Tengah syok bercerita tentang pasal trip kami kat member, sekali dia cakap, “Engkau kena scam!”. Fuhhh berderau darah aku baca mesej dia. So aku Google lah scam yang dia maksudkan tu. Dan aku jumpa artikel ni di Vocket, Bagaimana Kami Jadi Mangsa ‘Scammer’ Professional Sewaktu Travel Di India.

Menyesal aku terlepas pandang artikel ni! Kalau sebelum terbang aku baca artikel ni, confirm tak kena scam. Wuuuu sedih.

Anyway, alhamdulillah selesai trip duo kami, Golden Triangle + Rajashtan yang merangkumi New Delhi, Agra, Jaipur & Jodhpur selama 4 hari 3 malam. Alhamdulillah saya masih hidup dan dah balik Malaysia dah pun.

scam-di-india-3

Scam di stesen keretapi

Berbalik pada cerita scam ni.

Kami sampai IGI Airport jam 10PM menaiki AirAsia. Touchdown, terus berlari ke Metro Station dan beli tiket ke pusat bandar sebab kami dah book hotel di Hotel Star Villa di Paharganj. Lokasi hotel bersebelahan New Delhi Railway Station. Esok pagi, kami cadang nak naik bas dari Sarai Kale K

han Bus Stop Delhi ke Agra.

Sampai New Delhi Metro Station, benda pertama yang aku nampak depan mata aku adalah seorang lelaki tengah kencing tepi jalan. Bau jangan cakap lah. Memang terbaik. Sana sini bau hanceng. Good start. LOL!

Kami nak lintas naik jejantas di New Delhi Railway Station untuk sampai ke Paharganj Road. Jam menunjukkan jam 11PM. Masa tiba dekat New Delhi Railway station tu punyalah ramai manusia tidur dekat stesen kereta api tu! Bergelimpangan atas lantai. Tak pasti pulak aku deorang tunggu tren ke atau memang jadi tempat tidur gelandangan. Huhu.

scam-di-india-4

Kami teruskan perjalanan, hampir menuju jejantas melintas ke Paharganj, ada satu kaunter dengan body scanner dan seorang lelaki segak berbaju Polo biru dengan seluar jeans tegur kami. Kami sangka dia jaga kaunter tu.

Dia tanya kami mahu ke mana, kami cakap la nak pergi Paharganj, sambil tunjuk booking confirmation kami dengan Agoda. Kami tanya dia, dia tahu tak tempat ni?

Terus dia cakap, kita tak boleh lalu tempat tu sebab tempat tu ditutup sebab ada rusuhan pengikut Baba Ram dekat kawasan tu. Kalau nak lalu, kena dapatkan pass kebenaran di Tourism Centre (DTTDC) dan tunjukkan hotel booking confirmation yang kami dah terima.

Ok kami terpinga-pinga juga masa tu. Untuk pengetahuan beberapa hari sebelum terbang ke New Delhi aku ada baca juga pasal rusuhan pengikut Baba Ram ni, tak sangka pulak aku sampai jalan ditutup! Aku dengan naifnya percaya cakap dia, sebab gaya dia macam orang yang kerja situ. Dan sangat professional.

Jadi dia bagi arahan macam mana nak pergi ke DTTDC, naik tuktuk dari Railway Station, katanya diTourism Centre ni boleh booking sekali tiket train dan bus. Canti!

Kami pun ok jelah, setuju nak pergi DTTDC. Siap dia tolong rundingkan berapa harga tuktuk dari stesen ke DTTDC. Pemandu tuktuk cakap 30 Rupees. Tapi dia cakap, “No, 10 Rupees for each person, I don’t take commission”, sampil dia tunjukkan kami berdua.

Total harga tuktuk hanya Rs.20. Dalam hati aku, “Alhamdulillah, masih ramai orang India yang baik-baik, syukur jumpa mamat ni, sanggup tolong kita di kala kesusahan”. Naifnya kami! Almaklumlah pertama kali sampai India! Hmmmm jilake.

scam-di-india-5

Buat yang tak tahu Baba Ram ni siapa, dia adalah guru agama yang didapati bersalah merogol 2 pengikut wanita. Tapi pengikut dia pulak merusuh dan bergaduh dengan polis sampai ada yang mati. Boleh baca info lanjut di sini.

Sampai kat DTTDC, kami bagitau kat pegawai tu yang kami nak request permisson pass untuk lalu di Jalan Paharganj tu. Sekali dia kata “Not possible” daa. Sebab rusuhan dan kerajaan India dah tutup jalan ke pusat bandar.

Siap dia call hotel yang kami book tu untuk sahkan booking tu. Hotel pula kata, mereka dah hantar notis pembatalan kepada pelanggan sebab riot ni. Maknanya booking kami dah dibatalkan! Padahal tak ada pun. Kami tak tau sebab kami tak ada wifi masa tu nak buka dan semak email. Wuuu.

Ok la. Hotel tak ada hal. Cancel jelah. So kitaorang pasrah dan tidur di setsen keretapi. Jadi kami nak minta dia tolong belikan tiket keretapi. Dia tanya destinasi kita, dan tanya nak naik class apa, kemudian dia check dekat website IRTCT (website beli tiket tren India) dan search result keluar NOT AVAILABLE. Warghhh. Cemas jap.

Ok nak beli tiket bas pula, dia call syarikat bas. Lepas tu dia bagi telefon kat aku supaya aku cakap terus dengan operator bas untuk beli tiket bas ke Agra. Tapi bas pun tak ada! Ishh aku rasa seminggu sebelum ke sana aku dah semak di Redbus.com, takkan dah habis? Waduh gawat.

What about beli tiket the other way around? Delhi – Jodhpur – Jaipur – Agra – Delhi. Dia pun semak keretapi ke Delhi-Jodhpur. Pun masih NOT AVAILABLE! Depan kami dia tunjuk skrin PC dia sebagai bukti. Siap dia tunjuk notis daripada Indian Railway pasal notis pembatalan lebih daripada 150 route keretapi atas beberapa faktor. Waduh, kacau betul.

Gugur jantung kejap. Dah lah kami ada 4 hari je di India. Aku dah rasa nak skip saja satu bandar iaitu Jodhpur, dan nak menginap di mana-mana hotel di New Delhi supaya aku boleh fikirkan next step. Lagipun kami perlukan internet untuk rombak dan rancang semula trip ni.

Pegawai di Tourism Centre tu bagi satu cadangan naik teksi ke Agra. Dan dari Agra, boleh la naik keretapi atau bas ke Jaipur atau plan next step dari Agra. Harga yang ditawarkan Rs 9500 naik teksi berhawa dingin.

Kata dia harga dah termasuk tax, minyak, pemandu dll. Dan harga tersebut harga pergi dan pulang Delhi-Agra-Delhi. Kami sebenarnya hanya perlukan one way trip saja. Tapi disebabkan kami tak ada pilihan lain, dan rasa nak teruskan je trip ni, kami terima saja tawaran teksi tu. Itu je pun pilihan kami sekarang sebab semua route keretapi dan bas dibatalkan atau penuh sebab hari raya.

Lebih mengukuhkan keadaan, masa kami dalam perjalanan ke DTTDC naik tuktuk tu kami lalu beberapa jalan seperti ditutup oleh pihak polis. Jadi kami sangka isu rusuhan ni memang benar-benar berlaku.

Tambahan lagi, lepas kami keluar dari ofis DTTDC, kami nampak beberapa orang polis sedang berbual di luar pejabat lantas menguatkan lagi alasan scammer ni yang rusuhan tu memang serius. Siap puji lagi pegawai tu sanggup kerja overtime buka pejabat sebelum teksi kami gerak ke Agra sebab masa tu dah pukul 1AM! HAHAHA! Tergelak aku fikirkan balik.

Malam tu juga kami gerak ke Agra dan tiba di Agra sekitar jam 4AM. Maknanya kami sampai lebih awal daripada plan asal kami. Dari Agra, kami beli siap-siap semua tiket keretapi melalui ejen travel berdekatan Taj Mahal.

Ehhhh boleh pulak beli! Mana ni kami masih bingung. Betul ke tak ni? Betul ke ada rusuhana, jalan tutup di New Delhi tu? Ahhh malas nak fikir, kami ikut je itinerari kami seberti asal.

Masa dah sampai Agra, rasa ralat betul bayar RM630 untuk perjalanan 4 jam ke Agra! Tak apa lah nasi dah jadi bubur. Tapi masa tu masih bingung juga. Betul ke ni, scam ke apa ke. Masih ragu-ragu. Sebab lakonan semua yang terlibat lancar gila.

ITINERARI ASAL GOLDEN TRIANGLE + Jodhpur kami

DAY 1: KL – DELHI. Sampai delhi. Bermalam sekitar Train Station.
DAY 2: DELHI – AGRA (Taj Mahal)
DAY 3: AGRA – JAIPUR (Pink City) – JODHPUR (Blue City)
DAY 4: JODHPUR – DELHI (Tidur dalam tren, tiba Delhi jam 6AM)
DAY 5: DELHI – KL (Flight balik jam 11PM)

Trip ni sepatutnya bajet dalam RM600-700 saja tak termasuk tiket penerbangan dan visa. Tapi akibat kena paw naik teksi Rs 9500 dengan beberapa lagi scam-scam kecil, total bajet kami jadi RM1100+- seorang! Jilake betul. Dah lah bawa duit tunai cukup-cukup je. Nasib baik ada kad kredit. Boleh lah back up duit hotel dan makan kami.

scam-di-india-2

Kitaorang suka Jodhpur ni. Sebab less crowded. Dan hotel yang kitaorang stay ni berusia 450 tahun. Harganya RM35 je satu malam untuk 2 pax. Nama tempat ni, Castle View Home Stay. Nama je homestay, tapi sebenarnya Hotel. Ajay Devgan (suami Kajol) pernah shooting sini. Hahahaha.

Nyaris kena scam batu permata

Di Jaipur pula, lagi satu cerita scam. Kami hampir-hampir terjerumus ke kancah scam paling menakutkan iaitu scam barangan kemas dan batu permata. Itu pun kami dapat tahu selepas kami pulang ke Malaysia! Phewww!

Ceritanya macam ni. Masa tengah bersiar-siar jalan kaki dekat sekitar Hawa Mahal, kami ditegur oleh seorang jejaka hensem bernama Farhan Khan. Farhan Khan perkenalkan diri dan dia cam raut wajah kami ni iras-iras orang Malaysia sebab selalu nampak gambar rakan-rakan Malaysia bapa dia. Untuk pengetahuan bapa Farhan ada peniagaan jual barang kemas dan batu permata dan bapa dia selalu datang KL sebab berurusan dengan orang Indonesia untuk beli batu permata dan barang kemas dari Indonesia.

Deal dengan orang Indonesia, tapi jumpa di KL. Sebab dia kata di Indonesia tak selamat. Tak selamat celah mana tak tahu la, macam Iraq ke apa Indonesia ni? Tak pula aku hiraukan. Disebabkan gaya dan perwatakan dia sangat kemas, agak moden la orangnya. Fasih berbahasa Inggeris. Baik orangnya, pandai dia rapport strangers.

Memang tak ada sekelumit pun fikir dia nak scam ke apa ke. Harap-harap dia orang yang baik. Hmmm.

Farhan ajak kami sambut Hari Raya Aidil Adha di rumah dia dan keluarga, makan kambing. Kebetulan keesokan harinya Hari Raya Haji, malangnya kami dah beli tiket tren ke Jodhpur dan Delhi, lagi 2 jam tren kami ke Jodhpur dari Jaipur.

Dan kami tak ada banyak duit tunai lagi kalau nak batalkan tiket tu dan beli tiket lain. Jadi kami terpaksa tolak pelawaan dia. Tapi dalam hati kami, oh best je dapat merasai pengalaman sambut raya dengan orang tempatan. Tapi kami tak ada pilihan sebab dah beli tiket keretapi. Kami cuma nak cari kurta je kat Jaipur ni. Dia pun bawa kami ke kedai kawan dia, naik tuktuk.

Baik sungguh Farhan ni. Dia tolong negokan harga, dia kenalkan kawan-kawan muslim dia, asyik sebut “we are brothers” berkali-kali. Dan alhamdulillah kawan aku beli kurta di kedai yang Farhan rekomen dengan harga yang agak tak berpatutan untuk kami shopping di India. Tapi kalau bandingkan dalam ringgit, kira murah juga. LOL.

Aku tak beli, sebab bagi aku tak ada gunanya aku beli benda yang boleh aku dapat kat Malaysia. Aku tengok je kawan aku beli pakai kad kredit.

Selesai beli, Farhan masih nak ajak kami celebrate hari raya kat rumah dia, dan kami dengan berat hatinya terpaksa tolak pelawaan dia. Masa tu memang tak fikir apa-apa pun. Sebab Farhan ni nampak baik je. Lepas shopping, kami terus gerak ke Jaipur Railway Station sebab keretapi kami ke Jodhpur bertolak pukul 3.30 petang.

Akibat daripada kisah scam Tourism Centre yang aku dapat tahu lepas aku Google bila balik ke Malaysia, aku pun cuba nak dapatkan kepastian kenapa la tetiba Farhan yang asing ni baik sangat nak berkawan dengan aku. Jadi aku pun Google la “Jaipur Scam” dan pencarian aku membawa aku ke website ni dan beberapa lagi website dan forum yang membincangkan pasal scam barang kemas dan batu permata di Jaipur.

Berderau darah aku baca cerita ni. Nasib baik tak terkena kali ke 2! Pheww.

scam-di-india-6

Alhamdulillah, lepas tiba di Agra, trip kami berjalan seperti yang kami mahukan. Orang cakap, backpack ke India ni ibarat kau pergi dapatkan lesen backpackers dunia. Jadi aku survive dan sihat walafiat dah selamat sampai Malaysia dah pun. Jadi aku dah dapat lesen backpackers aku! Kah kah.

India ada macam-macam cerita dan pengalaman kau boleh dapat. Ada yang suka, ada yang duka. Ada yang pergi tempat cantik-cantik, yang kotor pun banyak juga. Aku dah pergi India dan Nepal.

Bila bandingkan dua negara ni, aku rasa, aku lebih selesa di Nepal. Bukan sebab Nepal tak ada scam, tapi sebab budaya kencing dan berak bersepah di India ni buat aku trauma nak pergi India. Hahahaha. Cukup la trip India ni. Jalan kaki kat tepi jalan pun buat aku dah kembang tekak.

Akhir sekali,  nasihat aku, banyakkan membaca sebelum korang sampai di India. Jangan jadi macam aku. Tapi banyak dah aku research, cuma kadang-kadang kita ni manusia terlepas pandang benda-benda yang kita rasa tak penting bagi kita. Dan bila korang dah sampai India, sentiasa ada perasaan curiga pada mana-mana orang yang kau tak kenal yang cuba berbuat baik dengan kau. Seriously, semua orang. Haha.

Itulah pengalaman aku kat India dan aku akan ingat trip India ni sampai bila-bila. Hehe. Sekian saja cerita trip aku. Korang ada ke kisah scam korang dekat India? Share lah sikit di bahagian komen.

Baca lagi: 30 Cabaran Yang Bakal Anda Lalui Apabila Travel Di India

Artikel di atas disumbangkan oleh Erik Hassan. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤