Berpeluang mendapatkan tips daripada golongan akademik merupakan sesuatu yang bukan hanya menyeronokkan tetapi juga secara peribadi ia turut menambah input kepada diri saya sendiri.

Inilah yang telah saya rasai selepas membaca perkongsian daripada Dr Muhamad Hasbullah yang merupakan merupakan pemegang ijazah Doktor Falsafah Kejuruteraan Mekanikal dari Imperial College London.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Menurut Doktor Hasbullah, beliau memperolehi anugerah doktor falsafah dari Imperial College London ketika berusia 25 tahun, merupakan antara yang termuda memperolehi PhD seumpamanya dari kolej tersebut.

 Sebelum itu saya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang yang sama pada umur 20 tahun. Kini, pada usia 28 tahun, saya giat menjalankan penyelidikan dan penulisan agar ilmu yang saya perolehi dapat disebarkan kepada masyarakat umum di Malaysia.

Selain daripada menulis di peringkat jurnal antarabangsa, saya juga menerbitkan buku dalam Bahasa Malaysia, dan baru-baru ini artikel saya diterbitkan dalam Utusan Malaysia.

Mengimbau kembali kenangan lama, Dr Hasbullah yang merupakan anak sulung daripada 5 beradik ini lahir dalam keluarga serba sederhana. Kehidupan beliau bersama keluarga tidaklah mewah, tidak juga susah.

Namun faktor kerjaya bapa beliau sebagai penjawat awam memerlukan Dr Hasbullah dan adik-adik sering berpindah dan bertukar sekolah mengikut ke mana saja bapa ditukar bertugas.

Kami sering berpindah disebabkan keperluan kerja bapa saya sebagai juruukur. Dari Kulim, ke Melaka, ke KL, ke Melaka dan akhirnya pencen di KL.

Sedikit cerita sayu adalah sewaktu saya berangkat ke London, adik bongsu saya baru berumur setahun. Emak pula kesihatan tidak menentu. Bila balik ke Malaysia, terpaksa berkenalan semula dengan adik dan emak pula alhamdulillah sihat-sihat sahaja.

Kini Doktor Hasbullah sedang berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Beliau terpanggil untuk berkongsi di Vocket setelah bergaul dan melihat para pelajar beliau.  Ujar Dr Hasbullah:

Ia mengingatkan kembali bagaimana saya mula bercita-cita untuk memegang ijazah PhD, dan potensi yang saya lihat di kalangan pelajar-pelajar adalah mengagumkan.

Melawat Oxford University.
Suasana biasa di atas meja kerja seorang pelajar PhD.
Komen-komen yang ‘tough’ dari penyelia.

Faktor mendorong Dr Habsullah untuk terus belajar

Banyak dorongan sebenarnya, tapi yang utama adalah disebabkan luasnya bidang ilmu. Alhamdulillah saya dimudahkan sewaktu pengajian ijazah sarjana muda dan saya dapat kuasai hampir semua subjek dengan baik.

Kemudian saya terfikir, ‘Adakah saya ingin belajar sahaja dari orang lain, atau saya boleh mengembangkan ilmu yang saya belajar ini supaya orang lain mendapat manfaat?’

Sebagai contoh, jika kita membaca sebuah buku, wujud perasaan tidak puas hingga sepatutnya kita dapat menulis sebuah buku yang lain, berdasarkan pemahaman kita sendiri.

Jadi saya sedar saya perlu belajar lebih mendalam lagi sebelum mampu berbuat demikian. Ini adalah dorongan utama untuk saya menyambung pengajian.

Sebenarnya sebelum tamat pengajian lagi saya sudah mendapat tawaran kerja di bidang oil and gas, namun minat lebih mendalam pada bidang ilmu pengetahuan membuatkan saya memilih untuk kekal di universiti.

Dorongan-dorongan yang lain sudah tentunya untuk menjadi contoh kepada adik-adik serta membanggakan mak dan abah. Pernah sekali sewaktu pendaftaran di universiti kami menyangka perlu membayar yuran penuh, dan saya nampak abah sangat risau, dan jarang sekali saya lihat abah risau.

Rupa-rupanya, tidak perlu membayar yuran sehingga mendapat penaja. Alhamdulillah saya mendapat tajaan MARA sepanjang pengajian ijazah sarjana muda.

Bagi saya, ijazah lanjutan ni sebagai hadiah kepada mak dan abah yang dulu memang bersusah payah membesarkan saya. Bunyi macam klise tapi kepuasan dapat membanggakan mak dan abah memang luar biasa.

Gambar sewaktu berwukuf di Arafah.

Ayat-ayat lazim yang menjadi amalan hidup Dr Hasbullah

Memang ada, setiap kali solat saya amalkan surah Al-Insyirah sebanyak 5 kali. Ayatnya yang ke (5-6) ‘ Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan’ bagi saya sangat powerful kerana itu janji dari Pencipta kita sendiri.

Jadi saya sentiasa percaya sesusah mana pun dugaan pasti ada kemudahan di hujungnya. Selain itu saya juga kerap mengamalkan doa-doa ringkas yang saya reka sendiri, asalkan tak menyimpang dari akidah.

Doalah di mana sahaja, paling tidak pun di dalam hati.
‘Ya Allah, aku rasa susah sangat, kau mudahkanlah hari ini’.
‘Ya Allah, harini meeting result tak berapa cantik, kau lembutkanlah hati supervisor ku untuk dia beri idea-idea yang bernas’.
‘Ya Allah, harini naik bas biarlah tempat depan sekali kosong’.
Mengadulah pada pencipta, dengan penuh harapan.

Di tahun yang terakhir pengajian saya, ada sedikit terdetik dalam hati nak pergi ke Mekah, tapi tak yakin boleh pergi dengan keadaan data yang belum cukup dan kerja penulisan yang sangat banyak.

Dengan tak disangka saya dapat tawaran untuk pergi ke sana mengerjakan haji menggunakan kuota jemaah dari UK. Walaupun dalam hati risau dengan kerja yang mendesak, saya terus bertanya kepada supervisor.

Kata-katanya yang paling saya ingat, “For sure Has! Why not!” (Dia bahasakan saya sebagai Has). Alhamdulillah tuhan mudahkan segalanya. Mungkin keberkatan amalan surah Al-Insyirah tadi? Wallahua’lam.

Baca: Peluang Tunaikan Haji Menggunakan Kuota UK Yang Ramai Pelajar Malaysia Tidak Tahu

Farewell bersama rakyat Malaysia di sana. Hari terakhir saya di London.
Research group meraikan saya sejurus selesai peperiksaan PhD saya.

Benarkah Melayu Malas? Apa pandangan Dr Hasbullah tentang ini?

Soalan yang sangat menarik. Kata-kata Melayu malas itu memang kerap didengar tapi bagi saya lebih sesuai digantikan dengan ‘Melayu terlalu selesa di negara sendiri’.

Apabila di ‘campak’ ke UK untuk belajar, saya lihat semua bangsa dari Malaysia berusaha sangat gigih untuk survive. Maksud saya sangat gigih itu adalah bekerja hampir 80 jam seminggu.

Memang benar, bila kita berada dalam keadaan tidak selesa, ‘out of our comfort zone’, secara automatik kita akan berusaha lebih keras. Di Imperial College London, hampir setiap hari apabila berbincang dengan pelajar dari negara lain, pasti saya akan mengutuk diri sendiri kerana tidak sebijak mereka.

Saya terpaksa hidup dengan perasaan itu sepanjang saya berada di sana. Itu belum lagi jika berbual dengan pensyarah-pensyarah di sana, maka berganda-ganda lah perasaan itu.

Walaupun kelihatan seperti sangat kejam, perkara inilah yang menjadikan saya lebih berusaha mencari dan menghormati ilmu, serta orang-orang di sekeliling saya.

Setiap dari mereka pasti tahu sesuatu yang kita tidak tahu. Memang benar ungkapan ‘makin banyak kita belajar, makin banyak yang kita tidak tahu’.

Oleh itu, nasihat saya kita perlu keluar dari zon selesa ini. Jumpalah orang yang berbeza, bacalah pelbagai buku yang berbeza, dekatkan diri dengan orang bijak pandai, cabarlah diri kita, terima lah pandangan negatif orang lain untuk membaiki diri, jauhkan diri dari berita dan perkara yang remeh temeh, serta berusahalah dengan gigih.

Ucapan tahniah dari isteri.

Sewaktu majlis konvokesyen PhD saya di Royal Albert Hall London, hanya saya seorang saja yang pakai baju Melayu, lengkap bersamping songket! Memang bangga jadi anak Malaysia yang berjaya di bumi orang.

Tips buat pembaca Vocket dan masyarakat umum

1. Untuk yang beragama Islam, yakinlah dengan Pencipta. Dia yang bawa kita ke dunia, maka Dialah yang menjaga kita.

2. Jangan malu mengaku pada bangsa lain kita dari Malaysia, walaupun dia tak pernah dengar nama negara kita. Kita tak boleh ubah di mana kita lahir, tapi kita boleh tunjukkan kepada dia apa yang kita mampu buat. Di negara barat mereka cukup hormat dengan orang Asia di sana. Kata mereka orang Asia ini sangat bijak dan rajin.

3. Berdakwah tanpa segan, di dalam mahupun luar negara. Di makmal saya, semua yang bukan Islam telah tahu tentang ibadah puasa, haji, solat dan sebagainya. Paling penting untuk mereka tahu sahaja, soal hidayah itu hanya Allah yang berhak.

4. Sentiasa bekerja. Maksud saya adalah sentiasa berusaha ke arah menjadi siapa yang kita mahu jadi dalam tempoh 5 – 10 tahun lagi.

5. Sentiasa sedar bahawa akan ada orang yang lebih berilmu dari kita. Maka elakkanlah dari meninggi diri.

Seorang sahaja yang berbaju Melayu.
Suasana ketika konvokesyen di Royal Albert Hall. Yang duduk di kiri dan kanan pentas tu semua pensyarah yang pelajarnya lulus PhD.

Antara tips yang ingin saya kongsikan dengan generasi muda untuk berjaya dalam kehidupan pula adalah,

1. Keyakinan bahawa rezeki itu ada untuk kita di dunia.

Kita dibawa ke dunia ini oleh tuhan jadi Dia akan menjaga kita dengan syarat kita sentiasa berusaha.

Mungkin ini suatu yang biasa kita dengar, namun sewaktu saya berada dalam keadaan tertekan serta terdesak, serta tiada siapa dapat membantu (contohnya dalam kerja-kerja penyelidikan termaju), keyakinan inilah yang membolehkan saya bangun semula.

2. Keinginan untuk bekerja keras melebihi masa yang ditentukan.

Di Imperial College London, ada pelajar yang duduk menelaah ilmu dari 7 pagi hingga 11 malam, untuk setiap hari. Untuk berjaya paling kurang perlukan 60 jam seminggu bekerja.

3. Ambil positif sebarang kritikan, perbaiki kesilapan dan terus maju ke hadapan.

Dalam bidang kerjaya saya, sering kali artikel ilmiah saya ditolak oleh pakar-pakar dalam bidang tertentu di dunia. Ada antara mereka yang dikenali sebagai guru dalam bidang tersebut. Jika kita mampu menerima kritikan sebagai proses pembelajaran, maka mudahlah untuk berjaya.

4. Sentiasa membaca.

Bacalah sebarang buku, mungkin tentang perniagaan, agama, motivasi, sejarah, dan apa jua bentuk penulisan. Ia membolehkan otak kita sentiasa berfikir dan berkembang.

Jika menaiki tren di London, paling kurang mereka akan membaca akhbar. Kita akan berasa malu sendiri sekiranya tidak membaca apa-apa. Begitulah nilai di negara maju.

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian dari saya. Diharap ia dapat memberi inspirasi terutama kepada golongan muda yang tercari-cari panduan untuk maju ke hadapan. Harap kisah saya ini dapat memberi inspirasi kepada orang ramai. Kalau seorang pun saya dah cukup happy. Terima kasih.

Terima kasih Dr Hasbullah atas tips dan perkongsian kali ini. Semoga ia bukan hanya memberi inspirasi tetapi apa yang telah dikongsikan turut menjadi amalan dan kelaziman buat para pembaca.

Andai tidak dipecahkan ruyung, mana mungkin kita dapat ambil sagunya. Tiada perkara dalam dunia ini yang sukar dicapai andai kita sanggup berusaha sehabisnya. If you can dream it, you can do it.

Baca lagi: Selepas Melalui Siri Kegagalan Dalam Pelajaran Akhirnya Ini Yang Telah Saya Capai