Perjalanan dalam dunia media bukanlah mudah seperti yang anda bayangkan dimana penuh dengan keseronokkan dan kemewahan namun hakikatnya adalah sebaliknya. Berkecimpung dalam dunia media hampir 18 tahun menjadikan individu bernama Rosli Mohd Nordin dikenali ramai atas usaha dan kepelbagaian bakat yang dimilikinya.

Rosli Mohd Nordin memulakan kerjaya dalam dunia media ini dengan menjadi seorang wartawan penyiaran di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2001 dan kini beliau merupakan seorang pembantu pengurus di Traxx FM, stesen radio RTM.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Beliau yang berasal dari Kampung Gajah Perak, melanjutkan pengajian dalam bidang media di Universiti Malaya setelah gagal melanjutkan pengajian dalam bidang seni dan juga temuduga pramugara. Sepanjang karier, beliau yang gemar menjelajah telahpun menjelajah hampir 35 buah negara termasuk Korea, Bosnia dan pelbagai lagi demi tuntutan kerja.

Beliau juga merupakan seorang penerbit di Majalah dan Unit Dokumentari RTM dan telah menghasilkan beberapa dokumentari yang berkaitan dengan minat manusia, budaya, alam sekitar dan isu-isu ekonomi sosial.

Dokumentari yang telah dihasilkan antaranya ialah ‘Setahun Impian’, satu dokumentari mengenai Perdana Menteri Malaysia, iaitu mengenai kerja pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, ‘Annyong Haseyo’, satu dokumentari istimewa dalam perayaan hubungan diplomatik ke-50 antara ulang tahun Malaysia-Korea dan ‘Zara, Gadis Semai’.

Selama beliau berkecimpung dalam dunia media kreatif ini, beliau turut menerima beberapa anugerah seperti Wartawan Penyiaran Terbaik untuk Laporan Khas mengenai Barisan Pembebasan Islam Moro, MILF pada tahun 2004, Pelapor Televisyen Terbaik Malaysia untuk Peranan Angkatan Tentera Malaysia semasa Gempa bumi di Pakistan dan banyak lagi.

Pesan beliau, setiap pekerjaan mempunyai cabaran yang tersendiri, tidak mudah untuk berkecimpung dalam dunia media kreatif kerana pengorbanan masa diperlukan untuk berjaya.

Masih ingat lagi dengan iklan viral dan catchy daripada keropok mony? Beliaulah antara penyumbang idea serta yang menjayakan iklan keropok ini sehingga dikenali ramai.

Selain menjadi seorang wartawan penyiaran dan terlibat di belakang tabir, beliau juga terlibat dalam 10 iklan komersial seperti Mony Crackers, Aliff Cooking Oil, TM, Lux, Go Shop, Uber dan terbaharu iklan Shopee.

https://www.youtube.com/watch?v=yFucRrlNP-w

Rosli berharap agar lebih ramai lagi generasi baharu menceburkan diri dalam bidang penyiaran kreatif ini.

“Dunia media kreatif ini bukanlah untuk mengejar populariti sahaja tetapi untuk berkongsi ilmu dengan orang luar dengan dimensi yang berbeza.” ujar Rosli