Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Penemuan saya dengan gadis ini boleh dikira secara tidak sengaja di Facebook. Sewaktu log in ke akaun di media sosial, mata saya tertumpu kepada satu nama di ‘Facebook Suggestion’ yang mencadangkan rakan baru berdasarkan mutual friends.

Selalunya cadangan begini saya abaikan saja. Atau jika terasa sedikit terganggu, saya akan klik tanda x di setiap nama yang tertera. Tapi berbeza pula di pagi itu. Nama Hanan Mikhael Azman bagaikan magnet menarik saya untuk ke wall gadis ini, seterusnya mata saya terpaku kepada intro yang tertera : Bipolar Warrior – Petualang – Nomad. Ringkas tapi sangat menarik minat saya.

HYPE
Jualan Meningkat 5 Kali Ganda, Kiddocare Puas Hati Guna Perkhidmatan REV Ad Manager
Baca lagi →

Lantas jari laju menaip dan mata saya membelek satu persatu perkongsian gadis ini termasuk penyakit yang sedang dihidapi – bipolar disorder. Bagaimana mungkin beliau mampu travel solo dalam situasi begini? Pertanyaan pertama mula mengetuk di kepala.

Dan kini, semuanya terjawab bila Hanan sudi berkongsi apakah yang telah beliau lalui sejak lebih 7 bulan berkelana di luar negara. Ikuti temubual saya bersama gadis berjiwa pejuang ini di bawah.

Vocket: Hi Hanan. Boleh berikan nama, usia, berasal dari mana (negeri), pendidikan dan pekerjaan akhir sebelum berhenti kerja dan mengembara ke luar negara?

Hanan: Nama penuh saya Hanan Hj Azman, berasal dari Kota Bharu Kelantan, membesar di Sungai Buloh, Selangor. Pendidikan di UiTM dalam bidang Sarjana Muda Seni Halus, dan kemudiannya Grafik Design di Kolej Universiti LimKokWing.

Pekerjaan terakhir saya adalah freelance production crew (bahagian penerbitan tv program, pengurus produksi, floor manager, location manager, assistant director, script writer & proposal content writer).

Vocket: Saya difahamkan Hanan mengidap bipolar disorder. Boleh terangkan secara ringkas dan dah berapa lama Hanan mengidap penyakit ini?

Hanan: Saya mengidap Bipolar Disorder & Anxiety Disorder Panic Attack. Bipolar disorder merupakan penyakit yang melibatkan perubahan mood yang ekstrim. Penyakit ini merupakan penyakit dwi kutub positif negatif.

Saya biasanya akan mengalami 3 fasa mood yang ketara – manic, mix phase & deppresion secara bersilih ganti. Mood ini berganti secara mendadak dan ia di luar kawalan. Saya yakin telah menghidap penyakit ini sejak berusia 16 tahun tetapi agak lewat dikenalpasti. Saya telah mendapatkan rawatan pakar secara konsisten sejak 2 tahun lepas.

Vocket: Bagaimana Hanan berjaya kesan penyakit ni? Adakah lepas berjumpa doktor dan lalui beberapa pemeriksaan atau hanan discover sendiri?

Hanan: Saya sebenarnya dapat tahu tentang penyakit ini secara tidak sengaja apabila membuat kajian tentang penyakit skizophrenia. Saya suka membaca. Saya pernah terbaca satu artikel tentang skizo, jadi saya Google untuk tahu dengan lebih jelas tentang skizo.

Dari situlah saya terbaca tentang segala jenis disorder. Perhatian saya tertumpu kepada bipolar disorder. Saya dapati setiap simptom yang ditulis sangat sama denga apa yang saya alami selama bertahun-tahun lamanya.

Saya agak terkejut kerana tidak menyangka bahawa petanda yang saya alami itu merupakan sejenis penyakit yang agak serius. Terdetik di hati untuk mendapatkan kepastian daripada pakar.

Pada mulanya saya rasa teragak-agak. Ya lah pada masa itu saya risaukan pandangan masyarakat yang telah tertanam stigma sejak azali bahawa berjumpa psykiatris ni untuk orang gila atau sakit jiwa sahaja.

Tapi demi masa depan saya gagahkan juga diri berjumpa pakar. Saya membuat pemeriksaan lanjut di HKL, di bahagian klinik pesakit luar, dan kemudian dirujuk kepada pakar psykiatris HKL.

Setelah menjalani beberapa siri pemeriksaan saya disahkan mengalami kemurungan. Proses pemeriksaan melibatkan pemeriksaan darah, ECG dan sesi soal jawab. Namun saya merasakan saya perlu mendapatkan pandangan psykiatris.

Apatah lagi bila ubat yang telah diberikan oleh pihak hospital menyebabkan saya rasa lebih tertekan, menjadi seorang yang lemah, tidak bermaya dan sentiasa mengantuk. Dengan kata lain tidak produktif.

Saya mengalami masalah ini selama beberapa bulan dan ia menjadikan masalah kemurungan saya semakin teruk. Hinggalah satu hari saya mengikuti satu program yang dianjurkan oleh unit psikiatri di Hospital Selayang.

Buat pertama kalinya sewaktu di sini saya bertemu dengan ramai pesakit bipolar dari sekitar Lembah Kelang. Saya dapati ada dikalangan pesakit ini sebenarnya berbakat dalam seni, bijak dan ada yang genius.

Ada yang masih menuntut di universiti dan masih bersekolah. Penyakit ini mengganggu pembelajaran mereka. Salah seorang daripada petugas wad Mentari rupa-rupanya adalah kakak kepada sahabat saya.

Saya mengambil peluang ini untuk menemui beliau dan meminta pendapat tentang diagnosis pertama yang telah dijalankan ke atas saya di HKL. Beliau mencadangkan agar saya cuba mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

Beliau turut membantu mengaturkan satu temujanji dengan doktor pakar di sana. Kali ini setelah menjalani beberapa siri ujian saya disahkan mengidap bipolar disorder type 1 (lebih kepada manic episode) dan diberi ubat epilim dan quetiapine.

Fungsi ubat adalah untuk menstabilkan mood. Kali ini agak ok berbanding yang sebelumnya walaupun saya rasakan ada sesuatu yang masih kurang.

Vocket: Bercakap tentang travel dan bipolar disorder, bagaimana akhirnya Hanan ambil keputusan untuk tinggalkan apa yang ada di Malaysia (kerjaya, keluarga, kawan-kawan) dan keluar mengembara?

Hanan: Di awal diagnosis saya rasakan sangat down dan kecewa sebab lambat tahu tentang penyakit ini. Dalam masa setahun saya rasa tidak keruan dan merasakan saya harus mengambil satu tindakan drastik untuk kebaikan diri sendiri.

Bipolar telah banyak memberi impak negatif ke atas diri saya, termasuklah dari segi hubungan dan pekerjaan. Ia telah merencat potensi diri dan kejayaan yang sepatutnya saya kecapi tanpa menyedarinya.

Dari situlah saya sedar betapa perlunya saya berkongsi dan memberi kesedaran kepada orang lain tentang perkara ini. Dalam masa yang sama saya lihat ramai di kalangan pesakit ini yang tidak dapat berfungsi dengan baik dalam masyarakat akibat pengambilan ubat secara berterusan.

Saya bertekad untuk cuba berhenti secara perlahan-lahan. Saya perhatikan stigma masyarakat terhadap pesakit mental di Malaysia amat teruk sekali. Mereka mengaitkan semua pesakit mental itu dengan gila. Sebenarnya tidak sama sekali, saya masih mampu buat apa sahaja yang semua orang normal lakukan.

Bezanya pada masa-masa tertentu mood dan sistem berfikir saya jadi agak berbeza dari orang normal kerana ia di luar kawalan, tetapi tidaklah sehingga membahayakan diri jika kita aware tentang situasi begitu.

Inilah salah satu sebab utama saya keluar mengembara. Saya mahu buktikan yang stigma masyarakat tentang pesakit mental perlu diubah dan jangan jadikan ia sesuatu yang taboo dalam masyarakat.

Selain daripada mahu menguji tahap kemampuan diri, saya juga sebenarnya telah lama menyimpan hasrat untuk mengelilingi dunia secara backpackers. Sejak bersekolah lagi saya sering membayangkan diri saya mengembara bersama beg galas ke serata dunia.

Selain daripada itu, saya ingin mencari diri saya yang hilang, penyakit ini membuat diri saya lost. Saya jadi keliru, saya tak tahu yang mana diri saya yang sebenarnya. Saya menjadi introvert atau extrovert dalam mood tertentu, kadangkala membuatkan orang keliling keliru dan pelik dengan mood saya yang sering berubah.

Perubahan seperti ini biasanya berlaku dalam jangkamasa tertentu dan tidak tetap. Kadangkala seminggu, dua minggu atau pun sebulan dua. Saya juga mengalami insomnia yang teruk.

Jika mood saya sedang menjunam down, saya akan cuba menjauhkan diri daripada sesiapa pun. Malah mendengar suara orang tersayang pun saya jadi rimas. Sedih kalau nak diceritakan semula, hingga saya sering tidur dalam kereta atau check in tidur di hotel berseorangan kerana tidak mahu diganggu.

Segala kerja yang saya sedang kerjakan akan ditinggalkan dan hilang terus mood untuk menyiapkannya. Malahan saya sering memadam penulisan (skrip dan proposal) yang sudah hampir siap kerana paranoid akan kritikan atau bayangan negatif yang dibayangi semasa sedang dalam mood depresi.

Di sebabkan inilah kebanyakan kerja saya jadi terganggu. Panjang kalau nak di ceritakan secara lengkap apa simptom-simptom lain yang dialami.

Jika dalam manic phase pula, saya akan jadi hiperactive yang luar biasa, tidak tidur berhari-hari. Walaupun tak tidur berhari-hari, siang harinya pula boleh bekerja dengan laju, otak ligat berfikir, idea mencurah-curah, banyak cakap dan suka bercerita.

Pada masa ini daya pemikiran saya amat tajam. Pada manic phase ini saya akan siapkan kerja dengan begitu teliti dan sempurna. Kawan pun seronok nak bersama kerana saya akan suka bercerita, buat lawak dan pandai bersosial. Jauh beza bagai langit dan bumi berbanding ketika saya dalam mood despresi. Nak berbual hatta sebaris ayat pun saya tak mampu. Bagai ada berlian dalam mulut.

Vocket: Masih ingat tarikh Hanan mengorak langkah dan tinggalkan Malaysia?

Hanan: Saya memulakan pengembaraan saya pada 20 jun 2016. Destinasi saya yang pertama adalah London, diikuti dengan Scotland dan beberapa negara Eropah yang lain.

Vocket: Bagaimanakah penerimaan keluarga dengan keputusan Hanan ini?

Hanan: Pada mulanya ibu agak keberatan kerana saya merupakan anak yang sering menemani dan membawa kemana sahaja ibu hendak pergi. Telah lama sebenarnya saya nyatakan hasrat ini tetapi beliau tidak izinkan. Saya akur dan tetap menyimpan hasrat ini selama bertahun-tahun.

Namun kali ini saya bulatkan tekad sambil memberikan sebab kenapa dan mengapa saya mesti lakukan ini, akhirnya ibu izinkan dengan redha. Di pihak ayah pula, beliau agak memahami diri saya yang agak adventurers sejak kecil, jadi ayah faham kehendak saya.

Sejak di bangku sekolah saya selalu ceritakan hasrat hati untuk keluar mengembara. Dengan izin dan restu kedua ibubapa saya, saya tinggalakan Malaysia dan masih berada di jalanan sehingga kini. Alhamdulillah kini merekalah yang paling banyak memberi sokongan dan mendoakan agar pengembaraan saya berjalan lancar. Saya bersyukur atas sokongan ibubapa dan keluarga.

Vocket: Adakah mengembara dapat membantu Hanan mengawal atau kurangkan pengambilan ubat untuk penyakit ni? Jika ye boleh kongsikan?

Hanan: Ya ia sangat membantu. Senaman dan aktiviti lasak sememangnya boleh membantu naikkan hormon dalam badan dan juga mental. Aktiviti lasak seperti mengembara, hitchike, hiking, berjalan dalam jarak yang jauh mampu mencabar mental saya.

Aktiviti ini membuatkan mental saya rasa tercabar dan seterusnya memaksa saya siapkan tugas lasak ini. Secara langsung ini akan mengubah polar dan juga kimia dalam otak, merangsang ketidakseimbangan kimia yang terjadi ini agar kembali stabil dan seimbang.

Saya perlu mencabar mental walaupun otak ni adakala tak boleh terima cabaran kerana cepat lesu, cepat letih, cepat mengalah. Namun saya jadikan ini sebagai cabaran untuk saya kembali mengasah skill mental yang semakin melemah.

Cabaran paling getir adalah menangani masalah otak yang numb dan temporary memory lost. Saya sering alami masalah ini (temporary memory lost dan blur). Kadangkala saya tersesat kerana lupa jalan dan info-info tertentu.

Sebenarnya saya ingin menghentikan terus pengambilan ubat. Saya ingin berjuang menangani penyakit ini tanpa ubat. Sebelum ke London, saya berjumpa psykiatris seperti biasa dan nyatakan hasrat untuk bermusafir dalam jangkamasa setahun atau dua.

Doktor saya berikan bekalan ubat untuk beberapa ketika dan turut bekalkan surat rujukan khas sebagai persediaan sekiranya saya perlu dapatkan rawatan semasa bermusafir nanti.

Semasa bermusafir saya kurangkan pengambilan dos ubat secara berperingkat dan sedikit demi sedikit. Selepas sebulan mengembara saya cuba menghentikan terus pengambilan ubat. Kini saya telah menghentikan terus pengambilan ubat preskripsi dariada doktor dan gantikan dengan pengambilan vitamin D, Ginko biloba serta melebihkan pengambilan makanan mengandungi omega 3 (termasuk minyak ikan). Kesemua ini saya boleh beli di farmasi saja.

Ya dengan mengembara saya dapat menangani penyakit ini sedikit demi sedikit walau adakalanya amat siksa untuk saya melaluinya. Saya adalah pejuang, mana mungkin pejuang dapat melepasi rasa sakit (suffer) dengan mudah.

Tapi saya telah memilih jalan ini, maka saya akan teruskan hinggalah saya pulih. Itu tekad saya, tawakaltualallah. Saya yakin Allah sentiasa bersama saya dan doa ibubapa sentiasa mengiringi.

Saya yakin saya akan pulih walaupun ia agak mustahil bagi penyakit ini. Hidup kita sekali, maka jadikan ia yang terbaik walaupun saya punya kekurangan. Saya harus berjuang. Tiada penyakit yang tiada ubat selain mati. Tiada yang mustahil.

Allah itu adil. Dalam setiap kekurangan, pasti ada kelebihan di mana-mana. Yang penting saya berusaha mencari kelebihan itu. Saya juga selalu ingatkan diri bahawa tugas saya sebagai khalifah di dunia yang sementara ini adalah untuk terus berjuang dan memberi manfaat kepada orang lain.

Ada yang menyatakan saya membuka aib sendiri bila berkongsi tentang perkara ini. Tak mengapa, bagi saya, niat itu lebih penting. Niat saya satu, cuba menjadi manusia yang membawa manfaat.

Semoga setiap perkongsian saya membuka mata masyarakat supaya memperjuangkan hidup masing-masing sehabis baik. Setiap orang mampu bermimpi dan mengejar impian mereka walau punya kekurangan. Dari impian lah bermula segalanya. Tiada istilah sudah terlambat bagi saya. Selagi nyawa dikandung badan, teruslah berjuang.

Vocket: Bagaimana pula Hanan atasi penyakit ni yang mungkin akan beri masalah kepada diri Hanan terutama sewaktu di dalam depression phase?

Hanan: Ya perkara yang paling saya takuti semasa mengembara adalah semasa deppresion phase dan anxiety panic attack. Apabila diserang 2 situasi ini memang agak payah untuk saya kawal. Tambahan pula sepanjang musim sejuk (winter).

Winter adalah cabaran terbesar saya. Satu penyiksaan yang teramat sangat saya alami sepanjang pengembaraan ini sehingga menyebabkan saya stuck di Amsterdam hampir sebulan setengah.

Kekurangan cahaya matahari mewujudkan satu simptom penyakit yang digelar Seasonal Affective Disorder (SAD) – kemurungan atau depresi yang disebabkan kurangnya badan terdedah kepada cahaya matahari.

Kemurungan ini mampu mendorong manusia menjadi delusional dan membunuh diri. Kes bunuh diri di musim sejuk sememangnya sering meningkat. Ia bukanlah satu situasi yang baik buat saya.

Namun alhamdulillah dengan kekuatan dan izin Allah saya mampu menanganinya dengan baik. Saya banyak mendekatkan diri dengan tuhan, mengaji dan sentiasa berdoa. Surah al-Insyirah sering menjadi amalan harian saya hingga sudah hafal. Ibu juga buat solat hajat khas untuk saya, alhamdulillah.

Vocket: Bagaimana pula penerimaan host atau mereka yang hanan baru kenal sewaktu travel bila tahu tentang penyakit Hanan, atau Hanan tak ceritakan kepada mereka?

Hanan: Saya tidak menceritakan tentang penyakit ini kepada host, tetapi pernah membincangkan tentang perkara ini bersama beberapa orang yang ada pengetahuan tentang psykologi. Ada yang menyatakan rasa bimbang kerana saya berseorangan. Namun saya yakin, kuasa Allah mengatasi segalanya.

Vocket: Bagaimana pula Hanan dapatkan duit atau cari duit semasa travel? Jika tak keberatan untuk berkongsi.

Hanan: Minggu pertama tiba di London, atas kecuaian sendiri saya kehilangan dompet yang mengandungi duit tunai, kad pengenalan, kad atm dan lesen memandu. Saya tidak dapat keluarkan duit yang sepatutnya jadi bekalan dan belanja kembara saya sehingga ke saat ini.

Kecuaian yang terjadi juga sebenarnya di akibatkan perubahan mood yang mendadak pada masa itu. Alhamdulillah salah seorang daripada 2 sahabat yang bersama saya ke London di awal pengembaraan sudi meninggalkan kad ATM beliau kepada saya untuk digunakan bagi membuat pembelian tiket bas dan tempahan hostel.

Di London saya bekerja secara sambilan. Pelbagai jenis pekerjaan saya lakukan secara freelance. Saya juga membuat kerja sambilan sebagai tourguide kepada traveler daripada Malaysia.

Selain tinggal di hostel saya juga mengembara dengan cara yang agak survivor dan tanpa modal yang besar iaitu hitchike, couchsurfing, volunteering dengan cara helpx dan menumpang di rumah orang tempatan.

Vocket: Setakat ini dah lebih 7 bulan Hanan travel sepenuh masa, apakah perubahan paling ketara yang Hanan rasai?

Hanan: Banyak perubahan yang saya lalui, tetapi kebanyakannya melibatkan spiritual dan keyakinan diri. Masalah insomnia juga semakin pulih. Maka betul lah kata orang travel itu universiti jalanan yang sebenar.

Bila saya travel secara solo, pergantungan saya sepenuhnya hanya kepada tuhan. Perancangan kita tak mampu menangani perancangan tuhan yang jauh lebih baik.

Setiap sakit, susah, payah dan penderitaan yang dilalui selama ini saya boleh lihat hikmahnya dengan jelas sepanjang pengembaraan. Saya lebih mendalami erti syukur, saya semakin temui diri yang selama ini hilang lost entah ke mana.

Saya belajar pelbagai ilmu termasuklah dari segi survival skill. Saya nampak hikmah di sebalik penyakit ini. Penyakit yang juga dianggap anugerah dalam penderitaan.

Ada masanya phase manic saya amat membantu. Salah satunya semasa melalui pengalaman di tahan imigresen di sempadan Calais untuk masuk semula ke London tempohari. Saya tiada return tiket dan disoal siasat hampir 3 jam dalam tahanan mereka. Alhamdulillah, kerana saya dalam phase manic saya dapat menjawab setiap soalan dengan lancar dan akhirnya mereka pula respect mendengar kisah pengembaraan saya sebagai female solo traveler dari negara Malaysia.

Tips saya mudah – tawakkal, yakin dan berdoalah. Sesungguhnya tuhan pemegang hati manusia-manusia ini. Jawablah setiap soalan dengan tenang, kita bukan penjenayah, apa yang harus ditakutkan?

Cuma jawablah mengikut logik dan buatlah kajian dahulu tentang undang-undang mereka. Jangan langgar secara membabi buta. InsyaAllah selamat.

Vocket: Dulu, sewaktu mula-mula nak travel, Hanan bermula dari negara mana? Dan Kemudiannya bergerak ke mana?

Hanan: Saya mulakan dari London dan sekitar United Kingdom, Scotland, Paris, Belgium Amsterdam, Germany kembali ke Amsterdam semula (kerana sakit, anxiety attack yang teruk semasa di Cologne Germany), Budhapest, Switzerland dan sekarang kembali ke UK.

Vocket: Pesanan buat pembaca Vocket. Mungkin ada antara mereka juga menghadapi masalah yang sama seperti Hanan.

Hanan: Buat masyarakat amnya, janganlah memandang remeh atau sinikal terhadap penyakit mental disorder. Jika tiada ilmu dan kesedaran tentang ini dikhuatiri ia membawa keburukan dalam hidup anda, orang tersayang atau ahli keluarga. Ambil tahu serba sedikit tentang mental disorder. Jangan terlalu meletakkan stigma negatif terhadap keseluruhan jenis disorder ini.

Sesungguhnya masyarakat di barat lebih terbuka tentang perkara sebegini. Bukan mahu menyanjung masyarakat barat, ianya realiti. Jauh di sudut hati saya sentiasa berdoa agar masyarakat kita juga akan lebih terbuka tentang isu ini.

Ia bukanlah perkara baru dalam dunia hari ini, ia masalah kita bersama. Kita tidak tahu siapa di antara kita yang sakit begini? Penyakit fizikal orang nampak jelas penderitaannya. Penyakit ini bagi saya ibarat seperti syurga dan neraka berada bersebelahan dalam otak, sekelip mata ia boleh bertukar.

Ianya satu penyiksaan yang tidak dapat digambarkan. Lillahi ia tak mudah untuk kami pesakit laluinya, ia bukan dibuat-buat. Bagi yang mudah melemparkan kata-kata kami pesakit bipolar adalah gila, belajarlah menjaga hati orang lain.

Orang gila itu yang makan sampah tepi jalan. Ramai di antara tokoh-tokoh hebat yang mempunyai penyakit ini. Antaranya Vincent Van Gough yang merupakan pelukis teragung di Eropah, Ernest Miller Hemingway yang merupakan seorang novelis, pengarang cerita pendek dan jurnalis Amerika, Carrie Fisher pelakon (membawa watak Princess Leiya dalam Star Wars) yang juga penulis buku dan tokoh yang paling berpengaruh dalam membuka minda masyarakat barat agar lebih terbuka tentang penyakit mental.

Menurut seorang pakar psykologi yang kebetulan saya temui di Amsterdam, beliau mengatakan pengasas Apple iaitu Steve jobs juga mempunyai bipolar disorder selain daripada menderita kanser.

Ada beberapa tokoh lain yang boleh anda Google di internet. Anda juga boleh tonton beberap filem berkaitan bipolar disorder. Antara yang terbaik adalah “Touched With Fire” “The Ghost & The Whale” “Repentance” “Silver Lining Playbooks” dan “Michael Clayton”.

Akhir sekali, bagi anda yang mempunyai kawan, keluarga, suami, isteri, anak atau siapa sekalipun yang anda ketahui ada penyakit bipolar disorder atau anxiety atau apa sahaja masalah mental seperti ini, berikanlah kasih sayang dan sokongan yang sepatutnya.

Sokongan daripada anda amatlah besar bagi pesakit seperti kami ini. Macam saya, saya amat bertuah kerana walaupun keluarga agak kurang faham tentang ini, tapi saya mempunyai seorang sahabat yang tidak pernah jemu mendengar dan membantu dari segi sokongan moral walaupun dari jauh.

Setiap kali saya mengalami depresi, saya akan hubungi beliau. Dia amat penyabar orangnya. Dia salah satu sumber kekuatan saya selain tuhan dan keluarga. Bagi pesakit lain, nasihat saya jangan pendam, luahkan pada tuhan, keluarga atau sahabat yang boleh dipercayai.

Jangan luah pada sebarang orang, kerana manusia ada bermacam jenis. Ada juga jenis yang sekadar ingin tahu, malahan dibelakang anda mereka ini menjadikan kekurangan dan masalah anda sebagai bahan atau topik kutukan pula.

Sentiasa buat istikharah, minta tuhan dorong kita ke arah sahabat yang baik. Bagi sahabat yang memahami keadaanku ini, sesungguhnya hanya tuhan yang akan membalas segala kebaikanmu. Amin.

Terima kasih Hanan atas perkongsian menarik di Vocket. Untuk pengetahuan, statistik menunjukkan 1 daripada 3 orang dewasa di negara ini mengidap masalah kesihatan mental. Melihat penderitaan yang dilalui oleh Hanan dan pesakit mental lain, sewajarnya kita menghulurkan sokongan dan bantuan tidak berbelah bagi buat mereka.

Malah tidak keterlaluan jika saya katakan, mereka ini juga mampu menyumbang dan memberi impak yang besar dalam pembangunan negara jika diberi peluang dan sokongan yang betul.

Baca lagi: Pemuda Ini Mahu Masyarakat Buang Stigma Terhadap OKU Mental