Jika anda merupakan salah seorang pengguna tegar Facebook dan sering berada di aplikasi berkenaan pasti anda perasan akan kewujudan sebuah grup yang dinamakan Malaysiaku Dulu-Dulu Official atau juga dikenali sebagai MDDO.

Sesuai dengan namanya yang seakan mengimbau kembali kenangan silam, grup ini menjadi platform perkongsian gambar dan kisah lama oleh hampir 300,000 ahli-ahlinya mengenai apa-apa sahaja ‘yang dulu-dulu’.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Boleh dikatakan apa sahaja daripada perkongsian gambar-gambar hitam putih daripada koleksi peribadi ahli sehinggalah kisah bagaimana keadaan sesuatu tempat di negara kita dulu (yang sangat berbeza dengan pemandangan ketika ini) boleh ditemui di grup ini.

Apa yang membuatkannya menarik, perkongsian-perkongsian ini datang daripada seluruh kelompok masyarakat (ahli-ahli) dan bukan sahaja dimuatnaik oleh pentadbir grup (admin). Maka anda tidak boleh menjangkakan gambar apa atau kisah apa yang bakal dikongsikan setiap hari.

Sejujurnya terlalu banyak kisah-kisah dan gambar serta potongan video menarik yang dikongsikan di sana dan ianya seperti tidak adil jika kami tidak mencuba untuk mencari individu yang menghasilkan grup ini dan menemu bual beliau untuk bertanyakan secara panjang lebar mengenai MDDO.

Mungkin ada yang bertanya kenapa tidak sahaja memilih salah satu kisah menarik yang dikongsikan ahli dalam grup berkenaan dan berceritakan kembali mengenainya di sini?

Jawapannya- terlalu banyak perkongsian menarik untuk dipilih dan daripada menumpukan kepada kisah yang anda sudah boleh temui di sana, adalah lebih baik kita menemu bual susuk individu yang timbul dengan idea untuk menimbulkan grup ini atau lain dalam kata lainnya, pengasas Malaysiaku Dulu Dulu.

Berbekalkan maklumat yang tersedia di halaman grup berkenaan, kami kemudiannya memulakan usaha untuk menjejaki (atau dalam situasi ini lebih tepat menghubungi) pentadbir grup ini di Facebook dan tidak lama selepas itu kami berjaya menemui dan menemu bual inidividu berkenaan.

Sering membuat hantaran menggunakan akaun Facebook Syahrin Abd Aziz Msaa-Nirhays, nama sebenar pentadbir atau admin grup ini adalah Mohd Syahrin Abdul Aziz, kini berusia 47 tahun dan merupakan seorang jurugambar profesional yang pernah berkhidmat dengan beberapa agensi termasuk dari luar negara.

Selain daripada bergelar sebagai seorang jurugambar, Mohd Syahrin juga adalah peminat tegar sejarah terutamanya yang melibatkan Malaysia. Menariknya, dua perkara ini (jurugambar dan sejarah) seakan membentuk gabungan yang sangat sinonim.

Ia juga secara tidak langsung membuatkan kita berfikir penubuhan grup MDDO yang berkongsikan gambar dan sejarah ini sebenarnya mempunyai kaitan antara satu sama lain (dua minat yang dimiliki) oleh pengasas grup ini.

Malah beliau turut menjelaskan perkara itu ketika kami bertanya tentang idea penubuhan grup MDDO di Facebook yang menjadi ruangan untuk orang ramai berkongsikan gambar dan kenangan masa silam mereka.

“Saya memang minat sejarah dan mula terdetik (untuk hasilkan MDDO) sebab lama saya terfikir untuk buat satu projek di mana saya boleh jadikan satu tempat koleksi gambar-gambar lama dari koleksi peribadi.

“Bukannya yang diceduk (diambil) dari internet, sebab kalau yang dari internet memang banyak. Saya tahu ramai rakyat Malaysia mempunyai sejarah sendiri,” jelasnya ketika dihubungi The Vocket.

Pandangannya mengenai kekayaan sejarah dan kisah silam yang dimiliki oleh rakyat Malaysia itu ternyata tidak salah apabila beliau kini berjaya mengumpulkan seramai 271,400 ahli yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Kesemua mereka yang menyertai grup ini sama ada ingin berkongsikan cebisan sejarah dan kenangan silam dan ada juga yang sekadar menjadi pembaca setia dan menikmati setiap hantaran yang boleh mencecah secara purata sehingga berpuluh hantaran yang dibuat setiap hari.

Kembali kepada sejarah penubuhan grup MDDO tadi, beliau memberitahu ia mula ditubuhkan sejak 23 Jun yang lalu dan kemudiannya membuat hantaran pertama di grup berkenaan melalui beliau sendiri hanya dua hari selepas itu.

Bagaikan bermula dengan langkah kanan, perkongsian pertamanya itu mendapat lebih 100 shares daripada orang ramai dan tarikh berkenaan juga menjadi antara tarikh yang diingati apabila grup berkenaan berjaya mencapai 1000 keahlian yang pertama.

Buat anda yang tertanya-tanya apakah perkongsian pertama yang dibuat beliau di grup berkenaan, ia adalah sekeping gambar lama arwah bapanya bersama rakan yang bergambar di hadapan sebuah rumah beratap rumbia di Ujung Pasir, Melaka.

Rumah beratap rumbia dan berlatar belakangkan pokok kelapa itu menurutnya milik kepada adik perempuan arwah ayahnya dan masih berada di lokasi asal dengan sedikit perubahan telah dilakukan.

“Masih (ada), cuma ada perubahan sikit. Sepupu saya dengan suami dan anak dia duduk sini sekarang.

“Adik ayah saya pun dan meninggal 3 tahun lepas,” kongsinya.

104711999_3343168639050841_2414366623122767714_o
FOTO: MOHD SYAHRIN

Perkongsian pertama penuh bermakna

Perkongsian pertama yang dibuat tadi menurutnya bukan sahaja menjadi batu asas atau permulaan kepada perkembangan grup berkenaan, namun ianya juga tanpa disangka-sangka telah menemukan beliau dengan anak kepada rakan arwah ayahnya di dalam gambar berkenaan.

Kejadian itu menurutnya berlaku selepas individu berkenaan meninggalkan komen di hantaran yang dibuatnya. Beberapa hari selepas itu, mereka kemudian bertemu di rumah keluarganya di sekitar Melawati.

Pertemuan antara beliau dan individu berkenaan juga bagaimanapun mungkin terpahat sebagai yang pertama namun sudah pastinya tidak akan menjadi yang terakhir.

Hal ini kerana jelasnya, beberapa ahli grup MDDO juga turut melalui perkara sama- bertemu kembali dengan kenalan lama dan mengeratkan silaturrahim yang terputus selepas membuat hantaran kenangan silam mereka di grup berkenaan.

Walaupun bertemu kembali dengan kenalan-kenalan lama adalah antara salah satu kelebihan yang dimiliki setelah menyertai grup Malaysiaku Dulu Dulu, beliau bagaimanapun menjelaskan apa yang paling penting adalah penceritaan mengenai kenangan masa lalu dan nostlagia yang pernah dilalui masyarakat kita sebelum ini.

“Harapan saya, ianya akan menjadi grup yang saya idamkan, iaitu satu platform yang mengumpulkan bahan-bahan sejarah dari kaca mata rakyat Malaysia bukannya sejarah yang sedia ada.

“[…] dan saya inginkan rakyat Malaysia menceritakan apa yang nenek moyang mereka lalui dan yang paling utama sekali, keharmonian kaum itu yang penting,” jelasnya.

Buat anda yang masih belum menyertai dan melihat perkongsian-perkongsian yang dimuatkan di grup ini, ianya bukan sahaja diisi dengan perkongsian oleh masyarakat Melayu tetapi turut menceritakan kisah-kisah daripada pelbagai bangsa yang menceritakan mengenai keharmonian kaum di negara kita.

Sebagai contoh, bersempen dengan sambutan Deepavali hujung minggu lalu, ruangan wall di grup berkenaan diisi dengan perkongsian menarik mengenai sambuatan Deepavali yang pernah dilalui oleh ahli-ahli grup dan secara tidak langsung memeriahkan suasana sambutan tahun ini yang mungkin sedikit suram kesan daripada pandemik COVID-19 ketika ini.

“Ini merupakan sesuatu yang memang saya harapkan, grup yang (terdiri) daripada pelbagai etnik dan kaum mengisahkan sejarah hidup mereka.

“Kalau boleh lagi ramai kaum-kaum yang akan berkongsi cerita mereka,” kongsinya.

Walaupun grup berkenaan mempunyai lebih 200,000 ahli namun beliau menjelaskan kualiti hantaran yang dibuat sentiasa ditapis dan dipantau oleh dirinya sendiri sambil dibantu beberapa moderator yang lain untuk mengekalkan keaslian grup.

Selain tidak membenarkan sebarang perkongsian promosi perniagaan dan jual beli, pihak mereka juga jelasnya tidak membenarkan perkongsian yang berulang-ulang serta perkongsian pautan (link) daripada luar ke dalam grup berkenaan.

“Ada juga ahli-ahli berpendapat supaya grup ini tidak ditapis tapi saya sudah jelaskan saya tetap menjaga tema grup ini dan menjadi lain dari grup-grup yang lain.

“Kecaman memang banyak juga, sebab ada yang tidak puas hati bila posting mereka tidak dilepaskan, atau disekat dan sebagainya.

“Kadang-kadang hantaran yang biasa juga boleh jadi panas bila ingin menegakkan fakta masing-masing,” ceritanya.

Kini selepas 271,000 pengikut kemudian dan pelbagai kerenah netizen yang berkongsikan kisah mereka, pengasas Malaysiaku Dulu Dulu Official, Mohd Syahrin meluahkan keyakinan mereka grup berkenaan akan terus berkembang dan mungkin mencapai angka 300,000 ahli menjelang tahun baru nanti.

Sudah menjangkakan lebih banyak ‘ragam manusia’ yang bakal dihadapinya nanti namun beliau menjelaskan akan kekal berpegang kepada tujuan utama grup berkenaan ditubuhkan iaitu dengan asas untuk berkongsi sejarah daripada rakyat Malaysia dan pengalaman mereka sendiri.

“Itu yang utama,” jelasnya sebelum menamatkan temu bual bersama The Vocket.

Buat anda yang masih belum berpeluang untuk melawat grup Malaysiaku Dulu Dulu Official, anda boleh membaca kisah-kisah menarik yang dikongsikan di sini.

Baca juga perkongsian kami sebelum ini mengenai bagaimana terhasilnya gabungan antara siri animasi Upin dan Ipin bersama Ultraman melalui pautan di bawah.

Tuah ‘Partner’ Perlekeh Upin & Ipin, Haji Burhanuddin Kongsi Perjalanan Terhasilnya Ultraman Ribut

Hanya Rakam Menggunakan Telefon, ‘Channel’ YouTube Masakan Wanita Ini Kini Dibayar Google

Siapa Sebenarnya Lelaki Dalam Video Pertama YouTube ini?