Maghrib semalam singgah di sebuah masjid untuk solat. Seorang kanak-kanak ralit susun kasut dan selipar jemaah. Kemas betul susunannya macam diukur pembaris. Belum sempat orang bukak selipar dia dah tunggu nak ambikkan selipar untuk disusun. Saya tak bagi peluang kat dia. Saya susun selipar saya sendiri.

Lepas solat saya cari mana selipar saya. Tadi ada susun di situ. Rupa-rupanya dah berganjak. Adik tu bukan setakat susun. Tapi dia tak biarkan ada lompang antara selipar-selipar yang disusunnya. Jika ada jemaah yang keluar dan ambil selipar mereka, dia akan anjakkan selipar yang ada supaya susunan jadi cantik.

Baru nak interview adik tu dia dah tersengih-sengih masuk ruang solat. Semasa saya dalam kereta, menunggu isteri dan anak bersolat, sambil melayan anak kecil saya yang suka sangat main hon dan viper kereta, saya terfikir tentang apa yang dilakukan kanak-kanak tersebut.

Umat Islam ni kalau kita sebaris, kita akan cantik. Tapi kalau ada lompang-lompang, ia kelihatan tidak cantik. Adik tersebut menyusun selipar-selipar itu supaya tidak lompang seolah-olah memberitahu bahawa jangan ada ruang antara kita, ruang yang membezakan dan membuatkan kita tidak cantik. Jika ada ruang, seperti perbezaan pendapat, rapatkan barisan kita agar kita jadi kuat dan cantik. Kasut atau selipar kalau hilang sebelah tentu tidak akan berguna.

Memanglah kita boleh pakai kasut lain-lain jenis tapi bukan sahaja tak cantik nanti dicop orang sebagai orang tak betul pula. Adik tu susun kasut dan selipar supaya tak hilang dan sentiasa dekat dengan pasangannya. Kita pun macam tu juga. Sentiasalah kita ‘berdekatan’ antara satu sama lain supaya kita kuat dan berguna. Seumpama kasut, kalau hilang sebelah sudah tak berguna. Mungkin akan dibuang begitu sahaja.

Kanak-kanak itu, kasut dan selipar membuatkan saya terfikir tentang perpaduan dan perlunya kita berada dalam satu barisan supaya kita cantik, kuat dan berguna. Bulan Ogos ni perlulah kita bersembang-sembang hal kemerdekaan.