Pertama kali saya terlihat akaun Facebook doktor PhD ini adalah sewaktu beliau berkongsi pengalaman belajar di Universiti Oxford, UK. Kemudian saya ikut pula akaun Instagram beliau yang sering berkongsi perkembangan dan pengalaman, yang kebanyakan gambar di ketika itu adalah di dalam gym.

Rupanya pemuda berusia 30 tahun ini bukan hanya setakat ke gym untuk berlatih, tetapi ia juga berkait rapat dengan kajian dan thesis PhD yang sedang beliau lakukan.

Dan untuk pengetahuan, anak ke 7 daripada 8 beradik dan dikenali dengan nama Nazri Bajuri ini baru saja menghadiri viva di UK. Saya berkesempatan menemuramah beliau secara atas talian dan ini adalah antara yang telah dikongsikan:

Vocket: Nazri baru saja habis Viva PhD. Boleh kongsikan bidang dan kajian yang dilakukan?

Nazri: Bidang kajian saya di sini saya kira sangat menarik. Saya diletakkan di bawah division Regenerative Medicine. Atau dengan kata lain, Perubatan Penumbuhan bagi sistem badan manusia. Dan pendekatan yang kami di Mechanobiology Group, Oxford gunakan adalah metod kejuruteraan.

Secara umum, bidang ini ada kaitannya dengan bidang kejuruteraan bioperubatan yang masih lagi baru di Malaysia berbanding bidang kejuruteraan lain. Kami satu kumpulan membuat kajian tentang bagaimana untuk tumbuhkan kembali bahagian tertentu daripada badan manusia (human body parts).

Sebagai contoh, untuk menumbuhkan kembali tulang yang telah patah dengan menggunakan elemen mekanikal sebagai stimulus.

Ketika mula-mula tiba di Oxford. Kedatangan kami diraikan dengan majlis ‘matrikulasi’. Ia merupakan acara rasmi bagi Oxford dan Cambridge. Pakaian yang dipakai adalah pakaian rasmi akademik dipanggil Sub-Fusc.

Vocket: Boleh terangkan apa itu Mechanobiology of Human Tissue (esp collagen structure in tendon and some in bone) dalam bahasa yang mudah untuk difahami (jika tak keberatan).

Nazri: Ambil satu contoh, kita biasa lihat individu yang berkerusi roda biasanya memiliki kaki yang agak kecil berbanding sebelumnya. Ini disebabkan berat badan tidak lagi ‘disalurkan’ ke bahagian kaki hingga menyebabkan tulang dan juga otot di bahagian tersebut mengecil.

Satu lagi contoh, ahli bina badan memiliki ‘muscle dan bone volume’ yang luar biasa besar akibat daripada aktiviti angkat berat. Ini membuktikan, secara natural, badan manusia bertindak balas dengan persekitaran dan gaya hidup secara beradaptasi.

Kajian terhadap tindak balas badan manusia turut meliputi sel dan tisu (otot, tendon, tulang rawan, tulang, kulit dan sebagainya), terhadap gaya hidup yang lebih ‘mekanistik’ dipanggil mekanobiologi. Perkataan mekanobiologi ini sendiri boleh dipecahkan kepada mekanikal dan biologi.

Fokus kajian saya di Oxford adalah menyelidik pertumbuhan semula tendon yang telah putus dengan lebih cepat dan mampu kembali berfungsi seperti sedia kala. Tendon adalah tisu yang menghubungkan otot dan tulang.

Kecederaan tendon sering menjadi trauma kepada para pesakit khususnya atlet kerana mereka perlu tunggu beberapa bulan hingga ke beberapa tahun untuk kembali aktif seperti sediakala.

Itupun masih terpaksa menanggung beban tendon yang tidak sama seperti sebelumnya akibat daripada luka dalaman yang pernah dialami meskipun dirasakan seperti sudah ‘sembuh’.

Kami cuba selami sejauh mana bebanan mekanikal (mechanical loading) boleh digunapakai untuk mengatasi masalah ini. Hipotesis kami, ‘beban yang optimum’ mampu membantu tendon yang putus untuk tumbuh kembali dengan kadar yang cepat tanpa sebarang luka, sama seperti tendon asal.

Kajian ini adalah kerjasama antara Oxford dan Lund Universiti di Sweden. Tugas saya secara khusus adalah untuk mengkaji bagaimana peranan bebanan (loading) mampu membantu pertumbuhan kolagen yang merupakan komponen asas di dalam tendon dengan menggunakan analisa komputer pengmodelan. Ilmu asas yang perlu saya kuasai adalah matematik, fizik, kejuruteraan mekanikal bahan dan pastinya biologi.

Bersama rakan-rakan ketika jamuan makan malam rasmi, antara tradisi di Oxford.
Bersama-sama Dato’ Dr Afifi al-Akiti dan Miznina di hadapan bangunan graduasi, the Sheldonian Theatre.

Vocket: Sains sukan bukanlah satu bidang pengajian yang popular di Malaysia. Apakah potensi kursus ini sebenarnya terutama dari segi kerjaya.

Nazri: Secara lebih tepat, bidang saya bukanlah khusus kepada sains sukan. Walau bagaimanapun, sains sukan merupakan salah satu cabang yang berpotensi bagi aplikasi mekanobiologi, selain rehab dan terapi.

Saya secara peribadi memang berminat dengan sukan, khususnya olahraga, bowling dan fitness. Berkata tentang potensi sains sukan di Malaysia, tidak disangkal potensinya sangat besar dan kerjayanya juga agak luas.

Di masa hadapan, sukan akan ditambah daya majunya dengan penggunaan teknologi, termasuk penggunaan teknologi biomedikal (mekanobiologi, motion analysis, biomekanik, bionik dan sebagainya).

Jika dilihat di negara maju, kerjasama antara para saintis, teknologis, dan ahli sukan adalah harmonis. Antara aspek yang cuba dicapai adalah bagi ‘memaksimumkan’ potensi para atlet, dalam konteks individu dan juga sebagai satu pasukan.

Jika dilihat, ramai pemain bola sepak professional menggunakan khidmat para saintis, untuk mendapatkan sepakan yang berimpak paling tinggi dan ‘under-control’.

Vocket: Bagaimana pula dari segi kursus ini sendiri. Adakah ia satu bidang yang luas?

Nazri: Bagi menjawab soalan ini, saya rasa elok kiranya saya sentuh bidang kejuruteraan bioperubatan yang lebih menyeluruh, kerana bidang mekanobiologi itu sendiri di bawah bidang ini.

Definisi yang boleh diberi kepada bidang ini adalah, kajian yang dibuat terhadap dunia perubatan tidak kira dari segi masalah perubatan mahupun potensi rawatan, yang mana metod penyelidikan dan inovasi adalah dengan menggunakan kaedah teknologi kejuruteraan.

Dan seperi yang kita tahu, bidang kejuruteraan dan juga perubatan sangat luas. Maka apabila digabungjalinkan kedua-dua bidang ini, makan potensi yang dapat dirama, tersangatlah luas!

Vocket: Apakah yang mendorong Nazri untuk mendalami kursus ini hingga ke PhD?

Nazri: Rasa ingin tahu yang tinggi. Dari dulu lagi sejak saya aktif sukan, badan selalu sakit-sakit, tapi masih degil tidak mahu berhenti asbab terlalu minat dan juga sukakan cabaran.

Yang jadi mangsa adalah mak saya. Balik je rumah, mak akan secara sukarela, ambil minyak panas dan urut saya. Hehe. Lepas tu lega sangat. Sejak daripada itu, saya selalu tertanya-tanya, kenapa semua ini berlaku.

Saya bermula dengan minat terhadap bidang perubatan. Namun ditakdirkan rezeki saya tiada di sana. ALLAH atur saya untuk menjadi jambatan kepada para jurutera dan para doktor melalui bidang kejuruteraan bioperubatan. Hakikatnya tidak semua para doktor mampu ‘bercakap’ bahasa jurutera, dan sebaliknya.

Tugas kami para saintis dalam bidang ini, antaranya adalah menjadi perantara kedua-dua profesion tadi bagi mewujudkan ekosistem yang lebih harmoni dalam bidang kesihatan. Bagi bidang mekanobiologi pula saya terlintas untuk meneruskan PhD dalam bidang ini berikutan terlalu banyak persoalan saya ketika menyambung master dalam bidang biomekanik, masih tidak terjawab.

Antaranya kenapa implan ataupun transplan yang diguna terlalu sukar untuk ‘mengganti’ organ asal seseorang individu. Cari punya cari, baru saya tahu antara sudut yang masih belum diselongkar para saintis adalah tindak balas dinamik badan manusia terhadap persekitaran (dalaman mahupun luaran).

Kajian saya secara khusus mengkaji bagaimana sel dan tisu bertindak balas terhadap isyarat mekanikal. Sebagai contoh, bagaimana sel bertindak balas sekiranya ‘ditarik’.

Alhamdulillah, kajian saya banyak telah diterbitkan. Bermula daripada zaman master, hingga ke PhD (boleh google M.N Bajuri). Satu benda yang saya sangat kagum sehingga kini, ternyata ‘alam’ badan manusia yang Allah cipta ini sungguh mengkagumkan, sehingga boleh dikatakan ‘mustahil’ bagi manusia untuk menghasilkan ‘teknologi’ yang sama. Kagum bukan!

Vocket: Apakah cabaran yang dilalui sepanjang menyiapkan PhD?

Nazri: Transformasi. Ini adalah perkataan pertama yang keluar setiap kali diajukan soalan ini. Saya bermula daripada seorang yang agak rigid, ‘scorer’ ataupun ‘result oriented’ dan agak terlalu ‘industrialised’.

Disekolahkan sepenuhnya di Malaysia, sebuah negara membangun, yang saya yakin masih ‘belum cukup’ kenal apa maksud falsafah, ‘high-level’ atau ‘deep thinking’, serta ‘human touch’.

Dan kini, saya di Oxford, satu universiti paling ulung dunia, yang mana sangat terkenal dengan kesarjanaan, falsafah dan ‘human touch’. Tiga prinsip ini, saya yakin adalah komponen utama mengapa Universiti Oxford mampu bertahan hampir 900 tahun, walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai jenis cabaran (termasuk daripada segi perubahan teknologi, politik mahupun ideologi – kapitalisma sebagai contoh).

Ketika di Malaysia, ya mungkin saya antara pelajar cemerlang. Alhamdulillah hampir setiap peperiksaan saya ‘score’. Ketika master, saya juga berjaya hasilkan banyak terbitan peringkat antarabangsa. Mungkin ada timbul rasa sudah cukup hebat huhu.

Silap sungguh saya ketika itu kerana apabila tiba di Oxford, baru saya tahu betapa ‘teruknya’ pengetahuan asas (fundamental) saya, termasuk juga betapa silapnya cara saya ‘berurusan dengan kajian dan ilmu khususnya sains’.

Ya saya ditegur beberapa kali oleh penyelia. Mungkin ada yang beranggapan, sebab sistem pendidikan Malaysia jugaklah Nazri, engkau berjaya sampai ke Oxford.

Iya benar, tidak dinafikan kebanyakan ‘kesarjanaan’ saya terbentuk di Malaysia. Tahniah dan terima kasih banyak saya ucapkan kepada insan yang berpenat lelah memastikan sistem di Malaysia terus melahirkan insan berkualiti. Namun saya yakin, pastinya ada ruang yang boleh kita murnikan. Ini pendapat peribadi saya sebagai individu.

Jika dilihat Maslow’s Hierarchy of Needs, sistem di Malaysia telah berjaya memenuhi 4 tangga pertama. Tahniah! Namun masih belum capai tahap tertinggi yang ke-5 , iaitu dipanggil ‘Self- Actualisation’ – iaitu kesedaran tentang potensi diri (way to go Malaysia!).

Tahun pertama saya di Oxford, penyelia saya terpaksa berdepan dengan pelbagai ragam ‘transformasi’ saya ini. Dia sedar yang saya agak rigid, and WORK TOO HARD sehinggakan saya kompromi faktor kreativiti dan keseimbangan dalam hidup (saya jarang ambil cuti dan jarang rehat).

Daya kreativiti dan keyakinan saya agak lemah ketika itu jika dibandingkan dengan rakan lain, bekas graduan Oxford, Cambridge, Imperial, Stanford, terutama sekali dari segi membuat keputusan yang melibatkan kajian saya.

Masih lagi ada rasa ‘takut buat silap’. Saya juga kerap jatuh sakit dan mengalami mental and emotional breakdown. Dengan penuh sabar, supervisor saya bantu dan pimpin saya, keluar daripada kepompong ‘top scorer’ dan ‘perfectionist’ kepada ‘great thinker’ dan ‘people full of wisdom’.

Untuk makluman, beliau adalah ‘Oxford bred’ yang mana ijazah pertama beliau adalah di Oxford juga. Adalah berbeza diselia oleh pensyarah yang Oxford bred berbanding yang bukan. Tidak semua pensyarah di Oxford adalah Oxford bred.

Atas faktor ‘human touch’, mereka ini jauh lebih kuat (konsep yang sama untuk Cambridge dan Harvard). Ini berdasarkan pemerhatian empirikal saya dan bacaan buku – The Oxford Tutorial System, Thanks You Taught Me How to Think.

Seperti yang kita semua sedia maklum, Oxford dan Cambridge sangat terkenal dengan ‘sistem tutorial’, yang mana elemen sentuhan dan nilai kemanusiaan serta kesarjanaan sangat dititikberatkan.

Ketika sesi tutorial, biasanya hanya beberapa orang pelajar dan seorang pensyarah sahaja yang akan terlibat (ideal ratio, 1 tutor dengan 2 orang pelajar), dan sesi ini berlangsung di mana subjek yang dibincangkan, digali sedalam-dalamnya melalui sesi soal jawab dan karangan.

Pelajar bebas mengajukan soalan dan juga menerima soalan. Sesi ini adalah luar daripada kuliah biasa di fakulti, di mana ianya dijalankan di kolej masing-masing. Atas faktor ini, saya perasan penyelia saya sangat ‘berminat’ melihat dan mendidik perkembangan saya sebagai individu. Beliau bukan sahaja menekankan ilmu-ilmu teknikal, malah ilmu kesarjanaan dan juga falsafah ataupun ‘deep thinking’ (berfikir secara mendalam).

Tidak pernah sekali dibandingkan saya dengan rakan yang lain. Tugas hakiki beliau adalah menggilap potensi dan kekuatan individual saya. Tidak dinafikan, berada di Universiti Oxford, saingan dan expectation sangat tinggi. Namun sistem sokongan mereka, saya yakin adalah antara terbaik di dunia.

Alhamdulillah akhirnya, berkat didikan penyelia saya dan juga penasihat kolej, pada tahun kedua dan seterusnya, saya mampu mengorak langkah ‘kesarjanaan’ saya dengan jauh lebih yakin, dan penuh dengan ‘wisdom’, ‘human touch’, ‘life balance’, dan elemen falsafah. Saya yakin itu. Terima kasih Oxford!

University of Oxford, jiwa kesarjanaannya cukup kuat. Di sini, tempat di mana saya kenal dengan lebih dekat apa itu kerangka falsafah, sains, teknologi, kemanusiaan dan ketuhanan

Vocket: Bagaimana pula dari segi perubahan diri yang dirasai sepanjang menyiapkan PhD , dari segi fizikal, sisi kehidupan atau sisi lain?

Nazri: Secara jujur, banyak perubahan yang saya lalui. Paling ketara adalah cara saya berfikir tentang sains dan juga bidang ilmu secara keseluruhan. Ilmu itu terlalu bernilai untuk dibandingkan dengan harta, pangkat, usia, darjat dan sebagainya. Ilmu juga terlalu luas untuk diletakkan batasan tanpa asas yang kukuh.

Di Oxford, kuliah, seminar, debat, forum, perjumpaan terlalu banyak, di merata bandar Oxford. Terdapat lebih 100 perpustakaan. Hampir berpuluh kuliah setiap hari,dan selalunya penuh. Yang menariknya, masyarakat umum sendiri turut sama hadir, mengambil manfaat dari dunia kesarjanaan Oxford yang sangat tinggi nilainya.

Saya juga diajar untuk menghargai setiap buah fikiran saya dan rakan-rakan lain, dan jangan terlalu risau tentang keputusan akhir. Saya diajar menjadi ‘value’ dan ‘process oriented’, bukan ‘result oriented’. Saya juga diajar melihat beza antara ‘philosophical work’ dengan ‘clerical work’.

Berkat didikan ‘tepat’ sebeginilah, saya banyak belajar. Alhamdulillah. Viva PhD saya tempoh hari (17 Januari 2017 ), saya kirakan antara kayu ukur utama. 2 jam bersama panel, saya kira terlalu cepat.

Saya seronok membincangkan dapatan kajian saya, serta pendapat kolektif kami bersama para panel yang saya anggap ketika itu, lebih kepada ‘discussion dan engagement’. Memang semangat saya bercakap hehe. Respon yang diberikan oleh panel juga sangat memberangsangkan.

Saya telah dicadangkan untuk menerbitkan satu lagi journal untuk dapatan terakhir dalam tesis yang ditulis. Selama di Oxford, saya tidak pernah ‘dimomokkan’ dengan syarat penerbitan. Kami diajar untuk hargai proses kesarjanaan, dan ‘penerbitan dan journal’ adalah soal kedua.

Biasanya tugas hakiki penerbitan dikhususkan kepada ‘postdocs’ yang mana mereka ini sememangnya sudah ‘competent’ dalam dunia research selepas berjaya menempuh ‘sekolah PhD’.

Secara peribadi saya menetapkan untuk tidak menerbitkan terlalu banyak (2 atau 3 adalah had optimum saya untuk 3 – 4 tahun PhD, dan masa selebihnya adalah untuk saya mantapkan mahupun kritik ilmu asas dalam bidang saya ini).

Perubahan lain termasuk anjakan pandangan saya terhadap dunia. Seperti yang dimaklumkan, Oxford penuh dengan ‘upacara kesarjanaan’, dan biasanya speaker yang dijemput adalah insan ternama dunia, ataupun boleh dipanggil ‘world ruler or reader’.

Telah menjadi rutin saya untuk melibatkan diri dalam seminar sebegini untuk mengambil serius apa yang telah, sedang dan akan berlaku dengan dunia di sekitar saya ini. Alhamdulillah, sangat banyak yang saya belajar.

Perubahan lain termasuklah fizikal yang mana kini saya boleh dikatakan ‘fit’ dan kurang jatuh sakit, juga tidur yang cukup dan lebih berkualiti. Dulu saya sanggup tidak cukup tidur, dan tidak cukup rehat, asalkan kerja siap. Namun kini saya lebih kenal apa itu kestabilan antara kerjaya dan kendiri.

Memastikan biologi tubuh badan yang mantap adalah sangat penting untuk mendapatkan ‘high level – creative and long-sustainable thinking’. Saya terinspirasi daripada penyelia saya dan rakan-rakan satu makmal.

Kebanyakan kami di sini aktif bersukan. Penyelia saya seorang long-distance runner, dan rakan-rakan lain merupakan rower, pemain ragbi dan sebagainya. Selalunya akviti luar makmal kami melibatkan aktiviti fizikal yang lasak seperti rock climbing dan army challenge.

Penyelia saya juga turut serta walaupun sudah agak berumur. Saya juga akan pastikan setiap jam saya di siang hari di dalam makmal adalah berkualiti, dan selebihnya saya akan keluar untuk menghadiri kuliah umum, berjumpa rakan mahupun bersukan.

Dan biasanya waktu ‘riadah’ sebeginilah, idea kreatif saya mencurah-curah. Rahsianya adalah fokus, disiplin, komitmen, dan buat kerja dengan penuh jiwa. Setiap pagi saya akan buat timeblocking, dan akan memastikan hari tersebut dipenuhi 4 element asas hidup yang harmoni iaitu:

1. Intellektual
2. Spiritual
3. Fizikal
4. Sosial
Ya, saya sangat ‘kedekut’ dan ‘berhati-hati’ dengan pengurusan masa.

Alhamdulillah, transformasi yang sebeginilah menjadi asbab bila di penghujung pengajian saya berjaya memperoleh 3 anugerah di sini. Pernah di satu konferens, idea saya dilihat sangat berpotensi hingga terdapat syarikat di London yang ingin membuat pelaburan.

Namun saya ‘tahankan’ kerana lebih elok mungkin saya ‘execute’ idea saya ini di Malaysia. Ya, saya kini lebih yakin, lebih positif, dan lebih ‘cerah’ pengetahuan akan dunia kesarjanaan. InsyaALLAH, moga diberi panduan dariNya.

Gambar ketika jogging di Christ Chuch Meadow, Oxford, college yang mana cerita Harry Potter membuat penggambaran.

Segak berbaju Melayu di pagi raya. Maaf, capal dan songkok tertinggal di Malaysia!

Beraya bersama komuniti Malaysia di Oxford.

Gambar di atas adalah sewaktu bersama sersama barisan panel sebaik sahaja tamat sesi viva-voce. Alhamdulillah, PhD saya lulus dengan jayanya pada tarikh 17 January 2017 dan akan dianugerahkan DPhil in Engineering Science pada musim panas nanti. DPhil adalah gelaran bagi PhD di Oxford.

Bangga juga saya kerana seorang lagi anak Malaysia berjaya menjadi salah seorang alumni University of Oxford dan mengikuti langkah insan-insan tersohor dunia seperti Stephen Hawking, David Cameron, JRR Tolkein, Dorothy Hodgkin, Bill Clinton, Rowan Atkinson, Margaret Thatcher. Termasuk beberapa pemimpin negara seperti Raja Zarith Sofia, Raja Dr Nazrin, dan YB Khairy Jamaluddin.

Vocket: Saya pernah baca status Nazri, satu ketika dulu bukanlah seorang yang pandai berbahasa Inggeris. Bagaimana Nazri atasi halangan ini dan apakah yang mendorong Nazri untuk berusaha?

Nazri: Ya betul. Saya dibesarkan daripada keluarga sederhana. Namun Alhamdulillah semangat juang mak abah membesarkan kami 8 beradik menjadi sumber inspirasi utama saya sehingga kini.

Tinggal di kawasan rumah kos rendah, ternyata bertutur dalam bahasa Inggeris (BI) sangat asing bagi kami ketika itu. Namun segalanya bermula apabila ketika saya masih di sekolah rendah, di mana kebanyakan rakan-rakan saya anak orang berada (majoriti anak pensyarah), dan BI mereka jauh lebih hebat daripada saya kerana pernah membesar di luar negara.

Masih segar di ingatan, saya pernah ditertawakan rakan-rakan di khalayak ramai, atas asbab silap penggunaan vocab BI. Teruk sangat ketika itu. Huhu. Namun, saya bangkit. Saya masih ingat pesanan Mak, ‘Oie pasti boleh’ (Oie adalah nama manja saya di rumah hehe).

Maka atas suntikan semangat, setiap kali periksa saya akan berusaha keras, termasuk untuk penguasaan subjek bahasa Inggeris. Daripada gred C dan D kepada A, dan seterusnya merangkul anugerah pelajar terbaik di sekolah rendah dan menengah.

Ketika tahun pertama di Oxford, saya masih lagi merasakan penguasaan BI saya teruk. Selama ini apa yang saya tahu adalah bahasa rasmi BI, tapi apabila tiba di England, kebanyakan mereka menggunakan bahasa tidak rasmi. Sekali lagi keyakinan saya terhakis.

Berada di tempat yang mana lahirnya kamus Oxford itu menyebabkan saya rasa ‘malu besar’ sekiranya saya masih lagi tidak mampu menguasai bahasa ilmu ni.

Juga terlalu banyak ilmu di sini. Jika saya tidak benar-benar menguasai bahasa Inggeris, manfaatnya akan hilang begitu sahaja. Maka sejak daripada itu saya susun strategi. Saya mulakan dengan banyak berkomunikasi dengan rakan-rakan di sini.

Saya bermula dengan rakan-rakan yang mana BI bukan bahasa ibunda mereka. Saya tebalkan muka, dan berani untuk membuat kesilapan. Secara gradual, banyak saya belajar, dan saya mula yakin untuk seterusnya bertutur dengan ‘native speaker British’.

Ya, saya memang mencabar diri sendiri untuk kurang ‘bergaul’ dengan rakan Malaysia saya di sini untuk melatih diri keluar daripada ‘comfort zone’ dan belajar BI dengan lebih baik.

Alhamdulillah, kini saya rasa BI saya jauh lebih baik daripada dulu. Dan ini mengizinkan saya membuat pembentangan bukan sahaja di UK, malah di Eropah dan juga di Amerika Syarikat. Ya, muka kena tebal, cabar diri, dan yakin dengan diri sendiri, kita juga boleh!

Perpustakaan kolej Somerville adalah antara perpustakaan yang saya gemar kunjungi sewaktu penulisan tesis. Ianya merupakan satu daripada 100 lebih perpustakaan yang ada di Oxford.

Vocket: Bagaimana pula dari segi pembiayaan pelajaran sewaktu di sana? Ada dapat biasiswa atau sponsorship?

Nazri: Alhamdulillah, pengajian saya di sini di bawah tajaan biasiswa terulung negara, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong. Sepanjang di sini juga, saya telah berjaya mendapat 3 award daripada University of Oxford, dan anugerah itu adalah dalam bentuk honourarium.Tahun akhir saya di Oxford ini pula di bawah tajaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Terima kasih tidak terhingga buat barisan penaja.

Gambar bersama Yang di-Pertuan Agong yang ke-14, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ketika sesi penganugerahan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) di istana negara.

Kerjasama antara Oxford Universiti dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang kejuruteraan biomedikal, matematik dan juga program khusus Nobel Laureatte. Yang di tengah itu adalah penyelia saya yang dikasihi, Assoc Prof Dr Mark S Thompson.

Vocket: Nampaknya sejak beberapa minggu lepas Nazri mula dijemput berkongsi di sekolah tentang pengalaman belajar di Oxford. Boleh kongsikan sikit tentang ini?

Nazri: Oh ya! Terlalu banyak yang ingin saya sampaikan kepada adik-adik generasi seterusnya. Masa hadapan terlalu mencabar buat mereka untuk tidak membuat persiapan, dan sekiranya saya tidak memberikan ‘peringatan’ dan berkongsi pengalaman saya, saya rasa saya mencabuli hak mereka, dan ketamadunan manusia sejagat secara amnya akan terancam.

Di Oxford ini, kami bukan sahaja didedahkan dengan sejarah dan apa yang sedang berlaku sekarang. Kami juga diberikan ‘persediaan’ untuk mendepani cabaran masa hadapan. Menjadi tanggungjawab saya mewakili rakyat Malaysia, untuk menyampaikan sebanyak mungkin ilmu yang saya peroleh, untuk manfaat adik-adik di luar sana. Ya, saya sangat sayangkan masa depan adik-adik semua!

Sesi perkongsian bersama adik-adik di Maahad Tahfiz Negeri Pahang

Vocket: Pesanan buat pembaca Vocket yang berminat mahu lanjutkan pengajian dalam kursus sains sukan (kejuruteraan bioperubatan).

Nazri: Ucapan saya, tahniah! Anda bukan sahaja akan membantu para pesakit di luar sana, malah anda sebenarnya sedang membantu diri anda sendiri, bukan sahaja untuk mengetahui bagaimana anda diciptakan, tetapi juga KENAPA anda diciptakan.

Sejak menceburi bidang ini, tidak putus-putus rasa kagum saya dengan ciptaan ALLAH. Saya meletakkan bidang ini ke satu tahap yang lebih tinggi daripada tanggapan umum, yang mana saya beranggapan bidang kejuruteraan bioperubatan, adalah bidang untuk kita mengkaji (melalui ekplorasi Sains), bagaimana ALLAH men’juruterakan’ badan manusia secara khusus, dan ketamadunan interaksi manusia dan alam, secara umum.

Ternyata ALLAH is ‘the best biomedical engineer’ ever! Maka apa yang kita boleh buat sebagai hambaNya, kita belajar daripada ‘teknik’ yang ALLAH telah zahirkan ini, untuk kita kembalikan semula haknya.

Sebagai contoh, untuk para pesakit yang mengalami masalah jantung, kita para saintis dan jurutera seharusnya mencuba yang terbaik untuk kembalikan semula fungsi asal jantung tersebut, dengan penggunaan pelbagai ilmu dan peralatan sains dan kejuruteraan, termasuklah pacemaker, stent, juga rawatan stem sell, scaffold dan sebagainya.

Pesanan saya buat anda, ‘please enjoy exploring the creation of ALLAH through the lens of the universe of human body and human interactions. And please do your very best to sustain and preserve its beauty, function, and perfection’! Ini adalah tugas kita sebagai khalifah dan hambaNya. Kan?

Vocket: Perancangan selepas ini. Ada nak tulis buku dan berkongsi pengalaman tentang perjalanan buat PhD?

Nazri: Jika dizinkan, insyaALLAH saya akan cuba bukukan pengalaman dan pengajaran yang saya perolehi. Harap sangat rakan-rakan di luar sana dapat ambil manfaat daripadanya.

Saya juga galakkan rakan-rakan untuk teruskan berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing, mengikut platform dan ‘circle of influence’ yang bersesuaian. Please, tanggungjawab kita untuk memastikan ekosistem ketamadunan manusia ini kekal harmoni, pastinya melalui jalan ilmu. Tiada lain.

Juga selepas ini (2 – 3 tahun mendatang) saya akan fokus kepada 4 pekara ini:

1. Intellectual discourse
2. Personalised healthcare/fitness innovation
3. Startup
4. Philanthropism. Mohon rakan-rakan doakan.

Perancangan jangka panjang adalah ke arah melengkapkan ‘energy equilibrium equation’, menghubungkaitkan molekul, sel, tisu, organ, sistem, manusia, negara, politik, ‘mother nature’ dan ‘universe’. Saya akan cuba mulakan dengan String Theory-Human Touch.

Kejayaan lebih bermakna apabila dikongsi bersama insan-insan tersayang. Terima kasih mak abah atas segala kasih sayang yang dicurahkan. Gambar ini adalah ketika kami membuat kunjungan ‘rasmi’ ke London.

Vocket: Ada pesanan lain yang Nazri ingin sampaikan kepada pembaca Vocket?

Nazri: Akhir kata, saya harap saya dan kita akan sedar bahawa dunia menuntut ilmu ini penuh dengan warna warni. Jika kita tidak jumpa keindahannya, itu silap kita. Teruskan mencari, rajin bertanya dan yakin dengan kelebihan yang diberi.

Sebarkan kasih sayang, penuhkan rasa empati dalam diri, dan jadikan ilmu itu senjata untuk mengenali diri dan pencipta diri. Moga pengakhiran kita, bersama-sama yang kekal ABADI.

Salam maju jaya untuk semua, dan terima kasih atas doa dan dokongan yang diberikan selama ini. Terima kasih team Vocket atas peluang yang diberi, khususnya kak Ida Latif kerana sudi menunggu hampir 2 tahun untuk artikel sebegini disiapkan. Maaf atas kelewatan.

The place where I practise my knowledge in Mechanobiology. Second home.

Buat Nazri, terima kasih atas perkongsian. Secara peribadi memang berbaloi saya menunggu selama 2 tahun. Malah, kami di Vocket berbesar hati kerana anda sudi menjawab soalan kami. Bagi pihak Vocket, kami doakan Nazri berjaya mencapai impian dan segala yang telah dirancang.

Baca lagi: Genggam PhD Pada Usia 25 Tahun, Inilah Amalan Dan Prinsip Yang Dipegang Pemuda Ini