Situasi tegang yang sering terjadi di Indo-Pasifik mampu mewujudkan situasi perang, lapor kajian The Lowy Institute. Melalui laporan dalam talian “Lowy Institute Asia Power Index 2021 Edition” yang dikeluarkan oleh institusi yang berpangkalan di Sydney, ia menunjukkan bahawa terdapat 26 negara terkuat di Indo-Pasifik.

Laporan yang dikeluarkan pada Isnin lalu difahamkan mengukur sumber dan pengaruh kuasa sesuatu negara. Malaysia turut memasuki senarai namun terkeluar daripada 10 negara berkuasa dan hanya berada di tangga ke-11 di belakang negara jiran, Singapura, Indonesia dan Thailand.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kata kajian tersebut, Malaysia menunjukkan prestasi terbaik dalam ukuran daya tahan dan pengaruh budaya, di mana ia menduduki tempat ke-8 untuk kedua-dua kategori. Bagaimanapun, kedudukan terendah Malaysia adalah dalam kategori keupayaan ketenteraan, di mana Malaysia berada di tempat ke-16. Skor rangkaian pertahanan Malaysia juga menurun dengan ketara, jatuh lima anak tangga sejak 2019 ke kedudukan ke-12.

Daripada laporan itu, 10 kuasa teratas di Indo-Pasifik ialah: Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, India, Rusia, Australia, Korea Selatan, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Melalui kajian ini juga, para penyelidik menyatakan bahawa akan terjadi satu konflik besar di rantau Indo-Pasifik pada masa akan datang melibatkan dua kuasa besar, AS dan China. “Risiko perang berpunca daripada fakta bahawa terdapat perlumbaan senjata di rantau ini,” pengarah projek, Herve Lemahieu, memberitahu ABC News. “Ia melibatkan AS dan China, tetapi ia juga melibatkan ramai pemain lain seperti India, Jepun dan negara Asia Tenggara yang lebih kecil seperti Vietnam yang mempunyai pertikaian maritim dengan China.”

Lemahieu turut mengingatkan bahawa sistem yang stabil hanya wujud bergantung kepada kesediaan kedua-dua negara untuk bersama-sama sebagai kuasa besar. “China dan AS harus belajar berjalan dan mengunyah gula-gula getah bersama-sama. Mereka mesti bersaing dan bekerjasama dalam kawasan sensitif dan cabaran transnasional seperti perubahan iklim,” katanya.

Bagaimanapun, di dalam kajian terbabit, para penyelidik mendapati bahawa kuasa ketenteraan China menurun buat kali pertama sejak empat tahun lalu. China, yang berada di kedudukan ke-2 daripada 26 negara untuk kekuatan menyeluruh, mempunyai skor keseluruhan 74.6 daripada 100.

Negara itu jatuh satu tempat untuk pengaruh diplomatik dan sumber masa depan – di mana China kehilangan banyak mata di sini – , namun kedudukannya dalam semua kategori masih tidak berganjak.

Worldwarbot ‘ramal’ Malaysia jajah seluruh dunia pada tahun 2135. Klik pautan di bawah untuk membaca.

WorldWarBot ‘Ramal’ Malaysia Jajah Seluruh Dunia Pada Tahun 2135

Pertikaian Antara Malaysia Dan China, AS Kerah Dua Kapal Perang Ke Laut China Selatan

‘Bukan Dengan Peluru, Tetapi Dengan Wabak’ – Pegawai AS Dakwa Perang Dunia Ketiga Sudah Bermula