Tak sangka impian jadi realiti. Dah lama simpan hasrat untuk tengok sendiri secara live ulat-ulat bercahaya yang menyorok dalam gua ni. Sebelum ini dapat tengok gambar di Google saja. Tapi betul kata orang, angan-angan itu percuma. Jadi, jangan malu untuk berangan-angan. Minggu lepas saya diberi peluang untuk meneroka beberapa tempat di negara awan putih ini, dan salah satunya ialah Glowing Worm Cave.

Glowing Worm Cave atau Gua Waitomo ini terletak di daerah Waikato, New Zealand. Jika memandu dari Auckland, ia mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke sini.

Uniknya, di dalam gua ini anda dapat lihat sejenis ulat bercahaya daripada spesies arachnocampa luminosa yang sudah terbentuk sejak 30 juta tahun dahulu lagi. Jadi, tidak hairanlah mengapa Gua Waitomo kini menjadi buruan pelancong seluruh dunia.

Menurut info, nama Waitomo sebenarnya berasal daripada perkataan suku kaum Maori yang bermaksud ‘Lubang Berair’. Menariknya, rata-rata pelancong termasuk saya beranggapan bahawa gua tersebut diterangi oleh ulat-ulat dengan badan bercahaya.

Namun sebenarnya, cahaya itu bukan datang dari badan ulat tetapi daripada larva ulat-ulat tersebut. Cahaya larva itu sebenarnya digunakan untuk menarik perhatian mangsa yang bakal tersangkut pada jaringan benang halus seperti sarang labah-labah. Secara tidak langsung, anda seolah-olah rasa seperti berada di bawah langit dipenuhi bintang-bintang bersinar.

1
Gambar: BoredPanda
3
Gambar: BoredPanda

Terdapat pelbagai cara untuk menerokai tempat ini, antaranya adalah dengan menaiki bot. Anda akan di bawa melalui lalui jalan sungai sepanjang dalam gua tersebut untuk melihat lebih dekat ulat-ulat unik ini. Apa yang boleh saya katakan, pengalaman berada di sini cantik tak terkata. Macam berada di satu alam yang lain pula. Indah gila.

Pelancong selalunya akan diberikan sedikit taklimat oleh tour guide yang bertugas sebelum diiring masuk. Terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi seperti tidak merokok, dilarang mengambil apa-apa gambar termasuk video. Paling tak diduga, dipenghujung gua sebelum menaiki bot anda akan di denda. Ya, denda yang memaksa anda untuk menyanyi. Hahahah. Serius, semua orang pun kena nyanyi. Bukan senang nak dapat menyanyi dalam gua.

2
Gambar: BoredPanda

Jadi kalau ada merancang ke sini, selain daripada membuat persiapan rapi, jangan lupa hafal satu lagu untuk nyanyi dekat dalam nanti. Oh ya, di tempat ini juga ada kafe untuk anda lepak kopi dan juga kedai menjual cenderahati. Bolehlah bawa duit lebih sikit untuk shopping.

11
Pintu masuk hadapan dan kuanter tiket

22

33
Laluan sebelum masuk ke gua

Boleh dapatkan info seperti tempahan tiket dan lain-lain di sini. Dengan adanya penerbangan tambang rendah oleh AirAsia, impian untuk anda ke sini mungkin jadi realiti. Paling best, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Auckland ada setiap hari beb. Bila-bila pun boleh pergi!