Selepas pandemik melanda negara, ramai pengguna perkhidmatan pengangkutan awam mengeluh kerana tren sentiasa bermasalah sehingga menyebabkan ramai terpaksa mengambil masa yang lama untuk menuju ke destinasi, lebih-lebih lagi pada waktu puncak pagi dan petang.

Baru-baru ini Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menyatakan pihaknya maklum dengan aduan yang dibuat kepada mereka dan telah berkongsi lima jalan penyelesaian utama yang akan dicapai menjelang tahun 2024 nanti.

Dalam kenyataan itu juga, Rapid Rail sedang menambahbaikan operasi perkhidmatan mereka bagi mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan demi kemudahan dan keselesaan para pengguna.

Menambahbaik perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya
Sumber Gambar: KL Transit/Blogspot

1. LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi dengan kekerapan 5 minit di waktu puncak dan 7 minit di luar waktu puncak pada hari bekerja kerana hanya sebahagian tren yang melepasi ujian kelayakan operasi sahaja akan digunakan di dalam perkhidmatan atas faktor keselamatan pengguna.

2. Sebahagian lagi tren tidak beroperasi disebabkan kekurangan alat ganti seperti ‘tachometer‘, satu peranti terletak pada roda tren yang dapat menghantar maklumat ke sistem kawalan tren untuk mengawal kelajuan, kedudukan dan arah pergerakan tren.

3. Peranti berkenaan telah mula ditempah pada pertengahan Mei 2022 daripada pembekal di Eropah, bagaimanapun ekoran ‘masalah komponen elektronik’ penghantaran mengalami kelewatan daripada jadual asal (Disember 2022) dan dijangka akan diterima secara berperingkat dari sekarang sehingga bulan Mei 2023.

4. Setelah menerima alat ganti tersebut, kerja-kerja penukaran akan segera dijalankan dan kekerapan tren dijangka akan kembali kepada 3 minit menjelang bulan September 2023.

19 tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya
Sumber Gambar: New Straits Times

1. Pihak Rapid Rail juga dalam proses menerima 19 tren 4-gerabak baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27).

2. Kesemua tren itu akan diterima secara berperingkat bermula Jun sehingga Disember 2024 dan akan menggantikan sebahagian daripada operasi tren 2-gerabak yang telah digunapakai sejak tahun 1998.

Penggantian roda tren perkhidmatan MRT Laluan Kajang
Sumber Gambar: Facebook MyRapid

1. Sebanyak 26 buah tren dengan kekerapan 6 minit pada waktu puncak dan 10 minit di luar waktu puncak pada hari bekerja sedang beroperasi di MRT Laluan Kajang. Jumlah tren beroperasi terhad akibat keadaan roda pada beberapa tren yang hampir haus dan memerlukan penggantian segera.

2. Rapid Rail telah telah membeli sebanyak 1040 unit roda baharu yang akan diterima secara berperingkat bagi proses penggantian yang telah bermula sejak bulan Jun 2022 dan dijangka siap pada bulan Ogos 2023.

3. Pengguna dapat lihat dari sekarang dan kekerapan tren akan dapat dikembalikan kepada 4 minit di waktu puncak pada bulan Ogos tahun hadapan.

Kekerapan tren perkhidmatan Monorel ditingkatkan
Sumber Gambar: Nukilan-Temuk/Blogspot

1. Menjelang bulan Disember tahun ini, sebanyak 8 tren akan beroperasi, membolehkan kekerapan tren dikurangkan kepada 6 minit di waktu puncak. Sebelum ini menggunakan 7 set tren dengan kekerapan 7 minit di waktu puncak dan 10 minit di luar waktu puncak pada hari bekerja.

2. Perkhidmatan Monorel dijangka akan beroperasi menggunakan 10 set tren dengan kekerapan 5 minit selaras dengan pembukaan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 yang dijadualkan pada suku pertama tahun 2023.

Jadual waktu puncak ditambah 30 minit
Sumber Gambar: Facebook Rapid KL

1. Berdasarkan cadangan dan maklum balas daripada pengguna pengangkutan awam, pihak Prasarana melanjutkan jadual waktu puncak sebanyak 30 minit bagi waktu pagi dan petang.

2. Perlanjutan waktu puncak perkhidmatan tren diselaraskan dengan penambahan kekerapan perkhidmatan Rapid Bus, bagi kemudahan para pengguna.

“Dengan penambahbaikan berperingkat yang sedang dijalankan serta perlanjutan waktu-waktu puncak, Rapid Rail berharap dapat memperbaiki perkhidmatan serta memulihkan kebolehpercayaan perkhidmatan rel di Lembah Klang.

“Kami akan memaklumkan perkembangan proses penambahbaikan dari masa ke semasa kepada orang awam menerusi saluran-saluran media sosial dan media massa.

“Pihak Rapid Rail amat memahami akan kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh pengguna dan pada masa yang sama kami menghargai sokongan orang ramai kerana menggunakan pengangkutan awam. Sebarang cadangan penambahbaikan boleh disalurkan menerusi emel [email protected],” petik kenyataan rasmi Rapid Rail.