Mungkin ada yang mengenali beliau dan ada juga yang tertanya siapakah gerangan individu di sebalik nama Datuk Seri Haji Johari bin Abdul Ghani?

Untuk pengetahuan anda, beliau merupakan bekas Menteri Kewangan Kedua yang memulakan tugas dari tahun 2016 hingga 2018. Tambah menarik, atas dasar pengalaman yang luas dalam bidang politik dan perniagaan, kini beliau dilantik menjadi pengerusi KUB Malaysia dan C.I Holding Berhad.

Berpengalaman luas dalam bidang perniagaan

doc76onxkalrwoo05an37z
Pengarah dan pemegang saham terbesar KUB Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani | Sumber: The Star

Datuk Johari mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Pandan (kini dikenali sebagai SRK Tun Hussein Onn ) pada tahun 1971 hingga 1976 dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kampung Pandan, bermula dari tahun 1977 hingga 1981.

Selepas menamatkan Diploma Perakaunan di Institut Teknolgi Mara (ITM), Shah Alam pada tahun 1985, beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan yang sama di United Kingdom dan berjaya memperoleh kelulusan ‘Chartered Association of Certified Accountants’ (ACCA) pada tahun 1988. Datuk Johari memulakan kerjaya pertamanya di firma perakaunan antarabangsa yang dikenali sebagai Peat Marwick & Company.

Sejak itu, beliau berjaya memegang beberapa jawatan kanan di dunia korporat dan telah membantu dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi bagi syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia. Diri beliau kini sudah lagi tidak asing dengan permainan industri barang pengguna yang bergerak pantas (FMGC) disebabkan beliau telah berjaya memiliki pegangan saham terbesar di KFC Holdings.

Beliau kini lebih banyak menguruskan jenama-jenama makanan segera yang bukan sahaja mesra di hati rakyat Malaysia bahkan serata dunia seperti KFC, Pizzahut dan Ayamas. Bermodalkan pasaran lebih RM4 billion, kini terbukti kehebatan beliau dalam bidang perniagaan telah mengubah ketiga-tiga syarikat makanan tersebut menjadi semakin terkenal di Malaysia.

Beliau juga merupakan individu penting yang banyak membantu dalam menaikkan nama syarikat Pemanis Sdn Bhd (kilang pengeluaran botol khas untuk produk keluaran jenama PepsiCo). Dalam syarikat berkenaan, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan telah menguruskan 14 jenama produk di bawah PepsiCo yang masih kekal relevan sehingga hari ini bermula pada tahun 2005 sehingga 2011.

Tambah menarik, Datuk Seri Johari akhirnya berjaya membeli syarikat francais Pepsi dengan bayaran saham sebanyak RM72 juta. Beliau kemudiannya telah menjual syarikat francais tersebut kepada syarikat Asahi (milik Jepun) dengan harga saham syarikat sebanyak RM820 juta pada 2011. Disebabkan kepintaran beliau dalam bidang perniagaan, pada tahun yang sama, beliau telah diberikan satu penganugerahan khas.

Setelah lama menghabiskan masa di dunia perniagaan, pada 28 Julai 2015, Datuk Seri Johari dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan selepas bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan rombakan ahli menteri kabinet.

Berpendapat E-Dagang sebagai pelengkap kepada perniagaan

joganipandangan_1533706107
Sumber: Berita Harian

Berdasarkan laporan Malaysia Retailer, Datuk Seri Johari juga saling berkongsi pendapat beliau sendiri mengenai sektor dagangan dan pengaruhnya yang semakin bertambah mesra pengguna dalam kalangan masyarakat hari ini.

Beliau berpandangan, disebabkan penularan wabak berjangkit Covid-19 ini ternyata memberikan impak yang negatif kepada sektor perniagaan sama ada di Malaysia mahupun di peringkat global. Berpandukan era pemodenan yang serba canggih dan semuanya terletak di hujung jari, Datuk Seri Johari berpendapat bernas dan menyatakan bahawa platform e-dagang merupakan kaedah perniagaan yang begitu lengkap dan menyokong konsep perniagaan ‘brick and mortar’.

“Salah satu kelebihan utama e-commerce adalah disebabkan ianya mudah dan  mempunyai kemampuan untuk mengganggu ekosistem perniagaan biasa. Namun, untuk e-dagang yang baik, anda harus memerlukan ekosistem yang kuat dan cekap yang merangkumi rangkaian logistik, infrastruktur dan pergudangan. Hal ini ini juga harus seiring dengan kemajuan dari segi teknologi digital,” ulas Datuk Seri Johari berhubung dengan perniagaan e-dagang.

Ulas lebih lanjut, Datuk Seri Johari secara tegasnya bersetuju bahawa e-dagang sememangnya tiada sempadan halangan dari segi meraih serta mendekati capaian pelanggan berbanding sektor perniagaan fizikal. Walau bagaimanapun, ternyata suratan takdir peniaga hari ini lebih sukar dan harus berdepan dengan pelbagai cabaran bagi mengekalkan perniagaan untuk terus kekal relevan di hati pengguna.

Oleh itu, Datuk Seri Johari melontarkan pandangan dan berpendapat bahawa para peniaga hari ini mesti perlu mempunyai hala tuju yang jelas tentang perniagaan serta identiti yang mencerminkan penjenamaan perniagaan yang tersendiri. Beliau juga memberikan saranan supaya para peniaga menambah ilmu dan mempelajari manfaat kemudahan e-dagang dalam mengembangkan sektor perniagaan yang mereka usahakan kini.

Apabila ditanya soalan mengenai perkembangan Industri 4.0, Datuk Seri Johari memaklumkan kerajaan kini berada di landasan yang tepat untuk mengembangkan industri ini namun perlu dipacu dengan lebih laju dan progresif. Tambah beliau lagi, insfrastruktur yang lengkap merangkumi sistem siber-fizikal, internet perkara (IoT), pengkomputeran awan dan pengkomputeran kognitif perlu dibina terlebih dahulu.

Menurut beliau lagi, selagi pemain industri terus bergantung kepada penggunaan tenaga buruh iaitu pekerja asing, sedikit sebanyak faktor tersebut mampu melambatkan proses perkembangan industri 4.0 di Malaysia.

Diambil contoh dalam industri perhotelan, hari ini boleh dilihat ramai majikan lebih memilih untuk melantik pekerja-pekerja asing atas alasan golongan ini nyata tidak memilih dari segi soal pembayaran nilai gaji yang diberikan oleh majikan. Kesannya, secara tidak langsung faktor pengambilan pekerja asing ini mampu menyekat penglibatan warga tempatan dalam industri ini.

Kerajaan bukan hanya fokus kepada keuntungan semata-mata

16jo.transformed
Sumber: Berita Harian

Sememangnya tidak dapat dinafikan kehebatan beliau yang memiliki pengalaman yang luas selama 25 tahun dalam bidang perniagaan. Ternyata, kelebihan yang beliau miliki mampu memberikan atur langkah kepada beliau untuk turut terlibat sama dalam melicinkan pentadbiran negara. Namun, satu jurang yang nyata memberikan perbezaan ialah kerajaan tidak menumpukan keuntungan semata-mata, sebaliknya kerajaan lebih memberikan fokus utama kepada pertumbuhan dan kestabilan politik.

“Dalam dunia perniagaan, orang tidak kisah terhadap orang kaya atau miskin. Tetapi dalam menjalankan pemerintahan di mana perkembangan ekonomi adalah menjadi keutamaan dan keperluan untuk merapatkan jurang antara golongan yang kaya dan miskin dalam usaha yang berkepentingan untuk menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi demi mencapai struktur sosioekonomi yang lebih sihat.”

Beliau turut menjelaskan bahawa setiap kerajaan mempunyai batas, dan untuk menyelesaikan isu keseimbangan antara keperluan golongan yang kaya dan miskin itu sering menjadi tanggungjawab yang sangat sukar untuk kerajaan tangani. Di samping itu, beliau juga memberi satu kata peringatan bahawa sesebuah kerajaan perlu ada keseimbangan terutamanya pada fasa ketika kerajaan terlalu memberikan fokus dalam usaha untuk mengembangkan ekonomi dengan kadar yang drastik dan pantas.

Menerima ‘Anugerah Kecemerlangan’ untuk Corporate Governance (CG) Disclosure

d408
Sumber: Says

Di sebalik usaha keras anak watan ini selama berada dalam bidang perniagaan, pada 2 Oktober 2020, nama Datuk Seri Johari dijulang megah dan menerima Anugerah Kecemerlangan Corporate Governance (CG) Disclosure di bawah anak syarikat Kumpulan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG). Sebelum itu, beliau juga berjaya meraih ASEAN Corporate Governance Awards pada tahun 2019 untuk KUB Malaysia Berhad dan anugerah untuk Jangka Panjang Penciptaan Nilai untuk C.I Holdings Berhad.

Antara 866 jenama syarikat awam yang tersenarai yang dinilai melalui kaedah metodologi yang dikendalikan oleh ASEAN CG Scoreboard, syarikat KUB Malaysia dan C.I Holdings milik Datuk Seri Johari telah dinilai dan berada di kedudukan markah 4% teratas lalu berjaya meraih Corporate Governance Awards 2019. Penerimaan angugerah ini menjadi simbol bukti keberkesanan kepimpinan Datuk Seri Johari dalam mentadbir urus syarikat korporat perniagaan yang dikendalikan oleh beliau.

Berkaitan permasalahan penularan wabak Covid-19 kini berada di tahap yang membimbangkan, ekonomi Malaysia nampaknya diambang tertekan dan paling teruk, ianya nyata lebih terkesan terutamanya kepada lapisan masyarakat yang menjalankan sektor perniagaan sebagai punca pendapatan untuk kelangsungan hidup.

Berhubung isu berkenaan, Datuk Seri Johari menyeru agar seluruh rakyat di Malaysia tanpa mengira pemikiran ideologi politik untuk sama-sama menghentikan sikap pengaruh ‘politicking’ dan lebih memberikan tumpuan kepada soal kejatuhan ekonomi serta kebajikan rakyat.

Tanpa kesepakatan dan perpaduan daripada seluruh rakyat, ancaman Covid-19 ini dilihat sebagai isu yang amat sukar untuk dibendung. Berpeganglah kepada prinsip ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’ agar Malaysia terus kekal makmur dan lebih maju ke hadapan.

Sementara itu, baca lagi perkongsian daripada kami mengenai isu semasa mengenai sektor perdagangan perindustrian berat di Malaysia menerusi pautan di bawah.

Mahu Bantu Mereka Yang Terkesan Kerana Pandemik, Aeril Zafrel Buka Lebih 2,000 Peluang Pekerjaan

Perodua Yakin Capai Sasaran Jualan 240,000 Unit Kereta Pada 2021

AirAsia Lancar ‘Fresh Pack’ Untuk Anda Beli Barangan Runcit Dengan Mudah Dan Cepat