Filem Resident Evil: The Final Chapter merupakan sebuah filem bergenre horror, thriller, action, dan sci-fi yang telah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 19 Januari yang lalu.

Filem arahan Paul W.S. Anderson ini adalah siri keenam dalam rangkaian filem Resident Evil yang terdiri daripada Resident Evil (2002), Resident Evil: Apocalypse (2004), Resident Evil: Extinction (2007), Resident Evil: Afterlife (2010), Resident Evil: Retribution (2012).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pada pendapat saya, Paul W.S. Anderson telah berjaya mengarah dan menulis filem ini dengan begitu baik. Semestinya kalau dilihat dari segi sinematografi, beliau telah berjaya memaparkan sebuah filem yang padat dengan aksi-aksi menarik dan cinematic.

Bagi penggemar filem aksi seperti ini, pastinya reaksi-reaksi serta komen-komen positif akan diberikan. Namun, di sebalik aksi-aksi menarik tersebut, sebenarnya ada mesej-mesej yang ingin disampaikan kepada para penonton.

Selain hiburan, filem juga adalah medium untuk menyampaikan mesej, ideologi, atau fahaman kepada masyarakat. Konsep penceritaan/naratif dalam filem, sama saja konsepnya dengan buku-buku fiksyen yang dikenali sebagai novel.

Sama ada filem atau novel, kedua-duanya mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk melakukan kritik sosial. Oleh itu, ianya lebih dekat dengan masyarakat dan mesej-mesej sama ada tersirat atau tersurat lebih mudah untuk disampaikan.

Melalui Resident Evil: The Final Chapter, Paul W.S. Anderson telah melakukan satu kritik sosial yang berfokus kepada kehidupan masyarakat sejagat pada hari ini.

Setelah menonton filem tersebut, saya dapat decode beberapa mesej yang ingin disampaikan iaitu melalui T-Virus dan watak Alice, watak utama filem tersebut yang dilakonkan oleh Milla Jovovich.

T-Virus

T-Virus merupakan sebuah virus yang telah menyebabkan umat manusia bertukar menjadi zombi. Bagaimana ianya telah mengubah manusia menjadi zombi, itu anda perlu teroka sendiri. Hal ini kerana, konteks penulisan saya hanyalah berfokus kepada mesej yang ingin disampaikan sahaja.

Jadi, saya akan pergi terus kepada peranan T-Virus dalam usaha untuk melakukan kritik sosial melalui filem ini. Setelah berfikir dengan tenang serta melakukan sedikit research, saya dapati ada dua bentuk mesej yang ingin disampaikan melalui penyebaran T-Virus dalam filem tersebut.

1. Alat untuk membina sebuah peradaban baru.

Kalau anda telah menonton filem ini, anda mesti ingat babak semasa Alice dan kawan-kawannya mula-mula masuk ke dalam markas bawah tanah Umbrella Corporation. Waktu itu, Ratu Merah muncul pada sebuah alat pemancar canggih.

Semasa itu, Ratu Merah telah memberitahu pelbagai maklumat kepada Alice, misalnya tentang antivirus. Selain itu, Ratu Merah juga turut memaparkan rakaman Dr. Isaacs semasa memperkenalkan T-Virus kepada ahli lembaga pengarah Umbrella Corporation.

Dr. Isaacs menyatakan bahawa penyebaran T-Virus adalah rancangan untuk mewujudkan sebuah tamadun baru. Melalui penyebaran tersebut juga, kekejaman dan huru-hara dalam dunia seperti peperangan dapat dihentikan.

Malah, Dr. Isaacs juga turut menyatakan bahawa melalui penyebaran tersebut, alam semula jadi yang kian musnah ekoran pembangunan pesat dapat dibentuk semula.

Pada pandangan saya, hasrat Dr. Isaacs itu merupakan satu hasrat yang murni. Beliau sebenarnya cuba untuk mewujudkan sebuah dunia yang lebih baik tanpa kerosakan disebabkan rasa tamak dan peperangan.

Oleh itu, beliau menganggap dirinya sebagai wakil tuhan yang bertanggungjawab untuk menghentikan segala kerosakan tersebut dengan menurunkan bala kepada umat manusia melalui T-Virus.

Perihal menurunkan bala ini adalah berpandukan bala-bala yang pernah diturunkan kepada umat-umat sebelum ini, misalnya banjir besar yang telah diturunkan kepada umat Nabi Nuh yang sekaligus melenyapkan umat tersebut.

2. Peranan T-Virus dalam menzombikan manusia.

Kalau kita tengok ciri-ciri zombi dalam filem ini, ianya bodoh, tidak tahu bercakap, dan hanya tahu untuk mencari mangsa iaitu manusia. Para zombi ini kemudiannya akan menggigit manusia dan menjadikan manusia itu zombi, dan ianya akan berterusan begitu.

Hal ini terlalu umum dan dapat kita lihat melalui filem-filem bertemakan zombi yang lain. Cuma filem Zombi Kampung Pisang saja menunjukkan bahawa zombi mempunyai otak dan boleh berfikir, malah ada komuniti mereka sendiri.

Melalui pemerhatian saya, watak zombi dalam filem Resident Evil: The Final Chapter merupakan perlambangan kepada umat manusia pada hari ini. T-Virus itu pula merupakan perlambangan kepada perkembangan teknologi yang semakin canggih pada hari ini.

Abjad ‘T’ itu sendiri, pada pendapat saya merujuk kepada perkataan teknologi. Hal ini bermaksud, perkembangan teknologi yang semakin hari semakin canggih pada hari ini sebenarnya telah menjadikan manusia sama seperti zombi.

Contoh, apabila berlakunya perkembangan teknologi seperti telefon pintar, sifat antisosial dalam diri manusia turut mula menular. Bukankah sifat ini sama seperti zombi? Sibuk dengan hal masing-masing walaupun hidup dalam satu komuniti.

Selain sifat antisosial, kita boleh lihat lagi sifat-sifat zombi yang rakus dan kejam dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Pertama, melalui kemunculan golongan keyboard warrior yang sering menyebarkan berita-berita yang tiada kesahihannya, misalnya berita tentang orang.

Kedua, melalui kewujudan masyarakat yang tidak peka terhadap sesuatu berita atau maklumat yang disampaikan. Mereka hanya menerima bulat-bulat apa yang disampaikan melalui teknologi iaitu media sosial. Melalui kefahaman mereka itu, setiap orang yang tidak bersependapat dengan mereka akan dikecam habis-habisan.

Bukankah ini sikap ini begitu mirip dengan sifat zombi? Menentang setiap manusia untuk menjadikan mereka zombi yang bodoh dan tunduk mengikut sahaja.

Jika dilihat, memang kedua-dua bentuk mesej itu tidak selari. Yang pertama, T-Virus dilihat sebagai alat untuk membina sebuah tamadun baru. Yang kedua, T-Virus dilihat sebagai alat untuk menghapuskan sesebuah tamadun.

Maka, apa yang boleh saya simpulkan di sini, filem ini sebenarnya mengajar kita untuk lebih bijak menggunakan teknologi. Hal ini kerana, teknologi boleh digunakan sebagai alat untuk membina sebuah tamadun, pada masa yang sama ianya boleh digunakan sebagai alat untuk memusnahkannya.

Alice

Antara mesej paling mendalam ingin disampaikan dalam filem Resident Evil: The Final Chapter adalah melalui watak utamanya iaitu Alice. Watak ini telah dilakonkan dengan baik oleh Milla Jovovich. Watak ini mempunyai personaliti, kebolehan, dan cara berfikir yang boleh dikatakan sempurna.

Ya, sememangnya ketiga-tiga komponen tersebut bukan sahaja sama dengan apa yang ada pada manusia, malah ianya telah melampaui apa yang ada pada manusia normal itu sendiri.

Pada pendapat saya, inilah kritik sosial paling mendalam atau paling pedih jika nak dibandingkan sama ada dengan tujuan penciptaan T-Virus ataupun perlambangan zombi kepada manusia.

Kalau anda tonton filem ini sehingga habis, anda akan dapat tahu bahawa Alice bukanlah manusia sebenar. Alice sebenarnya adalah klon kepada salah seorang ahli lembaga pengarah Umbrella Corporation iaitu Alicia Marks. Jadi, kenapa saya katakan watak ini merupakan kritik sosial paling pedih dan mendalam?

Watak Alice merupakan antara watak yang berjaya survive sehingga siri keenam ini. Bukan Alice sahaja, tapi ada juga beberapa watak lain yang telah berjaya survive ke tahap ini.

Namun, pada akhir filem tersebut, Dr. Isaacs telah dibunuh. Begitu juga dengan Alicia Marks yang mati ketika berlakunya pengeboman markas bawah tanah Umbrella Corporation. Yang tinggal selepas itu, hanya Claire dan Alice.

Melalui perkara ini, kita dapat lihat bahawa filem tersebut sekali lagi ingin menunjukkan kebodohan manusia di bawah teknologi. Dalam konteks filem ini, kita dapat lihat bahawa Dr. Isaacs sendiri telah kalah kepada Alice yang merupakan makhluk ciptaannya sendiri.

Alicia Marks turut menyatakan bahawa Alice sebenarnya telah melebih jangkauan mereka. Malah, dia turut mengatakan bahawa Alice telah menjadi makhluk yang jauh lebih baik daripada dirinya sendiri walaupun Alice itu hanyalah klon semata-mata.

Melalui kedua-dua perkara tersebut, kita dapat lihat bahawa manusia sebenarnya telah dikalahkan oleh teknologi yang mereka cipta sendiri. Yang kedua, kita dapat lihat bahawa manusia sebenarnya terlalu mengagungkan teknologi sehingga mereka menjadi leka, lalai, dan bodoh.

Dalam konteks masyarakat hari ini, manusia terlalu bergantung kepada teknologi. Kalau boleh diberikan peratus, saya akan berikan 80% untuk perkara tersebut.

Dengan kemajuan teknologi seperti wi-fi serta telefon pintar yang dilengkapi pelbagai fungsi dan kemudahan, manusia kian leka dan lalai dengan tanggungjawab mereka sendiri.

Oleh itu, dapat dilihat bahawa mesej yang ingin disampaikan melalui watak Alice iaitu manusia itu perlu mengawal teknologi dan bukan teknologi yang mengawal manusia.

Bagi menyimpulkan segala celoteh mengenai filem ini, saya sarankan anda untuk menontonnya sendiri. Mungkin sebelum ini anda akan menonton hanya kerana terdapatnya aksi-aksi menarik semata-mata, tapi kali ini anda akan menonton dengan penuh penghayatan. Sekurang-kurangnya ada jugalah isi bila anda menonton filem ini nanti.