Sesiapa yang pernah membeli barangan sukan di Al-Ikhsan pasti pernah terfikir mengapa al-Ikhsan boleh menjual barangan di butik mereka dengan harga murah? Kadangkala, ianya jauh lebih murah daripada butik sebenar jenama yang dibawa masuk di Al-Ikhsan.

Disebabkan itu, ada juga yang menuduh Al-Ikhsan sebenarnya menjual barangan ‘copy ori’ Gred 1 dan tidak original. Namun seorang pengguna Twitter, Fendy Zaidan menepis dakwaan berkenaan.

Menurut Fendy, sebab utama mengapa Al-Ikhsan dapat menjual barangan pada harga lebih murah adalah kerana barangan yang mereka bawa masuk adalah daripada ‘Tier 2’. Butik rasmi sesuatu jenama pula membawa masuk produk ‘Tier 1’. Jadi disebabkan itu, anda jarang jumpa produk ‘mahal’ di Al-Ikhsan.

Tier 2 tidak bermakna ianya tidak berkualiti. Cuma, modelnya mungkin anda tidak pernah lihat sebelum ini dan dijual pada harga jauh lebih mampu milik. Perbezaan antara produk di Tier 1 dan Tier 2 adalah lebih kepada pemilihan material dan teknologi untuk sesuatu model.

Fendy membuat perbandingan lagi, barangan edisi khas seperti Yeezy, Air Jordan edisi khas dan mana-mana koleksi kolaborasi pula terletak pada level ‘Tier 0’. Hanya butik terpilih sahaja yang akan membawa masuk model-model edisi khas ini. Disebabkan itu anda tidak akan nampak Yeezy dilancarkan di Al-Ikhsan.

Perbezaan utama produk daripada pelbagai level ini adalah dari segi penggunaan material serta teknologi untuk menghasilkan sesuatu produk. Sebagai contoh, kasut but bola. Jenis material yang digunakan adalah pelbagai; kulit sebenar sehinggalah PVC. Semuanya bergantung kepada bajet dan tujuan kegunaan anda untuk membeli sesuatu barangan sukan.

Seperti biasa, Al-Ikhsan juga tidak terlepas daripada tuduhan menjual barangan fake. Fendy menerangkan bahawa perkataan ‘Replica’ tidak bermaksud ianya fake. Replica adalah jersi yang dibuat untuk peminat, jauh beza kualitinya dengan yang dipakai oleh pemain sebenar. Jika anda mahu jersi yang dipakai oleh pemain favourite anda, harganya mungkin berlipat kali ganda kerana penggunaan material serta teknologi yang berbeza.

Fendy menutup thread ini dengan soalan mudah, jika Al-Ikhsan jual fake, mengapa Al-Ikhsan masih wujud sehingga sekarang? Sudah pasti jika mereka jual fake, jenama seperti adidas dan Nike sudah lama tarik balik lesen jualan mereka daripada Al-Ikhsan.

Anda boleh baca thread penuh beliau berkenaan Al-Ikhsan di sini. Semoga selepas ini anda akan lebih yakin untuk membeli barangan di Al-Ikhsan.

Anda suka Al-Ikhsan? Ini satu lagi butik yang turut berada di bawah kendalian Al-Ikhsan

Cawangan Terbesar Football Republic Dibuka Di Sunway Pyramid