Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Hari ini ayah bawa anak-anak menghadiri sambutan Hari Ulangtahun ke 41 Penubuhan Unit Tindakhas supaya anak-anak dapat menyelami dan memahami perjuangan ayah dahulu.

Supaya kamu tahu yang dahulu ayah kamu adalah seorang pejuang keamanan yang bertungkus lumus siang dan malam menjaga keselamatan negara hingga terpaksa meninggalkan kamu yang masih kecil bersama arwah ibu kamu.

Arwah ibu kamu telah membesarkan kamu dalam kepayahan supaya ayah dapat terus pergi berjuang dengan tenang.

Di unit ini ayah kamu menimba berbagai pengalaman pahit dan manis, getir dan mencabar, menyelamatkan tebusan, menjaga keselamatan pemimpin-pemimpin utama negara, menjaga ketua negara asing yang diancam nyawanya.

Memburu dan bertempur dengan penjenayah ganas, menumpaskan pembunuh upahan,  lanun yang mengganas serta menumpaskan komando asing yang membuat onar dalam negara ini, juga menumpaskan agen asing dan agen pengganas yang menyelinap masuk.

Namun sebahagian besar kisah tetap kekal ayah akan simpan dan rahsiakan kerana tidak boleh untuk ayah ceritakan.

Ayah ingin kamu menyelami kegigihan,ketabahan dan kesabaran ibu kamu dahulu yang selalu ditinggalkan apabila ayah pergi bertugas di seluruh pelusuk tanahair hatta hingga keluar negara juga. Ayah ingin kamu tahu dahulu hidup ayah selalu di ambang bahaya hingga mengancam nyawa.

Dahulu anak, isteri dan ahli keluarga tidak boleh bertanya tentang urusan kerja ayah, tidak boleh bertanya ke mana ayah pergi dan kapan akan pulang. Jika ayah masih pulang ke rumah maka syukur Alhamdulillah. Jika ditakdirkan ayah terpaksa dibawa pulang dalam keranda maka ahli keluarga harus terima dengan pasrah.

Arwah ibu kamu faham akan peraturan yang telah ditetapkan itu,”tiada dibenarkan perbincangan dan pertanyaan tentang urusan kerja ayah dirumah”. Begitu hebat sekali pengorbanan arwah ibu kamu. Seorang isteri kepada anggota pasukan khas seperti ayah.

Wahai anak anak ayah. Ketika hayatnya ibu kamu dahulu telah menempuh berbagai pengalaman pahit manis, suka dan duka kerana ayah adalah adalah seorang pejuang tegar dan ibu kamu seorang isteri anggota UTK yang tabah, sabar dan kental.

Apabila ayah bersara awal dari UTK arwah ibu kamu antara orang yang paling gembira kerana ayah bakal punya banyak masa terluang bersamanya dan anak-anak semua. Dia juga tidak perlu lagi selalu risaukan keselamatan ayah apabila keluar bekerja.

Dia tidak akan tertanya-tanya sendirian apakah ayah akan pulang hidup atau pulang dalam keranda bersalut bendera Malaysia.

Kini isteri yang dahulu sering ditinggalkan demi tugas telahpun terlebih dahulu meninggalkan ayah dan anak-anak buat selama-lamanya. Giliran ibu kamu pula meninggalkan ayah untuk menjaga anak-anak.

Cuma bezanya kini anak-anak sudah meningkat remaja dan anak-anak tidak nakal dan buas seperti waktu kecil dahulu kerana berkat didikan dan asuhan ibu dahulu anak-anak ayah semua menjadi anak-anak yang baik dan menghormati orang tua.

Semoga berkat dari menghadiri majlis ini dan anak-anak semua dapat bertemu secara langsung dengan rakan-rakan seperjuangan ayah dahulu, kamu akan lebih menghargai pengorbanan ayah, ibu kamu, rakan-rakan ayah dan semua anggota pasukan keselamatan yang telah banyak berkorban untuk agama bangsa dan tanahair ini.

Biar siapa pun yang memerintah tapi perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan tanahair tetap akan diteruskan.

Semoga ada anak ayah yang akan mewarisi semangat kental sebagai pejuang untuk meneruskan perjuangan ayah dahulu.

Anak anak ayah perlu tahu:

Sebagai anggota pasukan khas,
Keluarga itu kedudukannya selepas tugas,
Kami sentiasa bersedia untuk bertugas,
Kami sedia andai tercedera dalam tugas,
Kami juga sentiasa bersedia andai ditakdirkan terkorban,
Tapi kami tidak bersedia andai pengorbanan atau pemergiaan kami dihina dan dicaci.
Kami bukan minta disanjung atau dipuji melangit tinggi tapi sekurang-kurangnya tolong HARGAI.

UNIT TINDAKHAS – TANGKAS BANTERAS GANAS
(Beret Merun)
UTK establish since 1975

Artikel di atas disumbangkan oleh Mester BlackWater. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka