iro na sumimasendeshuta…”

“Otousan… Okaasan… sungguh-sungguh saya berterima kasih atas segala-segalanya dan saya meminta maaf atas segala-galanya.”

Ibu Dan Bapa Adalah Keramat Hidup

Aku ini bukanlah seorang anak yang soleh. Dari kecil sampai sekarang, memang banyak dosa yang aku lakukan terhadap kedua orang tuaku. Tapi yang pasti, setiap kali aku mengguris perasaan mereka, dengan pantas aku akan mendapat balasan, memang akan “dibayar cash”.

Tapi jika aku tidak mendapat kesusahan, aku akan rasa tidak tenang seolah-olah seluruh makhluk di langit dan bumi mencelaku dengan perkataan; “Celaka, celakalah engkau.” Lalu, aku akan cepat-cepat meminta ampun dan maaf kepada orang tuaku, sebab aku tahu nerakalah tempat aku pada hari itu.

Meminta maaflah perkara yang paling susah bagiku, tetapi selepas meminta maaf banyak keajaiban berlaku. Oh, asking for apologise is the hardest thing. I will cry a lot to do this.

Di dalam kehidupan kadang-kadang kita ada segalanya. Tetapi kita kehilangan sesuatu. Mungkin gagal dalam satu bahagian hidup atau hidup tidak tenang. Mungkin kita telah melakukan satu kesalahan besar yang kita anggap kecil dan remeh temeh, seperti kesalahan melukakan dan mengguris perasaan ibu dan bapa.

Ia ibarat Kapal Titanic yang melanggar iceberg. Iceberg yang kita nampak itu kecil sahaja, rupa-rupanya sangat besar dan bahaya sehingga membuatkan Kapal Titanic karam. Begitulah ibaratnya kesalahan kita terhadap kedua orang tua, sehingga boleh menggelamkan kehidupan kita.

Kita patut sentiasa meminta ampun dan maaf kepada kedua orang tua kerana mereka merupakan KERAMAT HIDUP kita. Kita hidup di dunia ini bukanlah untuk membalas jasa mereka, kita hidup sekadar menumpang berkat dan doa mustajab daripada mereka.

Ya Allah, jadikanlah kami ini anak yang soleh dan solehah yang sentiasa membahagiakan dan mendoakan kedua orang tua. Lindungilah kami daripada menderhaka kepada mereka. Tempatkan kedua orang tua kami dikalangan orang-orang yang engkau cintai.

Bahagiakanlah ibu bapa, minta maaflah kepada mereka.