Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara KL di Bidor semalam ditemui maut di lokasi kejadian.

Mangsa Tsz Kin Richard Chan, 58, adalah warganegara Hong Kong dan dia dilaporkan hilang bersama helikopter jenis Eurocopter selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 12.16 tengah hari semalam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Memetik laporan Berita Harian, helikopter milik syarikat swasta itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada jam 11.37 pagi dengan seorang juruterbang.

Helikopter berkenaan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada jam 12.37 tengah hari tetapi dilaporkan hilang dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada jam 12.16 tengah hari.

Sumber Gambar: Berita Harian
Helikopter dipandu warga Hong Kong terhempas
Sumber Gambar: Harian Metro

“Kami menerima maklumat daripada CAAM memaklumkan helikopter TUDM menemui lokasi nahas pada jam 9.35 pagi.

“Mangsa dikeluarkan oleh TUDM dan dibawa ke SMK Anderson Ipoh. Mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Krew TUDM memaklumkan mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi nahas,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bidor, hari ini.

Tambah beliau lagi, helikopter dipercayai terhempas, bagaimanapun kawasan di mana pesawat berkenaan dijumpai tiada kesan letupan atau kebakaran.

“Juruterbang ditemui di tempat duduk helikopter berkenaan. Mangsa akan dibedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membawa mayat mangsa helikopter terhempas selamat mendarat di SMK Anderson pada pukul 10.27 pagi tadi.

Mayat juruterbang helikopter warganegara Hong Kong di bawa ke hospital
Sumber Gambar: Berita Harian

Memetik perkongsian Facebook Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, beliau menerima laporan bahawa mangsa masih hidup ketika ditemui di lokasi kejadian pada awal pagi tadi.

“Saya menerima laporan bahawa mangsa masih hidup ketika ditemui di lokasi nahas helikopter di Kg Kenangan, Bidor. Namun mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

“Petunjuk awal menunjukkan mangsa masih hidup di lokasi nahas apabila ditemui pada jam 8:18 pagi. Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri semasa pasukan penyelamat sedang menguruskan dalam misi menyelamat tersebut.

“Pihak berkuasa termasuk CAAM dan SAR kini sedang menunggu pengesahan daripada hospital mengenai punca kematian,” kata Menteri Pengangkutan.

Sumber Gambar: Berita Harian

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, pula berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) helikopter berkenaan dipecahkan kepada dua sektor di Hutan Simpan Chikus dan Kampung Kenangan.

Katanya, operasi disambung semula sejak jam 8 pagi dilakukan di kawasan Hutan Simpan Chikus dan Kampung Kenangan.

“Operasi SAR dilakukan dengan menumpukan pencarian di lima kilometer radius dari titik terakhir helikopter dikesan selepas terputus hubungan daripada Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC).

“Selain itu, operasi pencarian turut disertai unit dron, Pasukan Sukan Udara, Kelab Paramotor Sitiawan. Operasi pencarian turut dibantu satu helikopter daripada unit udara PDRM,” katanya.

Tambah beliau lagi, misi menyelamat tersebut membabitkan sebanyak 10 anggota dan 197 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Jabatan Perhutanan, SMART Team.

Sumber