Bila travel, selalunya kita hanya akan berkongsi saat-saat gembira di media sosial. Tak cukup dengan coretan status, ditambah pula dengan gambar-gambar indah yang sudah dihiasi dengan filter yang pelbagai.

Tapi kali ini aku mahu bercerita benda-benda ‘tak best’ yang berlaku semasa travel kerana hakikatnya detik-detik malang itulah yang aku akan ingat sampai bila-bila. Kalau ditanya, trip paling ‘tak best’ yang aku pernah lalui adalah Melbourne-Tasmania Jun 2016.

Highlight trip ini sudah semestinya Tasmania, sebuah kepulauan yang terletak 240 kilometer dari pantai Tenggara benua Australia, dipisahkan oleh Selat Bass. Penerbangan dari Melbourne ke Hobart, ibu kota Tasmania mengambil masa kira-kira satu jam.

Walaupun Australia ni terkenal dengan kanggaru, tapi bila kau di Tasmania haruslah kau mencari Tasmanian Devil. Tapi sepanjang 4 malam aku dekat sana, haram seekor Tasmanian Devil pun tak datang jumpa aku. Geram jugak rasanya.

Tips 1: Kalau korang merancang untuk ke Tasmania, adalah sangat dinasihatkan untuk menyewa kereta sebagai medium pengangkutan utama. Kereta sewa boleh ditempah lebih awal secara online di https://www.vroomvroomvroom.com.au.

Laman web ni membolehkan korang untuk bandingkan harga dan pilihan kereta sewa di Australia daripada syarikat-syarikat yang berbeza antaranya Aviz, Hertz, Thrifty dan sebagainya.

Kia Rio menjadi kereta pilihan kami untuk menerokai Tasmania melalui Great Eastern Drive. Bermula dari Lapangan Terbang Hobart, kami terus menuju ke Richmond, Orford, Triabunna, Swansea, serta berakhir di Coles Bay sebelum kembali semula ke Hobart. Pengembaraaan di sepanjang pantai timur Tasmania tersebut mengambil masa lebih kurang 3 hari 2 malam.

Ketika itu, musim sejuk sebenarnya baru sahaja bermula di Australia. Pemanduan di sepanjang jalan agak sepi ditemani oleh hiburan dari corong radio Hobart FM serta pemandangan yang menghijau kekuningan di sebelah kiri dan kanan.

Tempat bermalam pertama kami di Swansea tersangatlah sunyi dengan kehadiran hanya seorang lagi pengembara lain yang juga berwajah Asia. Mungkin tidak ramai mat dan minah saleh dari Eropah yang suka datang ke Australia ketika musim sejuk.

Bayangkan tidak berbaju atau hanya berbikini di tepi pantai pada suhu 3 darjah celcius, bukankah itu aktiviti yang sia-sia dan mengundang malapetaka?

Selesai check-in di Swansea Backpackers Lodge, kami keluar untuk ke kebun beri (berry farm) yang berdekatan. Dalam perjalanan, aku sudah terbayang memetik sebiji blackberry lalu memasukkannya ke dalam mulut, dan dengan hanya satu gigitan rasa masam manisnya mula terpercik ke seluruh ruang lidah. Tiba sahaja di sana, bukan mulut tetapi sebaliknya hati yang masam melihatkan tiada sebiji pun buah beri yang ditanam.

Astaghfirullahalazim, mana ada orang tanam buah beri musim sejuk tuan-tuan! Tak buat research lagi, padan muka sendiri, padan. Kah kah.

Kecewa dengan berry farm, kami membawa hati yang lara ke pesisir pantai Swansea. Harapan kali ini agar boleh lah berjumpa dengan gadis-gadis Tasmania untuk mengubat hati yang duka.

travel-ke-tasmania-2
Jambatan di Richmond.
travel-ke-tasmania-3
Singgah sebentar di Orford.
travel-ke-tasmania-4
Pesisir pantai di timur Tasmania.
travel-ke-tasmania-5
Fish and Chip di Triabunna.
travel-ke-tasmania-6
Swansea, tempat bertemu jemaah tabligh.
travel-ke-tasmania-7
Swansea Backpackers Lodge, tempat kami bermalam di Swansea.

G’day, mate” Pembuka bicara yang cliché sudah tersedia rapi di bibir andainya terserempak dengan mana-mana gadis Aussie.

Gadis yang dicari, tabligh pula yang ditemui. Benar tuan-tuan, jemaah tabligh di pekan Swansea. Sebagai seorang pelajar universiti, jemaah tabligh adalah suatu perkara yang sangat ‘ditakuti’ di kampus. Kau mengaku sahajalah, selepas maghrib tiba-tiba ada yang mengetuk pintu bilik.

“Assalamualaikum…”

Suasana bising di dalam bilik tiba-tiba bertukar menjadi lengang. Suara gelak tawa diperlahankan, volume PES 2013 di computer direndahkan. Punyalah takut geng-geng tabligh tahu kau kat dalam. Paling biadap adalah yang jenis buka pintu kemudian cakap nak keluar makan, membiarkan teman-teman sebilik menjadi ‘mangsa’. Kah kah.

Sebaliknya, bertemu jemaah tabligh di ceruk bumi Australia pula sangat mengujakan. Walaupun pertemuan tersebut hanya sebentar, sempat mereka berpesan:

“Wherever you go, please say LailahaillaAllah, SubhanaAllah and Alhamdulillah. Let the plants and trees hear it. They are all creatures of Allah.”

Kata mereka juga, Swansea tidak mempunyai komuniti Muslim langsung, namun ada 3 orang yang beragama Islam di Coles Bay, kawasan yang berjiran dengan Swansea. Moga Allah merahmati usaha dakwah mereka.

Hari ketiga di Tasmania, kami perlu bergerak pulang dari Coles Bay menuju ke Hobart. Perjalanan bermula di awal pagi kerana kami tidak mahu terlepas untuk berkunjung ke Salamanca Market salah satu tarikan utama di bandar Hobart yang hanya dibuka pada hari Sabtu daripada 8.30am – 3.30pm.

Diiringi dengan hari yang masih gelap dan dingin, aku memandu dengan berhati-hati membelah kawasan Taman Negara Fraycinet. Tiada sebatang lampu di kiri dan kanan melainkan hanya lampu kereta yang menerangi jalan di hadapan. Tanpa diduga, secara tiba-tiba seekor wallaby muncul dari sebelah kanan , melintasi kereta aku dalam jarak kurang dari 1 meter.

BAMMMMM!

Aku tergamam. Semuanya berlaku dengan pantas. Di fikiran aku terus berlegar-legar seekor wallaby yang aku baru temui pada hari sebelumnya. Adakah yang aku baru langgar ini adik-beradik beliau? Sepupu mungkin? Boleh jadi juga boyfriend?

Ah sudah, rasa bersalah menyelubungi diri. Aku perlahankan kereta dan memandang cermin sisi, wallaby tadi tidak kelihatan. Hanya ada dua kemungkinan, sama ada wallaby itu kebal lalu selamat dan berjaya lari ke dalam hutan atau juga dia tersangkut di bumber hadapan kereta.

Tanpa berlengah aku berhentikan kereta di bahu jalan. Jika kemungkinan kedua adalah betul, tidak sanggup untuk aku melihatnya dengan mata sendiri. Member aku di kerusi penumpang terus keluar dan berjalan ke bahagian depan kereta. Telahan kami tepat, wallaby yang sudah tidak bernyawa tersebut ditarik keluar dan dibaringkan di bahu jalan.

Tips 2: Sebagai sebuah benua yang penuh dengan binatang yang pelik dan unik, kadar kemalangan melibatkan haiwan adalah agak tinggi di Australia, di mana statistik menunjukkan 9 daripada 10 kemalangan tersebut berpunca daripada kanggaru.

Manakala selebihnya adalah haiwan lain seperti wallaby, wombat dan anjing. Dalam menghadapi keadaan seperti ini, tindakan-tindakan yang boleh dibuat adalah:

(i) Berhentikan kereta di tepi jalan dengan selamat. Jika keadaan mengizinkan, pindahkan haiwan yang dilanggar luar dari kawasan jalan. Ini adalah untuk keselamatan pengguna-pengguna lain.

(ii)Hubungi pihak berkuasa atau Ranger terutamanya jika haiwan tersebut cedera dan masih ada harapan untuk hidup.

Tahukah Anda Tasmania Juga Adalah Tempat Melihat Aurora Australis? Ini 15 Tip Mengejar Cahaya Selatan Di Sana

travel-ke-tasmania-8
The Devil’s Corner, terletak di antara Swansea dan Coles Bay.
travel-ke-tasmania-9
Pemandangan hijau dan kuning sepanjang pemanduan.
travel-ke-tasmania-10
I’m sorry.
travel-ke-tasmania-11
Wineglass Bay, 2 jam hiking diperlukan untuk ke sini.
travel-ke-tasmania-12
No caption needed.
travel-ke-tasmania-13
Beautiful Tasmania.

Setelah semuanya selesai, aku meneruskan pemanduan dengan hati yang tabah, ditambah juga rasa trauma dan bersalah. Kali ini lebih berhati-hati untuk mengelakkan kejadian sama berlaku.

Ternyata bukan wallaby tadi sahaja yang tidak bernasib baik pada hari tersebut, kelihatan banyak lagi haiwan lain bergelimpangan di kiri dan kanan jalan sepanjang laluan kami pulang kami ke Hobart. Sedih.

Kepada mereka yang ingin membuat road trip di Australia,

‘Pandulah dengan cermat dan berhati-hati. Kalau ada budget lebih, belilah insuran kereta supaya poket anda tidak kering di kemudian hari. Malang tidak berbau, wallaby melintas tidak disangka’

Kepada seluruh keluarga wallaby di Australia, di hujung Syawal ini, aku mengambil kesempatan untuk memohon maaf zahir dan batin.

Kepada kanggaru, wombat, wallaroo dan semua keturunan-roo di Australia, pandanglah kiri dan kanan terlebih dahulu sebelum melintas.

Cerita pengalaman malang di Tasmania sebenarnya tidak berakhir di sini. Tapi aku tulis panjang-panjang ni korang baca ke? Kalau rajin nanti aku sambung lagi.

Baca lagi: Jelajah Pulau Tasmania Di Australia Selama 9 Hari, Ini Itinerari DIY Kami Untuk Rujukan