Pada hari Sabtu lalu kemenangan pasukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) ke atas Terengganu FC telah menjadi meraih perhatian ramai. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu turut dihadiri oleh pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) yang menggayakan fesyen cukup ‘subtle‘ — baju t-shirt dan seluar berwarna hitam serta kasut dan jam tangan berwarna putih.

Akaun Instagram @insaneluxurylife, yang fokus pada jam tangan mewah dipakai individu-individu ternama seluruh dunia telah berkongsi info lanjut mengenai jam tangan yang dipakai oleh baginda pada malam itu.

Baca Juga:

Menerusi perkongsian laman Instagram itu, jam tangan tersebut merupakan model AET Remould Daytona ‘Johor Edition’ yang direka khas istimewa untuk Kerabat Diraja Johor sahaja.

Difahamkan jam tangan mewah itu menggunakan model asal Rolex Cosmograph Daytona. Bagi jam ‘special custom order‘ ini, kerangka jam itu diperbuat menggunakan bahan jenis sapphire crystal, salah satu bahan yang paling sukar untuk dibentuk. Pada bahagian dial pula mempunyai rekaan bendera Johor yang berwarna putih, merah dan biru.

Menerusi perkongsian @insaneluxurylife lagi, harga untuk sebuah jam itu dianggarkan USD97,700 atau mengikut pertukaran mata wang Malaysia ketika ini lebih kurang RM440,382.

Pun begitu, sebelum ini ada netizen pernah membuat spekulasi harga jam tangan itu dianggarkan mencecah lebih USD128,000 (RM576,960).

Netizen membuat spekulasi harga jam tangan Daytona 'Johor Edition' melebihi RM576,960
Sumber Gambar: Facebook We Are Cyclist

Untuk makluman, AET Remould merupakan sebuah syarikat independent yang pakar dalam menyediakan perkhidmatan kustom jam tangan mewah.

Mereka turut menghasilkan sebuah model untuk JDT FC pada bulan Jun lalu, dalam kuantiti terhad, hanya 5 unit sahaja di seluruh dunia.

AET Remould Johor Darul Ta’zim FC  juga mempunyai kerangka diperbuat daripada sapphire crystal, dail itu menggabungkan lambang kelab, kepala harimau dan logo pasukan di sudut kanan bawah serta tiga pilihan warna straps iaitu putih, merah dan biru — seunit jam ini berharga sekitar USD97,700 atau RM440,382 sahaja.