Sudah biasa kita dengar seseorang yang mahu sambung pengajian PhD perlu menyiapkan Master terlebih dahulu. Namun berbeza pula bagi Cik Nabilah Naina. Beliau diterima melanjutkan PhD dengan hanya berbekalkan Ijazah Kejuruteraan Kimia di The University of Queensland, Australia.

Merupakan anak ke 2 dari empat beradik dan berasal dari Melaka, keputusan akademik beliau menyerlah sejak di bangku sekolah lagi. “Sejak kecil saya bercita-cita mahu belajar di luar negara dan sanggup berusaha untuk mencapai impian tersebut. Saya mendapat straight A semasa UPSR, PMR dan SPM.”

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

nabilah-phd-5

Menurut gadis yang baru berusia 23 tahun ini, keputusan peperiksaan yang cemerlang di setiap semester serta melibatkan diri dalam beberapa research yang dijalankan oleh pensyarah  telah banyak memudahkan beliau untuk terus ke peringkat PhD.

“Saya mendapat keputusan yang cemerlang setiap semester dan pernah mendapat anugerah dekan. Saya rasa saya tidaklah sehebat pelajar negara lain khususnya pelajar  dari Australia, tapi saya sangat rapat dengan para pensyarah di universiti. Mereka banyak menyokong dan memberi cadangan (recommendation) kepada pihak universiti agar saya boleh terus buat PhD.”

Bagi pelajar tajaan MARA sewaktu di peringkat ijazah ini, mungkin kerana sikap beliau yang gemar bertanya dan peramah menjadi faktor beliau dikenali dan disenangi oleh pensyarah. Nabilah juga telah diminta menjadi tutor untuk beberapa subjek dan research assistant sewaktu cuti semester oleh beberapa pensyarah beliau.

nabilah-phd-3

“Sesudah tamat ijazah, beberapa pensyarah ingin menjadikan saya sebagai pelajar PhD di bawah mereka. Akhirnya saya memilih topik PhD yang saya suka dan bersetuju untuk menyambung pengajian.”

Namun begitu, sebelum pengajian PhD dapat diteruskan Nabilah perlu memohon biasiswa. “Untuk mendapatkan biasiswa PhD, ia agak susah bagi saya kerana perlu bersaing dengan pelajar cemerlang dari negara lain.”

Nabilah telah dipanggil untuk temuduga dan diberitahu bahawa persaingan adalah sengit. Ditambah dengan terlalu ramai pelajar cemerlang dari negara lain yang turut memohon dan tawaran biasiswa juga sangat terhad. “Saya juga diberitahu bahawa agak susah untuk saya dapat biasiswa itu kerana mereka akan beri keutaman kepada pelajar yang sedia mempunyai Master.”

Dan nampaknya rezeki menyebelahi beliau apabila menjadi salah seorang yang berjaya mendapat biasiswa dan  tajaan penuh dari kerajaan Australia.

nabilah-phd-4

Nabilah juga telah diambil bekerja oleh pihak universiti selepas tamat ijazah, di mana beliau dilantik menjadi panel untuk menilai dan mengubah suai konteks pembelajaran salah satu subjek di universiti tersebut.

Namun beliau hanya bekerja selama 3 bulan sahaja kerana ingin berehat seketika dan meluangkan masa dengan keluarga di Malaysia sebelum kembali ke Australia bagi menyambung pengajian di peringkat PhD.

Kini telah sebulan Nabilah kembali ke Australia dan memulakan pengajian PhD dalam Kejuruteraan Kimia. Pengajian Nabilah dijangka tamat pada tahun 2020/2012 nanti.

Bila ditanya apakah perancangan selepas pengajian tamat nanti, ujar Nabilah beliau belum ada perancangan khusus tetapi lebih berminat untuk menceburi bidang pendidikan atau industri berkaitan dengan apa yang sedang dipelajari kini.

nabilah-phd-2

Siapa sangka, keputusan cemerlang sewaktu ijazah ditambah dengan kerja sambilan di bidang berkaitan banyak membantu Nabilah mengorak langkah dengan lebih pantas dalam mengejar cita-cita beliau.

Kami di Vocket mengucapkan selamat maju jaya kepada Cik Nabilah. Semoga pencapaian beliau ini turut menjadi inspirasi kepada anda.

Buat anda yang turut ingin memohon biasiswa seperti Nabilah, anda boleh rujuk syarat permohonan dan info lanjut di website Scholarships – The University of Queensland.

Baca lagi: Anak Kampung Pangkat 2 SPM Buktikan Kegagalan Bukan Penghalang Meraih PhD