Dua tiga hari kebelakangan ini “feeling” dengan sejarah Khilafah Turki Uthmaniyyah. Sebabnya 22 Januari ialah ulang tahun ke-500 peristiwa Pertempuran Ridaniye pada tahun 1517 yang menandakan permulaan Khilafah Uthmaniyyah.

Ekoran daripada kemenangan atas tentera Mamluk di Mesir, Sultan Selim I menjadi Sultan Uthmaniyyah pertama yang memegang gelaran Khalifah Islam. Uthmaniyyah kekal menjadi pemimpin tertinggi Dunia Islam sehingga kejatuhan khilafah pada tahun 1924.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kekaguman terhadap Uthmaniyyah bukan didorong oleh perasaan romantisme atau nostalgia semata-mata, tetapi kerana Uthmaniyyah merupakan sebuah tamadun yang mempunyai pencapaian yang tinggi dari segi kekuatan dan juga kebudayaan, tidak seperti dinasti-dinasti khilafah yang sebelumnya iaitu Umayyah (hanya ada kelebihan kekuatan) dan Abbasiyyah (hanya ada kelebihan kebudayaan).

Tetapi ada juga yang bertanya dan berkomen dengan nada sinis: “apa sumbangan Uthmaniyyah kepada Islam?”, “Sultan Sulaiman ini kerjanya kumpul isteri dan gundik sahaja”, “Uthmaniyyah jatuh sebab percaya dengan Yahudi”, “Apa relevannya Uthmaniyyah dengan hari ini?”

Ini adalah komen-komen yang tidak benar. Khalifah Uthmaniyyah pun manusia, mereka tidak dapat lari dari membuat kesilapan. Namun jika dilihat dari segi kemaslahatan, mereka telah memperjuangkan syiar Islam dengan jayanya.

Uthmaniyyah berjaya memperluaskan wilayah sehingga ke pinggiran daerah jantung Eropah (Vienna) yang tidak pernah diterokai oleh kerajaan-kerajaan Islam sebelum ini, menjadi ancaman kewujudan (‘existential threat’) kepada Tamadun Eropah dari abad ke-14 hingga 17.

Dan lebih penting sekali, Uthmaniyyah bertindak sebagai pembela umat Islam dari serangan penjajah-penjajah Eropah (Portugis, Belanda, British) yang menguasai Lautan Hindi.

Baca: Bagaimana Celik Geopolitik Bantu Kerajaan Uthmaniyyah Bina Hubungan Dengan England

Selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, Sultan Sulaiman mengutuskan armada lautnya ke Nusantara (Alam Melayu) untuk membebaskan Melaka dan mempertahankan Aceh dari serangan Portugis.

Tentera Uthmaniyyah mengajar orang Islam di Alam Melayu membuat dan mengguna meriam. Namun, kuasa laut Uthmaniyyah yang semakin lemah telah membolehkan Belanda menguasai Aceh pada akhir abad ke-19.

Kejatuhan Uthmaniyyah pun bukan sebab khalifah korup, tetapi kerana kuasa Uthmaniyyah ketika itu telah pun dikuasai oleh golongan sekular-nasionalis seperti Enver Pasha yang terburu-buru menyebelahi pakatan Empayar Jerman dalam Perang Dunia Pertama.

Kekalahan Jerman telah menyebabkan wilayah Uthmaniyyah diagih-agihkan oleh kuasa-kuasa pemenang (British dan Perancis) dalam Sidang Keamanan Paris 1919, termasuk Palestin.

Jadi, saranan saya untuk belajar dengan Uthmaniyyah bukan bermaksud kita perlu menjadi bebas nilai (‘value-free’) dalam mengamalkan geopolitik dan diplomasi, bukan bermakna kita tidak perlu memilih rakan dalam penjalinan hubugan antara negara, dan bukan bermakna matlamat halalkan cara.

Yang perlu kita faham ialah aspek-aspek kenegarawanan (‘statecraft’) Uthmaniyyah yang membolehkannya daripada sebuah kuasa yang kecil di Anatolia menjadi sebuah kuasa besar yang menggagahi 3 benua, di antaranya adalah diplomasi fleksibel yang mengambil kira imbangan kuasa (‘balance of power’) dan pembinaan kuasa laut untuk menandingi kuasa-kuasa Eropah.

Persoalan yang lebih besar ialah: bagaimana orang Nusantara boleh lupa siapa dia Uthmaniyyah dan apa sumbangan mereka, sedangkan simbol-simbol Uthmaniyyah masih hidup bersama kita?

Lambang Bulan Sabit dan Bintang yang menghiasi bendera kerajaan-kerajaan kita adalah berasal dari lambang Uthmaniyyah iaitu Ay-Yildiz, termasuk bendera Kesultanan Johor yang menjadi asas kepada Jalur Gemilang.

Pemakaian simbol tersebut menjadi saksi kepada solidariti politik di antara Turki Uthmaniyyah dan Alam Melayu atas dasar satu umat yang sama atau ‘pan-Islamisme’.

Sementara itu, songkok juga berasal dari topi ‘fez’ yang merupakan pemakaian kepala rasmi Uthmaniyyah sejak 1826. Fez dipakai oleh umat Islam di India selepas kejatuhan Empayar Mughal pada 1857 sebagai tanda bay’ah kepada Khilafah di Turki, dan kemudian ia beransur menjadi budaya di Alam Melayu.

Hubungan yang erat di antara Kesultanan Johor dan Uthmaniyyah terbina sejak zaman Sultan Abu Bakar (1862-1895), sehingga Johor Bharu dikenali sebagai bandar kembar (‘twin city’) kepada Istanbul sehingga hari ini.

Sejarah Uthmaniyyah adalah sejarah peradaban Islam kita. Kalau bukan kita sendiri yang menghargainya, tiada sesiapa yang akan menghargainya bagi pihak kita. Dan di sejarah Uthmaniyyah terdapat pengajaran yang dapat mengeluarkan umat dari ditindas dan ditekan di pentas geopolitik.

Buku untuk bacaan lanjut:
(i) The Ottoman Centuries: The Rise and Fall of the Turkish Empire (Lord Kinross, 1977)
(ii) Ottoman Connections to the Malay World (Saim Kayadibi, 2011)
(iii) Great Powers and Geopolitical Change (Jakub Grygiel, 2006) – Bab 5 membincangkan kebangkitan dan kejatuhan Uthmaniyyah akibat faktor geopolitik

Baca lagi: Rupanya Masih Ada Pewaris Uthmaniyyah Dan Ini 5 Fakta Menarik Mengenai Beliau