Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Semalam, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 (Akta 574) yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat membolehkan individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan menghendap dikenakan hukuman penjara 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin membentangkan RUU berkenaan yang bertujuan menjadikan menghendap sebagai satu kesalahan.

HYPE
Jualan Meningkat 5 Kali Ganda, Kiddocare Puas Hati Guna Perkhidmatan REV Ad Manager
Baca lagi →

Berdasarkan naskah biru RUU tersebut, kesalahan menghendap merangkumi perbuatan mengekori, berkomunikasi atau cuba berkomunikasi dalam sebarang cara, berlegar-legar di kediaman atau tempat kerja seseorang dan memberi atau menghantar apa-apa sahaja kepada seseorang dalam sebarang cara.

“Sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, mengetahui atau sepatutnya mengetahui perbuatan itu mungkin menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, maka ia sudah melakukan kesalahan menghendap,” menurut naskah berkenaan.

Di bawah Seksyen 507A, berulang kali itu merujuk kepada sekurang-kurangnya dua kali perbuatan.

Memetik laporan Berita Harian, Datuk Mas Ermieyati menyifatkan pindaan RUU itu sebagai komitmen kerajaan menjadikan menghendap sebagai kesalahan jenayah yang membolehkan pelaku disiasat dan dikenakan hukuman di bawah Kanun Keseksaan.

Sumber Gambar: Facebook Mas Ermieyati Samsudin

“Pindaan kepada kedua-dua akta ini akan memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa keselamatan diri mereka berkaitan perlakuan menghendap dilindungi dan terjamin.

“Ini selaras hasrat dan komitmen kerajaan untuk menambah baik dan memperkasakan undang-undang sedia ada serta meletakkan kedudukan Malaysia setara dengan negara lain yang sudah lama mewujudkan undang-undang berkaitan kesalahan menghendap,” katanya.

Kerajaan sebelum ini dilapor bercadang menjadikan perbuatan menghendap sebagai kesalahan jenayah dengan usaha itu dimulakan menerusi penubuhan Jawatankuasa Anti-Stalking sejak 2019.

Sementara itu majoriti ahli politik bersetuju dengan Rang Undang-Undang ‘Anti Lompat Parti’. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

RUU Anti Lompat Parti Lulus, Apa Yang Anda Perlu Tahu Sebagai Seorang Pengundi

Netizen Sokong Pelaksanaan GEG & RUU Kawalan Produk Tembakau Dan Merokok 2022