Syafiq Yusof adalah pembikin filem yang seharusnya kita berikan perhatian kerana karya eksperimentalnya seperti filem SAM (2012) dan Villa Nabila (2015) boleh saya katakan ‘quite ok’ dan lari sedikit daripada acuan ‘sedia ada’ Skop Production. Kini beliau hadir dengan buah tangan terbaharunya iaitu Desolasi yang baru ditayangkan minggu lepas.

Dan berikut adalah kupasan saya tentang filem ini.

S10
HYPE
Rakam Video Dan Terus Sunting, Ini Kelebihan Samsung Galaxy Note10 Untuk Anda Yang ‘On The Go’
Baca lagi →

1. Syafiq memulakan filem ini dengan tema ‘persoalan’. Aiman (lakonan Syamsul Yusof) dizahirkan sebagai seorang anak kecil yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi namun lantaran sifat ingin tahu yang tinggi tentang agama ini telah membawa transisi negatif dalam pembentukan cara hidup dan pemikirannya kerana dia telah dipukul oleh bapa dan cikgunya kerana banyak sangat bertanya.

Permainan tema ‘persoalan’ ini sangat menarik kerana kita tertanya-tanya kenapa Aiman dipukul hanya kerana bertanya. Di sini Syafiq bijak mengkritik secara halus tentang ‘kena bertanya dan bertanyalah kepada ahli ilmu jika kita tak tahu’.

Bukan buat-buat pandai atau memandai-mandai kerana bodoh sombong itu adalah pintu kejahilan.

2. Filem ini kuat bermain dengan falsafah tetapi disampaikan oleh Syafiq dengan nada yang lunak dan mudah difahami. Ia mengajak kita berfikir secara kritikal dan integral tentang konsep ontologi iaitu hakikat ketuhanan, hakikat kosmologi dan hakikat kemanusiaan.

Watak Aiman dibina dengan membawa pemikiran anarkis, atheist dan nihilist. Watak Aiman digambarkan ‘lari dari agama’ dan kerapkali mempersoalkan takdir Tuhan dan pada dia, tiada sistem moral yang benar termasuklah nasihat mak bapaknya. Nampak power dan menarik, kan? Sebab tu korang kena tonton filem ni.

3. Plot dan twist filem ini juga sangat menarik. Syafiq begitu bijak bermain dengan unsur sosiologi iaitu menekankan tentang teori ‘Hukum Tiga Tahap (Law Of Three Stages)’.

Hukum ini adalah hukum tentang perkembangan tahap pemikiran manusia. Hukum Tiga Tahap ini kita nampak berdasarkan kepada tiga tahap perkembangan pemikiran Aiman iaitu teologi (babak kecelaruan identiti dan agama Aiman), metafizik (perjalanan spiritual Aiman ke alam lain) dan tahap ilmiah (kebahagiaan abadi yang dikecapi oleh Aiman).

4. Antara babak dengan babak dijalin dengan CGI yang kemas (bersesuaian dengan bajetnya). Kita boleh nampak imej-imej CGI kereta kebal, machine gun, ikan, dinasour dan bom yang dibikin untuk menjadikan filem ini seronok untuk ditonton. Cuba tengok trailer sebagai rujukan.

5. Watak dan perwatakan dalam filem ini dibina untuk melengkapkan watak Aiman ini, diakhirnya. Kalau korang perasan sekarang ni, Skop punya produksi tak akan gunakan ramai pelakon dan Syamsul mesti jadi hero (contohnya Munafik). So, teori ini seperti diiyakan dalam filem Desolusi ini.

6. Saya suka betul dengan babak Aiman melukis lukisan kat dinding. Memang babak itu dibikin untuk melambangkan permasalahan dalaman yang bermain dipemikiran Aiman ketika itu.

Kita faham jiwa Aiman sangat anarkis dan subversif pada masa itu. Di sini kita nampak bagaimana Aiman menyampaikan tekanan dalaman dirinya melalui lukisan dan gerakan bahasa tubuh yang sangat abstrak. Scene artistik ini mungkin babak paling mengesankan sepanjang filem ini.

7. Filem ini juga berputar kepada teori alienasi iaitu proses menuju keterasingan. Kita mungkin pernah tengok filem Cast Away (2000) ataupun Life Of Pi (2012) yang menggambarkan wataknya duduk sorang-sorang takde kawan.

Begitu juga filem Desolasi ini. Istilah alienasi ini adalah merupakan salah satu cabang sufisme iaitu yang dinamakan sebagai khalwah atau uzlah. Khalwah ataupun uzlah ini adalah merupakan satu proses pemutusan hubungan dengan makhluk menuju penyambungan hubungan dengan Al-Haq iaitu Allah SWT.

Di sini, kita dapat lihat bagaimana ‘proses keterasingan’ tadi telah membuka jawapan kepada persoalan-persoalan yamg selama ini membelenggui Aiman.

8. Mungkin filem ini ada bau-bau Inception (2010) dan Lucy (2014) tapi pada saya ia di’tempatan’kan oleh Syafiq mengikut acuan, budaya, agama dan nilai artistik berteraskan budaya Malaysia.

9. Filem ini juga pada asasnya adalah sebuah filem dakwah. Pada saya, filem dakwah bukan sekadar macam drama Tanah Kubur semata atau watak-wataknya kena berkhutbah 24 jam, tapi selayaknya filem Desolasi ini adalah sebuah filem dakwah yang menarik untuk kita tonton.

10. Dan, kalau korang perasan filem-filem Skop sekarang ni mesti Mawi yang akan nyanyi lagu tema, betul tak?

Sebelum ini, filem Munafiq, Mawi menyanyikan lagu Kalah Dalam Menang bersama Syamsul, kali ini untuk filem Desolusi pulak, OSTnya ialah Bukan Propaganda, juga duet bersama Syamsul Yusof. Jangan korang tak tahu, lagu Kalah Dalam Menang masuk final list AJL 2016.

11. Saya suka nilai positif dalam filem ini iaitu dalam satu babak, Aiman kata lebih kurang:

“Bila tak dapat melihat ni, baru aku faham dan insaf betapa besarnya nikmat melihat yang Tuhan bagi kepada aku sebelum ini. Bila Tuhan tarik satu-satu nikmat, baru kita rasa nikmat yang selama ini kita rasa biasa-biasa, sebenarnya adalah nikmat yang luar biasa.

Akhirnya, kita hanya jadi hamba Tuhan yang mendengar, merasa dan melihat pada zahir sahaja walhal sebenarnya kita ‘buta, pekak dan bisu’ dan jauh dari Tuhan, pada hakikatnya.”

Fuh, punyalah deep falsafah filem ni!

Saya rasa kehadiran filem ini perlu diraikan sebagai penutup kepada tahun 2016. So, apa lagi, pergilah tonton sekarang juga!

Artikel di atas disumbangkan oleh Muhammad Yusof. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka