Normal sebenarnya jika kita meminati sesuatu. Dari bola sepak ke industri seni hiburan, sudah pasti ada peminatnya. Sebagai peminat pula, kita pasti sanggup melakukan apa sahaja bagi menyokong mereka yang kita minati.

Kalau anda adalah seorang peminat bola sepak, sudah pasti anda sanggup berbelanja untuk membeli tiket perlawanan bola atau bersengkang mata pada lewat malam hanya untuk menyokong pasukan kegemaran anda.

Tidak cukup dengan tiket, ada juga yang sanggup membeli jersi pasukan kegemaran dan ada juga yang sampai terbang ke luar negara demi menyaksikan sendiri perlawanan tersebut disamping memberikan sokongan.

Begitu juga buat peminat K-pop! Umum diketahui, rata-rata peminat K-pop memang sanggup berbelanja demi menyokong artis kegemaran mereka. Menjadi seorang peminat, tak kira lah peminat K-pop atau bola sepak, merupakan sesuatu yang memakan banyak wang. Tetapi, sejauh manakah seorang peminat sanggup berbelanja demi perkara yang diminati?

Berdasarkan sebuah kajian yang dibuat tentang kerelaan peminat K-pop dalam berbelanja untuk kumpulan kegemaran, rata-rata dari mereka sanggup menghabiskan ribuan ringgit.

How_much_K-pop_fans_spend_on_their_idols_-_iPrice_Group
SUMBER: IPRICE

Kajian yang dibuat oleh iPrice, sebuah syarikat pengagregat e-dagang ini mendapati bahawa secara purata pula, peminat BTS yang dikenali sebagai Army, berbelanja sebanyak $1,422 (~RM5,802.47). Kajian tersebut juga mendapati selain BTS, peminat kumpulan terkenal seperti Blackpink dan Twice juga merupakan diantara yang paling banyak berbelanja.

Data tersebut dikumpulkan dari peniaga di sekitar Asia Tenggara dan juga Hong Kong. Melihat kepada kajian yang telah dibuat, pihak The Vocket sendiri mengambil inisiatif untuk bertanya kepada beberapa peminat K-pop di Malaysia.

Menurut Miya Zaki, 23, jika dikira semula berapa banyak wang yang telah dibelanjakan untuk kumpulan kegemarannya, VIXX, anggaran keseluruhan boleh mencecah ribuan ringgit.

“Saya minat K-pop sudah lebih 10 tahun dan mula meminati kumpulan VIXX sejak dari tahun 2014 lagi. Jika diambil kira album, merchandise dan fan meeting untuk kumpulan VIXX sahaja, saya sudah habiskan sebanyak RM4000 ke RM5000,” katanya kepada The Vocket.

WhatsApp Image 2020-11-30 at 4.25.07 PM
SEDIKIT DARI KOLEKSI MERCHANDISE KUMPULAN VIXX DARI MIYA ZAKI

Tiket konsert, album dan merchandise K-pop merupakan diantara perkara yang sering dibeli peminat K-pop. Kad gambar idol kegemaran pula merupakan diantara merchandise K-pop yang sering dikumpul.

Oleh sebab itu, ramai dari peminat K-pop akan membeli lebih dari satu album hanya untuk mendapatkan kad gambar ahli kumpulan kegemaran mereka.

Iman, 22, merupakan diantara peminat K-pop yang mempunyai koleksi kad gambar dari kumpulan-kumpulan K-pop yang diminatinya. Mula meminati genre Korean Pop sejak dari tahun 2009 lagi, Iman mengatakan bahawa berbelanja demi kumpulan yang diminati memberikan satu kepuasan baginya.

Merchandise K-pop kegemaran saya ialah koleksi kad gambar! Jika dicampurkan semua, saya sudah habiskan dalam RM1000 lebih untuk kad gambar sahaja” kata Iman kepada team The Vocket.

photo card
ANTARA KOLEKSI KAD GAMBAR IMAN

Selain dari kad gambar, album merupakan sesuatu yang sering dibeli peminat K-pop. Menurut Najwa, 26, dia akan membeli album kumpulan kegemaranya, Winner tiap kali mereka membuat comeback kerana kreativiti yang ditunjukkan pada rekaan album tersebut. Walaupun agak mahal, Najwa tetap sanggup untuk membelinya kerana pembukus bukan lah plastik sahaja.

“Contohnya, album terbaharu Winner berjudul ‘Remember’, terdapat satu glass akrilik di dalamnya dan untuk album solo terbaharu Mino pula yang berjudul ‘Take’, ada 3 versi yang boleh didapati dan boleh dikira sebagai sebuah journal dari Mino buat peminatnya. Sentuhan spesial pada album-album ini lah yang membuatkan saya sanggup membelinya,” jelas Najwa pada The Vocket.

photo_2020-12-01_11-52-09
ALBUM WINNER DAN MINO MERUPAKAN DIANTARA KOLEKSI ALBUM NAJWA

Kalau anda merupakan seorang yang meminati muzik, sudah pasti anda sering juga pergi ke konsert untuk menonton penyanyi kegemaran anda di atas pentas. Begitu juga buat Tia, 26, yang meminati kumpulan BTS.

“Konsert bagi saya merupakan satu pengalaman yang kita boleh alami sekali seumur hidup. Tiap konsert berikan memori yang berbeza serta rasa yang berbeza dan adrenaline rush yang berbeza. Melihat kepada pandangan terakhir mereka sebelum meninggalkan pentas serta ucapan selamat tinggal yang diutarakan, semua itu lah yang membuatkan saya terus ingin untuk pergi ke konsert,” jelas Tia.

Menurut Tasha, 23, pula, tiket konsert boleh memakan harga sebanyak RM900. Harga tiket paling murah pula dalam lingkungan RM300.

“Saya merupakan seorang yang minat dengan konsert. Tak kiralah K-pop atau artis dari negara barat, saya tetap akan pergi jika artis kegemaran saya datang ke sini. Sebelum pandemik, saya akan pergi sekurang-kurangnya 5 hingga 7 konsert dalam setahun,” kata Tasha kepada The Vocket.

TASHA BERSAMA RAKANNYA DI KONSERT WINNER DI STADIUM MELAWATI, SHAH ALAM 2018

Apabila ditanya kenapa mereka sanggup untuk berbelanja demi kumpulan yang diminati, rata-rata dari mereka menjawab ia memberikan kepuasan buat mereka. Selain dari mendengar lagu-lagu keluaran kumpulan yang diminati, ini lah cara mereka untuk menyokong kumpulan kegemaran.

“Susah untuk gambarkan rasa kepuasan bila kita belanjakan wang untuk mereka. Bagi saya, ini adalah cara kami untuk menyokong titik peluh mereka selama bertahun,” jelas Iman.

“Saya tahu, pasti ramai yang beranggapan bahawa semua ini hanyalah pembaziran. Tapi bagi saya, sebab untuk kami berbelanja bukan hanyalah kerana kepuasan sendiri dan kerana ingin menyokong sahaja.

“Sebagai peminat seni dan fotografi, saya suka akan kreativiti yang ditonjolkan pada album dan konsep mereka. Jika dibandingkan dengan artis Hollywood, masih ramai lagi yang menggunakan bekas plastik untuk album mereka, berbeza dengan artis Korea seperti Mino dari Winner contohnya, album beliau selalu berikan kelainan dan aesthetic menarik,” Jelas Tasha kepada team The Vocket.

Apa pun sebabnya, industri K-pop telah memberikan impak positif kepada ekonomi Korea Selatan. Oleh kerana kuasa dari industri tersebut, terdapat banyak permintaan dari pelbagai sektor seperti pelancongan dan juga bahasa.

Kepada yang tidak tahu, kumpulan BTS telah mengumpul hampir $5 bilion (~RM20 bilion) kepada GDP Korea Selatan, menempatkan kumpulan tersebut setanding dengan jenama besar Korea seperti Samsung dan Hyundai.

Ingin membaca kisah menarik tentang artis K-pop? klik pada pautan di bawah.

9 Selebriti Terkenal Korea Yang Miliki Aset Hartanah Bernilai Sehingga RM298 Juta

Pernah Hidup Susah, Hoshi SEVENTEEN Tawar Biasiswa Bernilai RM84,403 Untuk Pelajar Sekolah

Pernah Ditipu Agensi Sebelum Jadi Bintang K-Pop Terkenal, Kisah IU Ini Pasti Buat Anda Sebak