Pengiklanan merupakan aktiviti yang biasa dalam mana-mana perniagaan. Antara medium yang popular kini ialah FBAds terutamanya untuk perniagaan dalam talian.

Terkini terdengar berita mengenai pengiklanan di Google dan Facebook dikenakan 8% cukai pegangan (withholding tax).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apa itu Cukai Pegangan?

Cukai pegangan merupakan cukai yang dikenakan kepada penerima pendapatan (pembekal) bukan pemastautin, namun cukai ini dipegang oleh pembayar (perniagaan) dan dibayar kepada pihak LHDN.

Sebagai contoh, apabila perniagaan mendapatkan khidmat dari luar negara, perniagaan perlu memegang sebahagian dari nilai bayaran sebagai cukai pegangan untuk dibayar kepada LHDN.

Antara jenis bayaran kepada bukan pemastautin yang dikenakan cukai pegangan ialah perkhidmatan, yuran teknikal, sewa harta boleh alih, bayaran kontrak, faedah dan royalti.

Secara teorinya, jika kos perkhidmatan tersebut bernilai RM1,000 dan kadar cukai pegangan ialah 10%, maka perniagaan perlu membayar RM100 kepada pihak LHDN dan cuma membayar RM900 kepada pembekal perkhidmatan dari luar negara tersebut.

Saya akan fokuskan perbincangan ini kepada FBAds sahaja.

Kos FBAds ini diklasifikasi sebagai Royalti dan bukanlah perkhidmatan pengiklanan. Mengapa?

Pihak Facebook menawarkan sistem untuk peniaga mengiklankan produk mereka. Peniaga sendiri yang akan menulis iklan dan menentukan beberapa kriteria tertentu dalam sistem FBAds.

Jadi pihak FB hanya menawarkan penggunaan sistem mereka dan bukan memberikan perkhidmatan pengiklanan.

Bayaran untuk menggunakan sistem inilah yang diklasifikasikan sebagai Royalti.

Invois FBAds pula diterima dari Ireland. Berdasarkan perjanjian pengelakan percukaian dua kali dengan Ireland, kadar cukai pegangan bagi Royalti ialah 8%.

Masalah timbul apabila kebanyakan pembekal ini tidak bersetuju dengan penolakan ini. Bagi mereka nilai perkhidmatan mereka ialah RM1,000 dan bukannya RM920 (selepas ditolak 8% cukai pegangan bernilai RM80).

Maka pengiraan berbeza perlu dilakukan.

Pembayaran FBAds yang bernilai RM1,000 dianggap sebagai 92% dari jumlah Royalti, iaitu 8% lagi merupakan cukai pegangan.

Jadi, kos sebenar yang dikeluarkan oleh peniaga ialah:
RM1,000 / 0.92 X 8% = RM86.96

Kos pengiklanan di FBAds anda sebenarnya ialah RM1,086.96.

Persoalannya, masih berbaloikah perniagaan menggunakan medium FBAds?

Ia bergantung kepada sejauh mana perniagaan tersebut mengetahui nombor-nombor perniagaan mereka seperti margin keuntungan, kos produk dan kos overhead.

Anda juga perlu melihat peratus pulangan / kejayaan pengiklanan FBAds ke atas penjualan produk anda.

Jika tidak berbaloi, di mana pula anda mahu salurkan kos iklan tersebut?

Nota : Perbincangan ini berdasarkan pandangan peribadi penulis, dan bukanlah sebarang bentuk nasihat dan konsultasi.