Pagi tadi dalam perjalanan nak ke pejabat, aku singgah sebentar di stesyen petrol untuk isi petrol kereta. Ketika sedang mengisi petrol, aku terpandang ke slot bayaran kad di terminal mesin tersebut.

Terminal kad itu membolehkan pelanggan untuk mengisi petrol dengan hanya menggunakan kad kredit atau kad debit mereka. Mereka hanya perlu masukkan kad ke terminal tersebut dan terus mengisi. Mudah kan?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Aku nak kongsi satu perkara kepada para pengguna yang gemar menggunakan terminal kad tersebut, lebih-lebih lagi kepada pengguna kad ‘DEBIT’. Mungkin ramai yang tidak sedar akan perkara ni.

Bagi setiap transaksi yang digunakan pada terminal kad di mesin petrol, terminal tersebut akan terus memohon untuk ‘HOLD’ amaun sebanyak RM200 dari akaun bank anda, walau berapa pun jumlah yang anda isikan.

Contohnya, anda hanya mengisi petrol sebanyak RM50 untuk kereta anda menggunakan kad debit, amaun sebanyak RM200 akan terus dipegang atau dalam terminologi perbankan tadi, ‘HOLD’ oleh pihak bank anda.

Amaun itu akan dipegang sehingga pihak stesen petrol tadi membuat permohonan penjelasan kredit dari pihak bank. Maknanya, jika pihak stesen hanya membuat permohonan sebulan sekali, amaun RM200 itu akan dipegang sepanjang tempoh tersebut.

Setelah pihak stesen petrol membuat permohonan penjelasan kredit, barulah pihak bank akan menjelaskan pembayaran mengikut jumlah sebenar yang dimohon oleh pihak stesen petrol. Baki dari jumlah RM200 yang dipegang itu, akan dipulangkan semula ke dalam akaun pelanggan tadi.

Sebab itulah ada pelanggan yang tidak dapat menggunakan terminal kad tersebut apabila baki dalam akaun mereka kurang daripada RM200.

Bagi pelanggan yang di dalam akaunnya hanya cukup-cukup RM200 pula, akan pening bila jumlah itu terus dipegang oleh pihak bank sehingga permohonan oleh pihak stesyen petrol dilakukan.

Untuk mengelakkan perkara ini, masih ada pilihan lain. Pelanggan boleh memohon untuk membuat bayaran petrol menggunakan kad di kaunter bayaran di dalam stesyen tersebut.

Di sini, mereka akan caj bayaran menggunakan terminal kad dengan memasukkan jumlah sebenar yang ingin digunakan. Jadi, tiada amaun lain yang akan dipegang oleh pihak bank. Lebih mudah dan selamat.

Semoga ia bermanfaat untuk mereka yang ingin menggunakan kad ketika membuat pembayaran petrol.

Nota: Editor telah memeriksa hal ini. Ini contoh dari FAQ bank tempatan. Baca poin 36 – 40 di sini.

Di Amerika Syarikat timbul persoalan siapakah yang ‘hold’ sejumlah wang tersebut, stesyen petrol atau bank. Menurut, The Association of Convenience Stores, pihak bank yang kunci wang tersebut.