Semalam 111 penumpang dan 7 anak kapal yang dalam penerbangan domestik pada waktu pagi dari Sabha ke Tripoli dipaksa melencong dan mendarat di Malta setelah dirampas oleh 2 suspek lelaki.

Gambar: US Today

Penerbangan yang sepatutnya hanya memakan masa 1 jam 10 minit itu menjadi lebih panjang apabila perampas mengancam meletupkan pesawat Afriqiyah Airways jenis Airbus A320 itu dengan bom tangan.

Gambar: Reuters

Berikutan itu, semua penerbangan lain yang dijadualkan mendarat di lapangan terbang terbabit dibatalkan dan kenderaan tentera telah mengelilingi pesawat di landasan. Semua penumpang akan dibebaskan hanya sekiranya tuntutan perampas diterima.

Tahanan Dibebaskan

Gambar: MATTHEW MIRABELLI/AFP/GETTY IMAGES

Pada pukul 1.44 pm waktu tempatan, kelihatan sekumpulan orang penumpang wanita dan kanak-kanak menuruni tangga pesawat tanpa membawa bagasi tangan masing-masing. Perundingan masih dijalankan selepas itu.

Tidak lama kemudian perampas pesawat Libya telah membebaskan semua penumpang dan anak kapal. Mereka turut menyerah diri kepada pihak berkuasa Malta dan kini berada dalam tahanan.

Sebelum ditangkap, salah seorang perampas telah mengibarkan bendera warna hijau di luar pesawat. Tindakan itu telah menyebabkan pihak berkuasa mengandaikan perampas ialah pengikut setia Muammar Gadhafi yang telah meninggal dunia pada 2011.

Pihak berkuasa tidak menyatakan apakah ada permintaan daripada pihak perampas.

Juruterbang Dedah Motif Perampas Pesawat

Gambar: Reuters

Dalam temubual antara juruterbang Ali Milad dengan Libya Channel TV, dia menyebut, pada mulanya Moussa Shaha dan Ahmed Ali berusia dalam lingkungan 20-an mengarahkan dia bawa pesawat ke Rom.

Kedua-dua perampas itu mahu mendapatkan perlindungan suaka politik dan mahu membuat satu parti politik “New Fateh” yang sinonim dengan Gadhafi yang pernah mengetuai revolusi Fateh pada 1969.

Mereka turut menyatakan tiada perhubungan dengan mana-mana kumpulan militan radikal.

Perampas Dikenalpasti

Gambar: Reuters

Menteri Luar Negeri Libya, Taher Siala mengesahkan kedua-dua perampas pesawat itu ialah penyokong Muammar Gadhafi dan memohon perlindungan suaka politik di Malta.

Siala turut memberitahu sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Milad, perampas berniat menubuhkan parti politik pro-Gadhafi. Pihak forensik pula mendedahkan dua senjata api yang digunakan oleh perampas itu hanyalah replika.

Perampas berusia pertengahan 20-an dan berasal dari etnik Tebu yang ada di selatan Libya, sama tempat dengan lokasi pesawat berlepas sebelum dirampas mereka.