Klip video kejadian yang membunuh lapan orang di Astroworld telah mula membanjiri aplikasi TikTok. Spekulasi berkembang, orang ramai mula mengaitkan kejadian itu dengan perkara mistik dan mereka yang taksub dengan teori konspirasi juga tidak ketinggalan untuk memberi pandangan. Ada juga dakwaan yang menuduh penyanyi rap Travis Scott, penyanyi dan juga pengasas festival itu, mengetuai upacara memuja syaitan secara besar-besaran.

Perkara ini tidak masuk akal, namun teori ini berkembang dan semakin mendapat tarikan. “Ini bukan perayaan, ia adalah pengorbanan,” kata salah satu komen. “Industri muzik adalah syaitan dan tempat mengumpul jiwa,” kata komen lain dengan 34,000 suka. Dengan frasa seperti ‘dunia astronik’ atau ‘iluminati astroworld’, ia mula mendapat tempat di media sosial.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bagi pakar, maklumat yang berkembang berlandaskan teori konspirasi telah menyebabkan salah faham terutamanya kepada generasi muda yang banyak mendominasi media sosial. “Kita ada stereotaip bahawa mereka yang percaya teori konspirasi adalah orang yang lebih tua, namun orang muda dalam beberapa situasi lebih senang terdedah,” kata Jennifer Stromer-Galley, seorang profesor yang mempelajari platform media sosial di Universiti Syracuse kepada The Guardian.

Antara teori yang mengaitkan syaitan dengan kejadian maut di Astroworld tersebut adalah penggunaan beberapa ‘simbol’ yang dikatakan pelik dan mengikut Freemason, termasuk gambar api dan burung merpati yang terbakar. Manakala sebahagian pula menyatakan bahawa pentas itu direka dengan bentuk ‘salib yang terbalik, seolah jalan menuju ke neraka’. Yang lain pula mendakwa bahawa Travis Scott dan Drake “dilahirkan selang 66 bulan 6 hari”.

Bagi Joseph Russo, pensyarah yang mengajar di kelas antropologi teori konspirasi di Universiti Wesleyan, beliau berpendapat dakwaan liar ini mempunyai kaitan dengan organisasi QAnon yang tumbuh sejak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat. “Ia merebak dan membentuk sesuatu yang berbeza, tetapi ia kembali kepada idea asal bahawa terdapat sekumpulan orang yang mengawal di sebalik semuanya,” kata Russo. “Ia sangat menggoda, dan sentiasa kembali – tetapi apa yang menghairankan adalah orang muda semakin mengikut skrip ini.”

Ini bukan kali pertama TikTok menjadi pusat kepada penyebaran maklumat yang salah dalam kalangan pengguna muda. Pada tahun 2020, terdapat teori yang menuduh salah satu jenama perabot sebagai pusat pemerdagangan manusia dan seks kanak-kanak. Jurucakap TikTok berkata kandungan teori konspirasi melanggar garis panduan dan TikTok akan mengambil tindakan terhadap kandungan tersebut. Bagi Abbie Richards, seorang penyelidik maklumat salah TikTok, walaupun teori konspirasi kelihatan tidak merbahaya, namun ia masih boleh menimbulkan masalah dan kesan besar di luar talian.

Pada 2016, seorang lelaki radikal yang percaya dengan teori konspirasi dan mempunyai kaitan dengan QAnon menyerbu sebuah restoran di Washington DC dengan senjata. Pemberontakan 2021 di Capitol AS adalah sebahagian besar kejadian yang didorong oleh teori konspirasi dan telah mengakibatkan lima kematian.

Penyebaran maklumat salah dan teori konspirasi, di kalangan orang muda dan tua, nampaknya semakin memburuk selepas tragedi konsert di Houston, kata Russo. “Dalam masa di mana orang muda merasakan mereka hidup dalam dunia yang huru-hara di mana tidak banyak yang masuk akal, teori konspirasi tertentu boleh terasa seperti selimut keselamatan, kerana ia memberitahu kita bahawa ada perintah di atas semua kejadian yang berlaku,” katanya.

Tragedi ‘mosh pit’ bawa maut, lapan orang mati kena hempap di konsert Travis Scott. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Tragedi ‘Mosh Pit’ Bawa Maut, Lapan Orang Mati Kena Hempap Di Konsert Travis Scott

Klip Linkin Park Henti Persembahan Kembali Tular Selepas Tragedi Di Konsert Travis Scott

Sumber