Lebih 2 minggu lepas seorang warga Malaysia yang menetap di Qatar pernah berkongsi di Vocket tentang keadaan semasa serta kehidupan seharian di Qatar selepas krisis hubungan diplomatik antara negara tersebut dengan Arab Saudi dan beberapa negara jiran.

Baca: Krisis Arab Saudi Dan Qatar, Ini Pandangan Rakyat Malaysia Yang Menetap Di Sana

Hari ini Abd Latib Karim telah sudi berkongsi sekali lagi di Vocket suasana sambutan Aidilfitri di Qatar beberapa hari lepas. Ikuti perkongsian beliau di bawah.

Walaupun sekatan darat, laut dan udara oleh Negara jiran Saudi, Qatar, Bahrain, Jordan dan beberapa Negara lain masih lagi berkuat kuasa, namun sambutan Aidil Fitri rakyat Malaysia yang bermastautin di sini tidak terjejas.

Sebagaimana tahun-tahun yang lepas, Aidil Fitri tetap disambut meriah dengan kunjung mengunjung kerumah kenalan dan juga rumah-rumah terbuka. Hidangan-hidangan seperti rendang, mee kari, laksa johor, laksa penang, lontong, roti jala, satay, kuah lodeh dan serunding menghiasi meja makanan untuk para tetamu.

Cuma kalau nak buat lemang tu agak payah sedikit sebab tiada bekalan buluh, namun lemang segera dan ketupat segera sudah cukup memadai untuk melengkapkan menu hidangan.

Ketiadaan saudara mara atau adik beradik yang jauh nun di Malaysia menyebabkan hubungan antara kami di Qatar agak akrab. Setakat ini jika dalam sebarang majlis yang diadakan, sambutan dan kerjasama yang diberikan disini amat positif, konsep muafakat dan saling membantu menjadi tunjang penyatuan masyarakat Malaysia di sini.

Mereka-mereka yang tidak dapat pulang beraya ke tanah air tidak perlu risau kerana mereka tidak akan sunyi dengan kemeriahan hari raya di sini.

Solat hari raya di Qatar bermula seawal pukul 5.00 pagi. Perkara biasa bagi mereka yang baru di Qatar akan terlepas kerana mereka ingat sama dengan waktu di Malaysia iaitu 8.30 pagi. Solat hari raya di sini kebanyakkan nya dibuat di padang-padang terbuka yang khusus yang dipanggil Eid Musolla. Namun ada juga beberapa buah masjid yang buat solat raya.

Takbir raya di sini jugak berbeza dan lebih bersemangat tidak sesyahdu takbir di Malaysia.

Secara umumnya sambutan hari raya di Qatar agak berbeza dengan Malaysia. Seusai solat mereka akan bersalaman dan kemudian pulang kerumah masing-masing, tidak nampak majlis baraan atau kunjung mengunjung dari rumah kerumah dan Aidil fitri di sini disambut hanya sehari.

Tiada lagu raya, tiada rancangan TV hari raya, tiada promosi raya di supermarket-supermarket, tiada pasar tani sebelum raya, tak perlu beratur untuk beli daging buat masak rendang, tiada pakaian tema yang sedondon, tiada wefie untuk update media sosial. Hari Raya di sini disambut dengan amat sederhana sekali.

Ada juga antara mereka lebih gemar menggunakan cuti yang ada semasa Aidil Fitri untuk pergi melancong, dan Malaysia adalah salah satu destinasi kegemaran mereka. Kami tidak pelik sekiranya terserempak dengan mereka sekeluarga satu kapal terbang dengan kami semasa pulang ke Kuala Lumpur.

Di sini, Ramadan lebih meriah dan di imarahkan berbanding Syawal. Sepanjang Ramadan rumah kediaman dan masjid-masjid akan dihias dengan lampu-lampu. Kunjung mengunjung untuk mengeratkan silatur rahim dan bersedekah juga akan dibuat sepanjang Ramadan.

Alangkah baiknya jika di Malaysia budaya bagi duit sampul raya dan juga melawat sanak saudara dibuat semasa bulan Ramadan seperti disini, dapat jugak ganjaran yang berganda.

Semasa Ramadan khemah-khemah iftar sumbangan infaq dari penduduk setempat kelihatan dimana-mana. Bagi yang bujang atau mereka yang tak sempat memasak juadah berbuka puasa, boleh pilih khemah mana mereka nak berbuka, dan makanan yang dihidangkan rata-ratanya sedap. Kambing dan biryani/nasi arab/bukhari merupakan menu utama.

Namun demikian, dalam kesederhanan tersebut sambutan Aidil Fitri oleh masyarakat Malaysia di sini, ia tetap meriah dan semoga tradisi ini akan tetap diteruskan untuk tahun-tahun yang akan datang.

Abd Latib Karim
Qatar