Beberapa hari lepas, sahabat saya, Arfah (bukan nama sebenar) diuji dengan kemalangan. Gara-gara begitu yakin mengambil barang di kerusi belakang tanpa menukar kepada gear neutral terlebih dahulu, dia tidak menyedari tayar keretanya bergerak.

Sejurus kedengaran dentuman yang kuat, tahulah dia keretanya telah melanggar bumper kereta hadapan! Arfah tetap cuba menyelesaikannya dengan baik tanpa melarikan diri walaupun sudah terlewat ke sesi home tutor jam 3 petang.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pemilik kereta Toyota Camry itu seorang wanita Cina kaget apabila melihat bumper keretanya yang calar dan pecah catnya. Barangkali memikirkan kos yang bakal ditanggung untuk membaiki keseluruhan bahagian tersebut.

Dia terus bertanya kepada Arfah sama ada ingin menyelesaikannya sendiri atau melalui insurans. Arfah yang pertama kali mengalami kejadian seperti itu, mula berasa panik. Tambahan lagi wanita tersebut meminta salinan kad pengenalannya.

Dalam keserabutan dan ketakutan, dia meminta juga nombor telefon wanita itu serta berjanji akan menghubunginya bagi urusan ganti rugi.

Mendengarkan Arfah yang sedang mengejar masa, wanita itu bersetuju dan mengingatkan dia untuk memberitahu keputusannya malam itu juga.

Sepanjang dua jam mengajar, Arfah tidak dapat memberi fokus sepenuhnya. Arfah sempat menghantar WhatsApp kepada saya meminta pandangan tindakan yang harus diambil. Saya pesan kepadanya,

“Jika mahu menuntut insurans, pastikan laporan polis dibuat dalam tempoh 24 jam. Jangan lebih.”

Dek masih belum gaji, Arfah bersetuju untuk menggunakan insurans saja kerana dia sendiri kurang pasti jangkaan kos yang bakal dikenakan untuk kerosakan sedemikian. Malam itu, selepas berbuka, saya menemani Arfah ke balai polis berhampiran kawasan kemalangan.

Dia sudah memaklumkan kepada pemilik kereta yang dilanggarnya itu untuk bertemu lebih kurang jam 8.45 malam di balai polis. Setibanya di sana, kelibat wanita itu masih belum kunjung tiba.

Tidak sedap hati, Arfah lantas menghubunginya. Dalam tempoh berbicara, saya lihat riak wajah Arfah pelbagai. Kejap-kejap dia serius, kejap-kejap tersenyum.

Di akhir perbualan, tidak henti-henti dia mengucapkan terima kasih pula. Saya yang berada di sebelah sudah berasa hairan dan tidak sabar hendak mendengar maklumbalas darinya.

“Tak jadi buat report. Orang tu cakap dia selesaikan sendiri bumper kereta tu.”

“Haa? Macam mana pula boleh lembut hati sampai begitu sekali?” Saya membalas dengan reaksi hairan.

“Dia kata once buat laporan polis, aku perlu bayar saman RM300, kemudian NCD (Non Claim Discount) insurans aku pula akan jadi zero, so dia decide untuk let it go.”

Jatuh rahang saya apabila mendengar penjelasan Arfah. Dalam perjalanan pulang, Arfah menceritakan sesuatu yang saya kira menjadi faktor utama mengapa wanita tersebut tiba-tiba berlembut hati untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya.

“Itu hari ada orang langgar tayar kereta aku sampai pecahlah penutup tayar tu. Yang melanggar tu pula, pelajar lagi. Bekali-kali dia minta maaf dan cakap nanti beritahulah dia berapa kos untuk ganti penutup tayar yang baru.

Aku pula kasihankan dia yang masih belajar, tak minta apa-apa ganti rugi. Dan sebelum kita pergi ke balai tadi, aku sungguh-sungguh berdoa jika aku berbuat begitu kerana mengharapkan redha-Nya, permudahkan proses rundingan ini.

Nah, doaku dimakbulkan tanpa aku sangka!”

Insiden ini mengingatkan saya kisah yang diriwayatkan daripada Abu Abdurahman, Abdullah bin Umar bin Khattab r.a berkata beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,

“Dahulu sebelum kamu, ada tiga orang berjalan-jalan kemudian mereka masuk ke dalam gua untuk berteduh, maka mereka pun masuk ke dalamnya. Kemudian tiba-tiba ada batu dari atas bukit yang bergolek dan menutup pintu gua itu sehingga mereka tidak dapat keluar.

Salah seorang daripada mereka berkata, ‘Sesungguhnya tidak ada yang dapat menyelamatkan kamu sekalian daripada bencana ini kecuali apabila kamu sekalian berdoa kepada Allah s.w.t. dengan menyebutkan semua amalan-amalan soleh yang pernah kamu lakukan.’

Berkat amalan dan doa ketiga-tiga mereka, batu tersebut bergerak sedikit demi sedikit, hingga akhirnya membuka pintu gua tersebut. Mereka akhirnya dapat keluar dengan selamat.

Di bulan Ramadan yang mulia, setiap doa yang disertai dengan kesungguhan pasti diperkenankan oleh Tuhan sesuai dengan firmannya dalam surah Ghafir ayat 60,

“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu.”

Sumber:

1. Zahazan Mohamed (2008). 101 Kisah dan Pengajaran daripada al-Quran, al-Hadis dan Hayatus Sahabah. Kuala Lumpur. Telaga Biru.
2. Hadis dipetik dari Riwayat al-Bukhari, no 2272; Muslim, no 2743 dan Ahmad 2/116.