Sejak cawangan pertamanya dibuka pada 11 November 2016 di Wisma Lim Foo Yong, Kuala Lumpur, Family Mart terus menjadi kedai serbaneka pilihan rakyat Malaysia kerana kepelbagaian produk serta makanan menarik yang dijual di sana.

Warna ikonik hijau dan biru logo Family Mart mudah dilihat dari jauh untuk membezakannya dengan kedai serbaneka yang lain. Namun lain pula kisahnya untuk cawangan Family Mart di Cameron Highlands kerana warna papan tandanya hanya hitam dan putih.

Perkongsian gambar oleh seorang pengguna Twitter, Dea tertarik dengan keunikan papan tanda tersebut. Menurutnya, setakat ini hanya di Cameron Highlands wujud Family Mart dengan papan tanda sebegini.

Rata-rata warga Twitter yang lain turut sama berkongsi keterujaan dan mencari sebab mengapa papan tanda ini seperti ‘tidak siap’ kerana tiada warna ikonik Family Mart.

Seorang lagi pengguna Twitter kemudiannya memberitahu bukan saja-saja pengurusan Family mart ‘membuang’ warna pada papan tanda tersebut dan mereka mempunyai polisi khas untuk penggunaan warna papan tanda hitam putih.

Menurut saudari Aqilah jika di Jepun, Family Mart akan menggunakan pendekatan ini jika mereka membuka cawangan di kawasan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi. Mereka akan menggunakan warna yang lebih calm (tenang) supaya warna logonya tidak jadi lebih menyerlah berbanding keindahan kawasan tersebut.

Meneruskan pertanyaan kepada saudari Aqilah, sesetengah kawasan di Jepun mempunyai undang-undang khas untuk penggunaan warna dan saiz papan tanda.

Sebagai contoh, McDonald’s juga tidak menggunakan warna ikonik merah kuningnya pada papan tanda di kawasan tertentu supaya warnanya tidak mengganggu ‘tema warna’ kawasan tersebut. Namun, hidangan dan menu yang ditawarkan tetap sama.

Polisi itu nampaknya turut diterapkan di Malaysia dan kita boleh melihatnya di Family Mart Cameron Highlands. Kami juga sudah menghubungi dan menanti jawapan rasmi pihak Family Mart Malaysia berkenaan perkara ini.

Setakat ini terjawab sudah persoalan yang bermain di fikiran ramai dan selepas ini jika anda nampak Family Mart dengan papan tanda hitam putih, terus anda boleh jangka terdapat tarikan alam semula jadi di kawasan tersebut. Semoga bermanfaat!

P/S: Saudari Aqilah juga merupakan salah seorang wakil Pertubuhan Nisa Malaysia dan jika anda berkemampuan untuk menyumbang peralatan sekolah untuk adik-adik yang kurang berkemampuan, boleh klik di sini.

Kemas kini: Berdasarkan respons rasmi daripada Family Mart Malaysia, mereka bersetuju dengan penggunaan papan tanda berwarna hitam putih di kawasan dengan keindahan alam semula jadi.

Namun, penggunaan papan tanda hitam putih ini juga adalah kerana mengikut saranan pihak berkuasa tempatan yang menetapkan warna hitam dan putih untuk papan tanda perniagaan di Cameron Highlands.

Ini perkongsian menarik untuk anda yang bercadang untuk ke Jepun buat pertama kali. Baca lagi pada pautan di bawah.

Tip Penting Buat Mereka Yang Pertama Kali Ke Jepun

FamilyMart Sah Terima Sijil Halal Daripada JAKIM

6 Tips Buat ‘Engineer’ Peroleh Gaji Sehingga RM20,000 Sebulan Di Jepun

Sumber