Ada pepatah menyebut impian biar setinggi gunung. Mungkin ia pepatah yang tepat dan sepadan dengan Azim Afif, anak muda berusia 29 tahun ini kerana impian beliau yang ingin menakluk gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest.

Apatah lagi bila misi ini bukanlah satu misi yang mudah dan bakal menggadai nyawa beliau dan rakan sepasukan yang mendaki bersama. Ditambah ia mengambil masa selama 3 tahun dan 3 percubaan sebelum berjaya dilaksanakan.

Selaku ketua pasukan, menurut Azim berikut adalah siri cubaan pendakian yang telah mereka lakukan:

2014 : Misi dibatalkan kerana runtuhan salji di Everest pada April 2014. Namun begitu mereka berjaya ke puncak Cho Oyu, Tibet pada ketinggian 8201 m, iaitu puncak keenam tertinggi di dunia.

2015 : Misi terpaksa dibatalkan kerana gempa bumi sewaktu pasukan sedang bersiap sedia untuk mendaki di Nepal pada April tahun itu.

2016 : Akhirnya berjaya ke Everest dengan mendaki di laluan yang lebih sukar iaitu di Tibet. Seterusnya mencipta sejarah baru untuk Malaysia.

Vocket telah menemuramah Azim untuk mendapatkan kisah balik tabir tentang perjuangan beliau dan pasukan yang hanya membuahkan hasil selepas memakan masa beberapa tahun ini.

Vocket: Apakah yang mendorong Azim  meneruskan misi menawan Everest walaupun telah 2 kali berturut-turut misi terpaksa ditangguhkan.

Azim: Saya berpegang kepada prinsip mesti cuba tamatkan apa yang telah saya mulakan semenjak tahun 2010. Ditambah dengan laungan ‘Malaysia Boleh’ adalah salah satu semangat untuk saya melakukan sehabis daya untuk mendaki ke Puncak Everest demi UTM & Malaysia.

Vocket: Kenapa Everest?

Azim: Bagi atlet sukan negara, pasti Olimpik menjadi idaman mereka kerana ia adalah temasya suka paling berprestij tertinggi. Sama juga untuk pendaki gunung, Everest adalah yang tertinggi di dunia, maka ia menjadi idaman setiap pendaki gunung.

Apabila saya mendaki ke puncak Kinabalu di Sabah yang merupakan puncak tertinggi di Malaysia, seterusnya puncak Kerinci, puncak Merapi, dan puncak Singgalang, yang merupakan antara puncak gunung berapi aktif tertinggi di Indonesia, terdetik di hati saya untuk berazam dan mendaki ke puncak Everest pula.

Vocket: Apakah rahsia, pegangan atau motivasi yang sentiasa menjadi amalan Azim demi memastikan misi menawan Everest dapat dilaksanakan pada tahun 2016?

Azim: Saya yakin perancangan Allah SWT adalah yang terbaik dan insyaAllah sekiranya saya berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakal, Allah akan makbulkan impian saya untuk ke puncak Everest.

Saya juga masih pegang pesan arwah mak saya agar ‘buat kerja sampai habis’. INi juga menjadi rahsia, pegangan dan motivasi kepada saya. Saya juga berazam mahu pulang dengan selamat. Dalam melaksanakan misi begini, keselamatan tetap menjadi keutamaan saya dan sekiranya kami gagal untuk cubaan ini, kami boleh cuba lagi di masa depan sekiranya ada kesempatan.

Vocket: Apakah perasaan Azim sebaik saja berjaya jejakkan kaki di puncak everest setelah 6 tahun menunggu dan 2 kali misi tertangguh?

Azim: Betapa saya mensyukuri nikmat dan rezeki Allah kerana membenarkan saya jejak kaki di puncak dunia selepas 6 tahun berusaha. Leboh manis bila Allah beri saya dan pasukan untuk menjejak kaki di laluan Tibet yang jarang-jarang digunakan oleh pendaki lain. Berjurai air mata, sebak bercampur gembira.

Terbayang wajah arwah mak dan ayah di fikiran saya. Tetapi apa kan daya, kiriman al-fatihah sahaja dapat saya hadiahkan dari puncak dunia.

Selain dari itu sudah tentu ingin saya jerit nama Anis Zulaikha ) untuk berkongsi kegembiraan. Beliau adalah isteri yang juga merangkap pengurus pasukan Misi UTM Everest Tibet 2016. Isteri saya adalah insan yang setia mengurus di Kem Induk Everest (China). Anis berada dalam team semenjak hari pertama projek Everest UTM diluluskan oleh UTM pada 2010.

inspirasi-azim-tawan-everest-4

Lihat mayat pendaki lain sewaktu mendaki

Vocket: Difahamkan Azim juga melihat mayat pendaki lain di sepanjang pendakian Everest. Bagaimanakah perasaan Azim di ketika itu?

Azim: Sejujurnya, saya ada juga berfikir, “macam mana lah kalau mayat ni tiba-tiba panggil nama aku atau bangun duduk dari terbaring….” Seterusnya, perasaan dan doa saya adalah agar Allah melindungi saya agar tidak terbaring kaku sepertimana mayat-mayat yang saya lihat sepanjang pendakian.

Kebanyakan mayat yang saya lihat di atas juga dalam keadaan pakaiannya masih elok dan ditutup mukanya dengan rapi sebagai menghormati mayat tersebut. Selain itu, mayat-mayat ini juga sebagai penanda jalan kepada pendaki-pendaki lain.

Vocket: Apakah cabaran paling besar yang Azim lalui sepanjang pendakian?

Azim: Cabaran pertama adalah pencarian dana namun terima kasih kepada Pejabat Perdana Menteri & Kerajaan Malaysia kerana melalui 2 sumber berikut kami mendapat dana yang mencukupi daripada kerajaan :

1. Penyelidikan “Rehabilitation High Altitude Training Program For Misi Perdana UTM Everest Climbers” oleh Sport Innovation Technology Centre UTM

2. University Social Responsibility dengan sumbangan Portable Solar, Quran, Sejadah, Penulisan buku, “A Trial of Endurance: Trek to Everest BC”

Cabaran selepas mendapat dana adalah mendaki. 2014 kami disentak dengan Avalance (runtuhan ais) yang mengorbankan 16 orang Sherpa di Khumbu Icefall berdekatan EBC. Kerana kejadian runtuhan ini Everest ditutup dan diisytiharkan oleh kerajaan Nepal sebagai ‘The Black Year’. Everest ditutup buat julung kalinya dalam sejarah dunia.

Luluh, kecewa dan hiba hati saya kerana susahnya mendapatkan penajaan tapi diuji. Tapi saya yakin, takdir Allah adalah yang terbaik. Saya akur dengan arahan pihak berkuasa dan menangguhkan ekspedisi tahun 2014.

Balik dari Kathmandu 2014, saya bina kekuatan bersama pasukan agar jika diberikan sokongan, kita cuba lagi pada tahun 2015. Dalam membina kekuatan, kami dapat tahu ada berita baik dari kerajaan Nepal. Mereka mengisytiharkan permit percuma kepada pendaki yang terlibat pada tahun 2014 selama 2 tahun.

Harga permit bagi seorang pendaki adalah 11,000 USD. Dengan adanya pelepasan ini kami hanya perlu membayar kos makanan, Sherpa dan kos lain. Saya meyakinkan ahli pasukan bahawa inilah peluang kami. Tetapi daripada 5 orang yang sepatutnya ke puncak pada tahun 2014, hanya tinggal 3 orang pada tahun 2015 kerana kekangan pengajian dan kerja.

Kami mengharapkan pelangi indah pada 2015. Tapi setibanya di Nepal, kami dibadai gempa bumi yang sangat dahsyat, 7.9 magnitud yang melanda negara itu. Hampir 15,000 orang terkorban di Kathmandu dan 18 orang pendaki terkorban di EBC. Kami berada di EBC semasa kejadian namun bersyukur, Allah masih sayangkan kami dan terselamat.

Hati yang terluka dan kecewa pada cubaan tahun 2014 belum lagi sembuh tapi demi keselamatan, sekali lagi sebagai ketua pasukan saya terpaksa mengumumkan penangguhan ekspedisi.

2016 adalah tahun yang mana peluang kami sangat tipis kerana kos ke Everest bukan kecil. Dalam hati kecil saya, “Cuba lagi Azim! Jangan putus asa”. Maka saya berbincang semula dengan UTM atas kapasiti Ketua Ekspedisi, Jurulatih & Konsultan, dengan sokongan Pengerusi Misi dan juga Pro-Canselor UTM, YBhg Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor, pihak UTM meluluskan perlanjutan ke tahun 2016.

Berbekalkan pengalaman saya mendaki Puncak Cho Oyu, yang berketinggian 8201 m di Tibet yang juga merupakan puncak ke-6 tertinggi di dunia, saya mencadangkan pendakian dari Selatan (Nepal) ditukar ke Utara (Tibet).

Walaupun Tibet dikatakan laluan sukar, dengan pengalaman yang ada saya yakin dapat mengubah strategi dan latihan untuk pendakian Everest melalui Utara. Pada malam pertama kami sampai di bumi Tibet iaitu di Lhasa, kami digemparkan dengan gempa bumi yang menggegarkan Hotel Shellong Manor yang kami menginap.

Gempa bumi melanda Myanmar hampir 8.0 magnitud sekaligus terasa gegarnya hingga Tibet. Cemas dan masih teringat-ringat peristiwa 2015. Tetapi kali ini, rezeki menyebelahi kami, hanya after shock dan bukan gempa bumi di Tibet.

Dari segi pendakian pula, angin sebelah Tibet lebih kuat kerana permukaan muka bumi yang terbuka, lebih sejuk atas faktor angin, lebih jauh kilometre pendakian iaitu lebih kurang 12 km lebih daripada sebelah Nepal dan sekiranya berlaku sebarang kecemasan di Tibet, tiada helikopter dibenarkan untuk menyelamat.

Ini kerana ruang udara Tibet ditutup kepada awam berbanding di Nepal. Sekiranya berlaku kecemasan, helikopter hanya boleh terbang hingga ke kem 3, kem 2 atau kem 1 untuk menyelamat.

Vocket: Apa pula perasaan Azim ketika turun daripada puncak?

Azim: Apabila setiap pendaki sampai ke puncak Everest, cabaran pendakian sebenarnya baru bermula. Kerana pendakian turun jauh lebih bahaya daripada pendakian naik atas 2 faktor:

1. Tenaga yang hampir habis digunakan sewaktu naik. Pendakian ke puncak dari Kem 38,300 m bermula jam 9 malam, 22 Mei dan saya sampai puncak Everest pada 11.22 pagi, 23 Mei.

Kami berehat di puncak sekitar 40 minit dan mula turun ke Kem 3 semula dan sampai sekitar jam 7.30 malam, 23 Mei. Pendakian terakhir ini kami lakukan tanpa berhenti di mana-mana, maknanya tidak tidur langsung selama berbelas atau berpuluh jam.

2. Laluan yang curam semasa naik tidak sama pemandangan ketinggiannya berbanding masa turun. Boleh rujuk gambar yang dilampirkan.

Perasaan sangat mendebarkan. Betapa penat, letih, lapar memang tidak dapat dilupakan. Saya hanya bergantung kepada bekalan Madu Bayu Kelulut sahaja sebagai sumber tenaga pada masa ini. Kerana madu kelulut tidak beku walaupun dalam suhu ekstrem.

Sesekali saya mengelamun, terbayang wajah Anis yang menanti saya di EBC. Seterusnya, terbayang akan ada makanan solid seperti nasi ayam, ayam masak kicap dan rending ayam Adabi.

Kerana  sewaktu hampir seminggu mendaki ke puncak, saya hanya makan megi, roti, coklat dan madu. Bila terbayang semua ni, setiap kali rasa penat dan duduk berehat, saya cepat-cepat bangun dan berjalan 5 ke10 tapak dan kembali terduduk kepenatan. Inilah yang dikatakan, pendakian turun yang sangat menguji mental, spiritual dan fizikal.

Saya bersyukur kerana Lambabu Sherpa sentiasa berada bersama saya semasa turun. Pasukan Sherpa saya sangat membantu menjayakan pendakian Everest ini.

Vocket: Kami difahamkan sewaktu turun dari Everest juga ada cabarannya yang tersendiri. Boleh kongsikan tentang ini?

Azim: Pendakian naik ke puncak, saya melalui 1st Step, 2nd Step & 3rd Step. Permukaannya adalah berbatu, kurang diselaputi ais kerana kawasan terbuka. Apabila angin kuat, maka ais diterbangkan. Ketinggian pula ada yang setinggi 40 meter dan 60-90 darjah.

Ada juga kawasan yang disediakan tangga dan ada kawasan yang perlu kami lakukan rock climb dengan menggunakan tali keselamatan yang telah dipasang dikawasan batu.

Yang saya nyatakan di atas adalah sewaktu naik. Bila turun di mata kami nampak gaung dan tinggi tebing yang kami naik pula sangat tinggi. Sewaktu naik, gelap kerana malam jadi kami tak nampak gaung di bawah. Tapi sewaktu turun suasana cerah kerana hari siang, maka dapat nampak dengan jelas trek tersebut.

Kami nampak khemah Kem 3 dah semasa turun tetapi disebabkan penat, ditambah kawasan curam membuatkan rasa nampak dekat tetapi dah berjam-jam belum sampai.

Vocket: Siapakah sumber inspirasi Azim bagi misi menawan Everest?

Azim: Sir Edmund Hillary

Vocket: Siapa pula pendorong utama bagi misi tersebut? Dan kenapa?

Azim: YBhg Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor, Pro Canselor UTM merangkap Pengerusi Mis UTM Everest Tibet 2016. Beliau beranggapan anak muda perlu keluar dari zon selesa dan perlu berani mencabar diri sendiri.

Dan beliau menyarankan kami berusaha bersungguh-sungguh dan mencuba buat kali ketiga ke puncak Everest. Tetapi sekiranya percubaan kali ketiga tidak berjaya, kami harus pasrah kerana Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kami.

Vocket: Boleh kongsikan sebahagian pengalaman di sepanjang pendakian. Mungkin dari segi berapa banyak tong gas yang perlu digunakan, ada masa sesak nafas, dan berat yang perlu dibawa, secara ringkas.

Azim: Tong gas oksigen yang biasa digunakan adalah jenis Poisk buatan Rusia. Namun pada tahun 2016 kami menggunakan jenis Summit buatan United Kingdom.

Secara amnya saya dibekalkan dengan 7 tong gas tetapi atas nasihat doktor peribadi di Everest, Dr. Maria Veronica, saya menambah 2 tong lagi atas faktor kecederaan frostbite (dah sembuh sepenuhnya sekarang) yang pernah saya alami di Cho Oyu. Maka 9 tong digunakan.

Di antara 1st step ke 2nd step, topeng oksigen saya mengalami masalah. Saya cuba untuk memeriksa dan membaiki namun ‘valve’ telah beku dan sedikit pecah. Inilah antara masa yang sangat sukar kerana ketinggian kami pada waktu itu adalah antara 8,450 hingga 8,600 dan kami perlu tempuh dengan topeng oksigen yang bermasalah.

Masalah topeng oksigen menyebabkan saya sukar bernafas dengan baik. Yang paling penting disini adalah tidak panik dan dengan berhati-hati saya sampai di Mushroom Rock dan di sini Lambabu Sherpa terus menukar tepung oksigen saya.

Berat setiap satu tong gas lebih kurang 7 kg/tong. Saya membawa satu tong gas pada satu-satu masa. Ditambah air 2 liter, berat beg dan beberapa barang lain.  Jumlah beg saya sekitar 10 kg. Tidak dilupakan berat kasut ke puncak Everest lebih kurang 3 kg/pasang, harness dan kelengkapan mendaki.

Vocket: Selain Azim dan pasukan, anggaran berapa ramaikah lagi pendaki dari negara lain yang turut mendaki Everest? Boleh berikan anggaran dan bagaimanakah keadaan di atas sana sewaktu bersama para pendaki tersebut. Adakah masing-masing buat hal sendiri atau saling membantu?

Azim: Laluan Tibet juga dikenali sebagai quiet and remote Everest experience, maka pendaki yang melalui Tibet lebih sedikit berbanding Nepal. Selain saya dan Farul, daripada Malaysia, dianggarkan lebih 150 orang lagi pendaki dari seluruh dunia di Everest Tibet 2016.

Pendakian ke puncak hanya ada satu laluan naik dan turun. Pada 23 Mei 2016, ada 70 pendaki ditambah dengan Sherpa masing-masing, dianggarkan lebih 140 orang mendaki ke puncak pada hari yang sama. Kita boleh bayangkan lebuhraya Plus sewaktu musim hari raya, begitulah laluan ke puncak Everest.

Apabila mendaki ke puncak Everest, biasanya pendaki akan mengamalkan sikap, ‘me first’. Walaubagaimanpun ada juga saya berjumpa dengan pendaki yang sedia menghulurkan tangan sekiranya keadaan memerlukan.

Vocket: Apakah cabaran utama yang Azim pernah lalui sebagai ketua ekspedisi bagi Misi Everest ini?

Azim: Apabila saya berada dipersimpangan dan perlu membuat keputusan sama ada menangguh atau meneruskan ekspedisi. Ini kerana ada ahli pasukan yang perlu menangguh pengajian dan pelbagai lagi pengorbanan yang harus dilakukan. Tetapi di waktu yang sama keselamatan perlu diutamakan maka keputusan mesti dibuat walaupun pahit.

Apabila pasukan saya dianggap GAGAL pada cubaan di tahun 2014 & 2015, tetapi pada 2016 berjaya. Inilah cabaran dari segi emosi yang perlu saya lalui. Syukur alhamdulillah.

Kesimpulannya cabaran utama adalah:
1. Mencari dana
2. Latihan intensif
3. Pembentukan pasukan yang mantap
4. Pendakian yang mencabar

inspirasi-azim-tawan-everest-13

Vocket: Daripada video-video di internet, ada nampak para pendaki juga perlu melalui jurang dan gaung (atau ini dalam movie saja?). Adakah Azim juga ada pengalaman perlu lalui jurang sebegitu?

Azam: Pendaki Everest akan melalui jurang dan gaung. Jika melalui Nepal, akan banyak melalui jambatan tangga manakala melalui Tibet akan banyak melalui tebing tinggi dan curam.

Vocket: Apa pengalaman manis Azim sepanjang misi ini dijalankan.

Azim: Pengalaman manis adalah apabila saya dan pasukan selamat pergi dan selamat balik. Inilah yang paling manis.

Saya dan isteri juga telah dianugerahkan Pingat Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (ASK) atas kejayaan Misi UTM Everest Tibet 2016 oleh almarhum Tuanku Sultan Kedah beberapa bulan lepas.

Vocket: Bagaimana pula pengalaman lain, mungkin sedih atau pengalaman yang tidak menyenangkan.

Azim: Dari tahun 2010 hingga 2016, ada di kalangan rakan-rakan pendakian yang terkorban semasa tragedi gempa bumi 2015. Kami pernah duduk minum kopi bersama di EBC tetapi selepas beberapa hari, dikhabarkan beliau terkorban. Saya agak tidak percaya dan keluar dari kem untuk melihat sendiri balutan mayat rakan tersebut.

Pengalaman lain yang tidak dapat dilupakan adalah saya hilang 16 kg selepas turun daripada puncak Everest. Baju dan seluar masa sekolah menengah muat kembali. Dan Anis hampir tidak cam saya dari jauh semasa saya sampai di EBC (China).

Pada tahun 2014, selepas turun daripada puncak Cho Oyu, berlaku angin kuat dan ada pendaki lain yang cedera dan ini melambatkan sedikit pendakian turun. Pada masa ini saya terkena frostbite tahap 3 daripada 4. Tetapi nasib saya baik kerana mendapat rawatan awal oleh rakan pendaki yang baru saya kenali, Alex Abramov, pemilik Syarikat Seven Summit Club, dan jari saya dapat diselamatkan kesemuanya.

Jika diberi kesempatan, akan saya kongsikan tips menghadapi frostbite kerana negara kita tidak terdedah kepada frostbite. Sebenarnya ada ubat dan rawatan yang boleh menyelamatkan jari frostbite.

Saya juga sangat gembira dan ia adalah kenangan indah kerana ada isteri yang menjadi rakan sepasukan. Beliau sentiasa ada di sini dan menjadi pendorong saya.

Vocket: Isteri Azim juga menjadi sebahagian daripada pasukan bagi misi menawan Everest. Bagaimana kalian kekalkan professionalisma sepanjang misi berlangsung?

Azim: Anis Zulaikha ditugaskan sebagai Pengurus EBC dan antara kami tidak berlaku konflik untuk pemilihan pendaki lain ke puncak. Beliau bertindak menguruskan hal-hal pengurusan manakala hal-hal teknikal pendakian diuruskan oleh saya.

Perkenalan dengan isteri

Kami berkenalan pada tahun pertama pengajian di UTM.  Fakulti yang sama tetapi majoring berbeza, Anis mengambil Database manakala saya mengambil Computer & Network Security. Misi Everest menemukan kami.

Anis antara rakan terawal yang turut serta dalam Misi Everest. Daripada mula beliau memang tidak bercita-cita ke puncak Everest tetapi lebih gemar membuat pengurusan. Dari 2010 hingga 2014 kami hanya berkawan biasa.

Anis bukanlah seorang pendaki gunung sebelum menyertai Misi Everest. Masih saya ingat, latihan pertama Anis ikuti iaitu Gunung Bintang, Kedah pada 2011, kuku jari kaki tercabut, digigit pacat dan sehingga waktu makan di kedai tomyam selepas turun, Anis masih melelehkan air mata. Kerana inilah gunung pertama untuk Anis. Selepas itu, Anis tidak berhenti mendaki gunung.

Selepas tamat pengajian pada pertengahan 2014, baru saya bertanya Anis sekiranya Anis sudi menjadi teman hidup saya. Maka selepas Konvo pada November 2014, keluarga saya terus meminang Anis dan bertunang.

Pada 21 Mac 2015, kami melangsungkan perkahwinan. Seminggu sebelum Misi Everest 2015. Kebanyakan orang berbulan madu di kawasan pelancongan tetapi kami berbulan madu berpecah peluh, dan menikmati keindahan alam di Everest.

Vocket: Adakah minat yang sama menjadikan kalian serasi?

Azim: Ya

Vocket: Jika tak keberatan boleh kongsikan tentang perancangan dan gambar post wedding bersama isteri di misi Everest ini?

Azim: Pada Disember 2014, bila telah ditetapkan tarikh perkahwinan kami pada 21 Mac 2015, kami telah membuat perancangan agar tidak terjejas persediaan untuk Misi Everest 2015. Dan segala urusan dipermudahkan.

Kami hanya cuti seminggu sebelum berkahwin dan selepas 2 hari berkahwin, kami menguruskan persediaan Misi Everest 2015 semula. Keluarga dan rakan-rakan sangat membantu memudahkan majlis tersebut.

Vocket: Ada perancangan nak jalankan misi lain selepas ini? Jika tak keberatan nak kongsikan.

Azim: Perancangan seterusnya adalah mendaki puncak 8,000 m yang lain. Terdapat 14 puncak di dunia yang berketinggian 8,000 m. Selain mendaki gunung, jika ada kesempatan saya nak merentas Gurun Sahara dan juga belayar mengelilingi dunia.

Semua ini saya rancang dengan cara yang tersendiri dan bukan untuk bersaing dengan sesiapa tetapi dengan diri saya sahaja. Sudah tentu ia akan membawa nama Malaysia dalam dimensi baru dan memerlukan sokongan kerajaan dan sektor swasta bagi merelisiasikan perancangan saya ini.

Saya juga telah dilantik sebagai Konsultan kepada Persatuan Anak Gunung untuk membawa OKU yang dikenali sebagai Adam atau nama sebenar Hasrullah Azrulkhan ke Everest BC melalui Nepal pada Mac 2018.

Mahu kongsikan kisah dan pengalaman dalam buku

Saya dalam proses membukukan kisah pendakian Everest melalui Tibet ini beserta dengan tips pendakian dan visual pendakian di dalam Buku Travelog tersebut.

Saya juga berhasrat untuk berkongsi pengalaman saya bersama adik-adik di peringkat sekolah mahupun universiti agar semangat tidak berputus asa dapat diserap kepada mereka.

Jika berpeluang juga, saya merancang untuk mendokumentarikan video pendakian Everest melalui Tibet ini agar bermanfaat kepada seluruh rakyat Malaysia dan ia juga adalah sejarah negara kita.

Azim sewaktu berkongsi kisah misi Everest beliau di sebuah sekolah di Bukit Jalil.

Pesanan kepada pembaca Vocket

Sangat penting bagi kita mempunyai impian yang besar kerana setiap kejayaan bermula daripada mimpi. Namun kita perlu merealitikan mimpi tersebut dengan usaha, doa dan tawakal.

Bagi yang ingin mendaki gunung beraltitud tinggi, nasihat saya adalah membuat persediaan yang rapi dan uat kaji selidik tentang tempat yang bakal kita mendaki. Fahami juga apa itu Acute Mountain Sickness (AMS) atau Sakit Altitud Tinggi. Tambahkan info melalui bacaan atau bertanya kepada yang mengetahui.

Bermimpi adalah percuma dan prepare for the worse.

Satu prinsip yang ingin saya berkongsi di sini adalah, “Kita tidak mencabar atau berlumba antara orang sekeliling kita, tetapi kita mencabar diri kita sendiri.”

Sampai ke puncak adalah bonus, tetapi perjalanan ke sana lebih bermakna. Tidak perlu terlalu ghairah ke puncak sehingga terlupa untuk mengambil gambar di sepanjang pejalanan yang akan menjadi kenangan abadi. Ambil peluang yang ada untuk menyelami budaya penduduk setempat, tambahkan kenalan dan nikmati pendakian tersebut.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada UTM, Kerajaan Malaysia, Pasukan Misi Everest UTM, para penaja, rakan media cetak & elektronik dan seluruh rakyat Malaysia.

Bagi anda yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan membaca perkongsian pengalaman Azim, anda boleh layari Instagram Azim atau di akaun Facebook Azim  Afif. Azim juga ada berkongsi pengembaraan beliau dalam bentuk visual di Youtube.

Inilah yang dinamakan tidak berputus asa dan takkan menyerah kalah sebelum berjaya. Buat anda di luar sana, jika kini anda sedang melalui fasa sukar dalam hidup, ketahuilah kejayaan yang paling manis itu biasanya didahului dengan halangan dan rintangan yang bukan sedikit. Kerana siri ujian itulah yang bakal menjadikan kita ‘insan’, bukan sekadar manusia di saat meniti kejayaan nanti.

Terima kasih Azim!