Niat seorang wanita mahu mencuba satu kelainan semasa bercuti di Thailand akhirnya membawa trauma kepada beliau. Tambah-tambah bila dia tahu, apa yang dimakan oleh beliau, bukanlah apa yang beliau sangkakan.

Menurut Straits Times, seorang wanita Singapura telah bercuti ke Thailand bersama-sama dengan suami, ibu mertua dan dua anaknya. Di salah sebuah restoran, beliau telah mencuba hidangan sup Thai yang unik dan lain daripada yang lain.

Baca Juga:

Selepas menikmati sup sayur tersebut, wanita itu mula berasa loya dan mengantuk sehingga buatkan dia tertidur. Dengan rasa tidak puas hati, keesokan harinya, beliau kembali ke restoran tersebut untuk bertanya perihal makanan yang beliau makan semalam, wanita itu terkejut apabila beliau baru sedar bahawa daun yang dimakan olehnya itu sebenarnya bukan kangkong tetapi adalah daun ganja.

Untuk rekod, banyak restoran dan perniagaan berasaskan makanan di Thailand sudah mula memasukkan ganja ke dalam makanan dan produk selepas ia disahkan pada bulan Jun.

Menurut Biro Narkotik Pusat Singapura (CNB), bagi sesiapa yang tidak mengetahui atau mengambil dadah secara tidak sengaja bukanlah satu kesalahan. Bagaimanapun, CNB telah menasihatkan pelancong supaya berhati-hati dengan apa yang mereka makan di negara yang menghalalkan penggunaan dadah rekreasi.