Sebelum Irfan beraksi di Kejohanan Taekwondo Kelantan baru-baru ini saya memang berdebar-debar, rama-rama pun banyak sangat dalam perut, beberapa kali ke toilet. Kalau tak fikir yang merepek-repek bukan mak mak dah namanya.

“Balancing Irfan nanti macam mana? Orang lain tangan dua.”

“Irfan nak defend nanti macam mana dengan tangan satu, nanti cedera teruk lagu mana.”

“macam mana…macam mana…macam mana…risau..risau…risau…”

Segala macam dalam kepala saya waktu itu, sudah semestinyalah saya cool saja di depan Irfan. Dalam hati Tuhan saja yang tahu.

Apabila Irfan mula beraksi di gelanggang segala memori lama mula datang kembali. Mek Zurots biasalah…lap ayaq mata sambil melayan emosi.

Irfan berbengkung merah.
Irfan berbengkung merah.

Hari pertama darjah satu Irfan ditendang di depan saya kerana pelajar tersebut tidak benarkan Irfan beratur di hadapannya. Ibu? Meleleh air mata tanpa sedar melihat situasi sedemikian di saat kita sebagai ibu sangat teruja melihat anak masuk darjah satu. Saya tiada pilihan lain, mohon bantuan cikgu kelas tengok-tengokkan Irfan.

Ada sekali di dalam van sekolah Irfan dibuli, kepala Irfan ditekup dengan plastik oleh pelajar di tempat duduk belakang. Hampir lemas Irfan. Refleksi.

Terus Irfan ketuk kepala budak tu untuk lepaskan diri, luka sedikit. Kecoh dibuatnya sehingga bapa pelajar tersebut pergi ke kelas Irfan dan marah-marah di hadapan semua orang di dalam kelas. Itu pun saya tahu setelah saya perhatikan Irfan murung sahaja sehari dua. Irfan tak cerita.

Saya mengambil keputusan untuk mengambil Irfan dari sekolah (selalunya Irfan naik van dan terus ke rumah pengasuh) dan bawa Irfan makan tengahari, kami berdua sahaja. Kami berdua bersembang hal-hal biasa ibu dan anak. Apabila saya lihat Irfan agak selesa saya mula masuk jarum, barulah Irfan ceritakan hal sebenar.

Keesokan paginya saya berbual dengan pemandu van, Mrs Chan. Menurut beliau pelajar tersebut memang nakal dan sukar dikawal. Mrs Chan cakap, “Padan muka itu budak kena sama Irfan.” Gelak besar saya.

Tengaharinya saya tunggu di ruang parking dan berjumpa dengan bapa pelajar tersebut. Saya memohon maaf kerana Irfan menyebabkan anaknya luka di dahi.

Kemudian di hadapan beliau saya bertanya anaknya, “Boleh adik cerita pada auntie dan ayah kenapa jadi macam ni?”. “Saya kacau Irfan dulu auntie. Saya tutup kepala dia dengan plastik. Saya sorry auntie.” Terkejut bapa pelajar tersebut. Macam nak terkam anaknya masa tu juga. Saya dah susah hati.

Irfan dan ibu.
Irfan dan ibu.

“Encik tak apa, jangan marah-marah, ini hal budak-budak saja. Cuma saya rasa tak manis Encik pergi marah-marah di kelas. Encik tengok ini Irfan, badan kecil saja, tangan pun ada satu saja. Macam mana mau buli orang.” Memang sangat-sangatlah terkejutnya reaksi wajah bapa pelajar tersebut apabila saya tunjukkan tangan Irfan. Saya rasa beliau tidak perasan waktu beliau naik angin di kelas.

Terus beliau memohon maaf dari saya dan Irfan, “Aiyo! Aiyo! Itu macam ka. Sorry adik. Sorry adik. Sorry ya adik.” “Tak apa Encik. Adik, nanti kawan baik-baik sama Irfan ya. Adik jagakan Irfan untuk auntie ya.”

Selepas itu semuanya dalam hati ada taman macam cerita dalam drama Melayu. Hehehe… Alhamdulillah. Irfan peluk saya selepas Encik itu dan anaknya berlalu. “Ibu, ibu tau dak, ibu ni Superman orang.” Lap ayaq mata lagi Mek Zurots. Terima kasih di atas rasa itu anak.

Banyak lagi memori air mata dalam membesarkan anak istimewa ini sebenarnya. Perlahan-lahan saya kongsi nanti.

Di Malaysia tahap kesedaran masyarakat terhadap golongan istimewa ini masih jauh ketinggalan. Sikap skeptikal masyarakat terhadap golongan istimewa masih tinggi.

Sebagai ahli masyarakat, jika anak-anak kita tidak dapat kutip nilai untuk merai golongan istimewa sebagai ahli masyarakat di sekolah, kita sebagai ibu bapa perlu melakukannya di rumah atau di mana sahaja, menyampaikan mesej yang betul. Bukannya menyisihkan golongan istimewa ini dan memandangnya dengan jijik. Beri peluang sama rata.

Contoh paling mudah, kemudahan untuk golongan OKU yang sering disalah guna ialah ruang parking kereta. Jika tidak disalah guna, diletakkan kon siap berantai lagi, ada kemudahan tetapi menyusahkan golongan OKU untuk pindahkan kon berantai sebelum nak parking.

Saya ke pejabat sebuah agensi kerajaan Kota Bharu baru-baru ini, hanya ada satu petak untuk OKU dan kebanyakan petak parking lain diletakkan kon, untuk bos-bos katanya. Bukankah agensi ini kebanyakan pelanggannya golongan OKU, mungkin boleh reserve lebih sedikit ruang parking untuk pelanggan.

Di kebanyakan sekolah pula kemudahan tandas untuk golongan OKU jarang diambil kira jika tiada kelas pendidikan khas di sekolah tersebut. Jika ada kelas pendidikan khas di sekolah, tandas OKU kebanyakannya di dalam kelas pendidikan khas. Anak-anak OKU yang berada di aliran perdana tetap menghadapi kesukaran dan tidak dapat menggunakannya.

Sampai di sini dulu.

Terima kasih Sir Yee di atas kepercayaan kepada Irfan dan membenarkan Irfan bertanding di kalangan anak-anak lain yang cukup anggota.

Terima kasih semua ibu bapa yang membenarkan anak-anak anda berkawan dengan anak-anak istimewa.

Terima kasih.

Terima kasih.

Terima kasih.

Perjalanan rakyat Malaysia masih jauh berkaitan golongan OKU.

Video Irfan di Kejohanan Taekwondo Kelantan 2016 di USM Kubang Kerian:

Terharu Ibu tengok Irfan di arena tadi. Tanpa sedar meleleh juga air mata ibu.
Mek Zurots memang biduanita ayaq mata. Heee…

Ibu, Abah, Dina, Irsyad dan Adik bangga dengan Irfan.
Walaupun Irfan kalah mata, tetapi pada Ibu awal-awal lagi Irfan dah menang.

Sekali lagi ibu pun tak tahu di mana Irfan kutip keberanian dan keyakinan sebegini.

Tahun depan kita cuba lagi.
Ini pendedahan pertama untuk Irfan.

Friends,
Di dalam video ini adalah anakanda Irfan yang memakai bekung merah.
Bagi rakan-rakan baru, Irfan dilahirkan dengan tangan kiri pada paras siku sahaja, tangan satu.

InsyaAllah. Berbeza itu ok!

Semoga video ini memberi inspirasi buat adik-adik dan ibu bapa yang punya anak istimewa.

Salam Sayang Dari Kami Sekeluarga.
HUSM Kubang Krian
Kami masih di sini mahu memberi sokongan pada rakan-rakan Irfan yang berjiwa besar dan sentiasa bersama Irfan.

Mohd Hadzrami
Khairi Ridzuan Ams
Khoo Chai
Amera Husna

#berbezaituok
#anakkutangan1hadiahdarisyurga
#yesvocket

Posted by Azura Abdullah on Saturday, May 14, 2016