Dan tiadalah duduk setempat bagi orang cerdik dan beradab itu dianggap sebagai rehat. Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah. Berkelanalah, engkau akan dapat pengganti orang yang kamu tinggalkan. Berusahalah, kerana keindahan hidup itu ada pada berpenat-penatan.

Aku melihat air yang tenang bertakung, mencemar kandungannya sendiri. Sekiranya ia mengalir, ia akan baik. Sekiranya ia tidak mengalir, tercemar – Imam Syafie rahimahullah.

Sejak kecil aku memang kaki jalan. Suka melihat bumi lain. Tenang melihat alam. Awan yang bergerak lembut menutupi matahari tika sang manusia mengadu kepanasan. Ombak yang menghempas sambil mengalunkan zikir.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pokok yang bergoyang disapa angin. Semua itu mampu melupakan aku daripada dunia yang serba menekan ini. Serta kerenah manusia yang pelbagai, mampu beri 1001 pengajaran pada aku.

Bab berjalan aku memang nombor satu. Pantang offer aku pasti mahu, haha!

Sejak aku makin dewasa aku semakin sedar keindahan alam semesta. Keluasan ciptaan Allah. Paling penting aku dapat melihat bukti kebesaran Allah depan mata. Aku pasti akan tersenyum sendirian. Ini buat aku semakin cinta pada diri sendiri.

Kata alim ulama, semakin banyak mengembara, semakin mengenal diri, semakin terasa kerdilnya diri dan semakin rasa berkuasanya Tuhan.

Memang benar.

Namun, aku berjalan masih mengharapkan belas ihsan orang. Kakak aku banyak terlibat dengan seminar-seminar luar negara, jadi selalunya memang akan bawa keluarganya, aku dan ibu ayah. Anak bongsu, maklum sajalah. Tapi, alhamdulillah. Melalui dia, aku dapat kenal erti berjalan dan bermusafir.

Sejak aku mula bekerja sendiri di bandar, aku mula pasang niat mahu kembara sendiri. Tanpa bantuan keluarga. Tapi aku selalu dihimpit perasaan tiada kawan mahu ikut serta. Susah nak rancang dan sebagainya. Aku jadi buntu dan agak sedih.

Ya lah, mana tak nya, aku rasa macam keseorangan sangat di bumi Tuhan ini sebab tiada geng ajak berjalan. Namun, aku tak pernah lupa minta pada Allah agar diberikan aku kesempatan agar dapat bertemu teman untuk kembara bersama.

Lalu, Allah takdirkan aku untuk memulakan perjalanan pertama ke bumi Korea. Mula-mula, aku fikir, “Uish, jauhnya nak berjalan!” Tapi aku kentalkan saja hati dan dapat 4 orang rakan kembara.

Hati melonjak riang. Aku mula kaji harga tiket, kajian perjalanan, cuaca, bacaan, pertanyaan dan sebagainya. Supaya aku dapat kumpul maklumat secukupnya. Mahu jelajah ke negara orang katakan. Aku namakan ia sebagai kumpulan Backpackers Jubah.

Klimaks berlaku apabila seorang demi seorang tarik diri dari kumpulan itu dan aku kembali sedih. Walaupun tiket belum dibeli dan segala persiapan fizikal masih zero. Aku buntu dan akhirnya bertemu dengan seorang partner yang memang ‘kaki Korea’ dan berhajat juga mahu jelajah Korea. Lalu, tekadku kembali kuat dan aku mulakan semula usaha yang hampir terkubur itu.

Alhamdulillah, pada 3 hingga 14 Oktober 2016, aku dan partner selamat menjelajah Korea Selatan. Buat pertama kalinya aku berjaya ke luar negara tanpa keluarga! Bersyukur sangat aku waktu itu. Dugaan? Ya memang adalah sepanjang perjalanan hampir 2 minggu itu. Namun, doa orang musafir antara doa yang Allah makbulkan. Jadi, Alhamdulillah, kami dapat tempuhi bersama.

Pada mulanya keluarga kami seperti tidak percaya. Maklumlah, perempuan, berdua dan pertama kali pula ke luar negara sendirian! Tapi, masing-masing dapat beri kepercayaan pada ibuayah dan keluarga kami. Akhirnya, dapatlah kami berlepas ke Korea Selatan selama hampir 2 minggu.

Baca: Impian Saya Mahu Travel Solo Ke 11 Bandar Di Eropah Akhirnya Tercapai Pada Usia 19 Tahun

Sky Bridge, Langkawi. Kali pertama buat kai bertiga. Pernah aku datang dulu, masih ditutup dalam proses penyelenggaraan. Lihat! Inilah pengalaman baru itu. Alhamdulillah.

Di Hyeundae Beach, Busan, Korea Selatan. Pengalaman terbaik dapat merasai taufan di Busan. Kami bergambar selepas 3 jam taufan reda dan tak sangka yang Hyeundae Beach antara kawasan yang terjejas teruk, namun tiada kesan besar seperti banjir dan sebagainya. Kami teruja!

Apabila pulang semula ke Malaysia, perasaannya seperti tak mahu lagi ke luar negara. Pedih dan penat rasanya. Tapi rupanya aku silap, kembara ini buat aku sekali rasa, nak lagi. Paling kritikal sampai satu tahap aku jadi tak boleh move on pula dengan travel ini. Macam ketagih. Jadi, aku tekad mahu keluar musafir lagi.

Buat kali keduanya, aku direzekikan kembara dengan partner lain pula. Walaupun tempat ini terlalu biasa bagi sesetengah orang, namun tidak bagi aku. Aku suka, kerana bagi aku musafir tidak kira di mana, asalkan musafir dan aku yakin walaupun tempat yang sama tapi pasti akan ada pengalaman yang baru dan berbeza dari yang pernah dirasai dulu.

Untuk pembuka tahun 2017, aku pilih Langkawi sebagai destinasi kedua aku, pada 16 hingga 18 Januari 2017.

Kembara ini sangat penuh dugaan dan cabaran. Malah, hampir-hampir tak jadi saat-saat akhir. Banyak perkara yang berlaku pada aku waktu ini. Paling best sekali, balik saja ke Kuala Lumpur, aku akan hadapi peperiksaan pertengahan semester untuk subjek Akaun. Subjek yang killer bagi aku. Namun, atas sokongan sahabat berdua ini, aku gagahi juga dan berkat musafir aku dapat selesaikan peperiksaan pertengahan semester dengan baik, alhamdulillah.

Ayah aku sentiasa jadi inspirasi terbaik dalam hidup aku. Kerjaya beliau dahulu adalah sebagai seorang askar yang sangat berwibawa. Beliau selalu ceritakan kecantikan bumi Sabah semasa zaman khidmatnya dahulu. Kisah-kisah beliau membuatkan aku terpegun. Tambah pula dengan tularnya keindahan dan kesejukan suhu bumi Kundasang dan Kota Kinabalu.

Sekali lagi, aku pasakkan dada dan bermohon agar Allah sampaikan aku ke bumi Sabah. Lalu, dipermudahkan-Nya aku bertemu partner kembara kali ini. Walaupun sekejap namun aku sangat bersyukur dengan kesempatan yang diberi Allah. Pendek atau panjang sesebuah perjalanan bukanlah pengukur kepada seorang traveler tersebut melainkan pengajaran dan pelajaran yang diterima olehnya.

Meraikan cuti semester aku yang kontot ini (2 minggu), kami ke Sabah selama 3 hari 2 malam. Ya, begitu singkat sekali masanya tapi kami semua gembira dan masih ada yang tak boleh move on. Termasuk aku sekali, haha!

24 hingga 26 Februari 2017 telah dipilih sebagai tarikh keramat kami ke bumi Borneo ini. Pengalaman paling berharga aku kerana ini kali pertama aku snorkeling dan diajar oleh sahabatsahabat bertiga itu. Aku jenis cepat terkejut, gelabah dan panik. Namun, mereka bijak dalam mengurus emosi dan bersabar dengan kerenah aku yang tak matang ni.

Perjalanan ke Sabah kali ini memang mencabar dan menduga diri aku untuk jadi seorang yang lebih berani dalam menguruskan masalah yang dihadapi. Kesabaran, ketabahan dan jiwa yang lapang diperlukan dalam kembara ini.

Apabila berhadapan dengan manusia, memang perlu bekal sabar dan lapang dada. Bukan sekadar pada teman kembara, namun juga pada manusia-manusia yang bakal ditemui sepanjang perjalanan ini.

Sebelum berlepas juga aku hampir-hampir mahu putus harapan untuk turut serta dalam kembara ini. Berikutan, ibuku pula ditahan di hospital. Hatiku menjadi tak tenang dan gelisah. Kakakkakak ku memainkan peranan agar aku dapat berehat sebentar dari dunia yang maha sibuk ini. Justeru, aku mohon agar Allah pula lapangkan mereka dalam setiap gerak kerja mereka dan juga hati aku.

Alhamdulillah, aku mengaku aku hanyalah seorang yang masih baru mula mengembara jika nak dibandingkan dengan pengembara lain yang lebih banyak pengalaman. Namun, aku bersyukur kerana Allah dorong aku untuk menjadi si musafir di dunia ini.

Aku juga yakin dengan permusafiran ini akan menjadikan kita seorang yang kerdil dengan dunia. Selain itu, makbulnya doa dalam setiap kesusahan yang dihadapi. Percayalah, aku sudah rasainya dan perasaanya terlalu menakjubkan.

Kembara mengeratkan hubungan antara kita dan partner kembara. Kita juga akan menjadi hamba yang bersyukur disamping melihat ciptaan alam yang maha megah ini.

Pesanan aku, keluarlah kembara. Lihatlah alam semesta yang indah ini. Jangan bina sejuta alasan untuk tidak kembara. Tiada duit, tiada masa dan sebagainya, itu hanyalah rekaan kita sematamata. Mintalah pada Allah bersungguh-sungguh agar dapat merealisasikan impian dan cita kita.

Pengalaman adalah guru terbaik untuk mengajar kita dalam melalui liku-liku hidup yang semakin mencabar ini. Melalui kembara, inshaAllah, boleh membuatkan kita tunduk dan rasa begitu lemah. Allah-lah yang Maha Berkuasa, Maha Gagah dan Perkasa. Maka, semua masalah yang dihadapi akan terasa kecil.

Sekian.

Nota: Aku bekerja dan sambung belajar separuh masa. Sebab itu, ada aku sebut ‘bekerja’, ‘cuti semester’ dan ‘peperiksaan’.

Baca lagi: Gadis Ini Buktikan Hidap Bipolar Disorder Tidak Halang Beliau Travel Solo