Sehingga kini sudah ramai traveller yang telah berjaya kami cungkil dan kongsikan di Vocket agar ia dapat dijadikan inspirasi buat anda. Kesemua mereka ini datang dari latar belakang berbeza dan telah terdorong untuk keluar mengembara dengan sebab yang berbeza.

Kali ini saya ingin bawa anda berkenalan dengan seorang lagi pengembara yang sudah hampir 3 bulan bermusafir di USA.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Menggunakan nama Zaid Traveler di akaun Facebook beliau, pemuda bernama Zaid Anuar ini baru saja berusia 30 tahun tetapi telah memiliki 5 orang anak dan juga telah mengembara ke 93 buah negara.

zaid-traveller-2

Bercakap tentang latar belakang dirinya, berikut penerangan Zaid;

“Pada peringkat awal saya belajar di sekolah pondok dari darjah 1 hingga 4, dari darjah 5 hingga SPM saya belajar di maahad tahfiz di Kelantan. Seterusnya saya sambung belajar peringkat sarjana muda dalam jurusan pengajian islam di Universiti Mu’tah Jordan.

Tentang kerjaya pula, saya menjalankan beberapa perniagaan secara sepenuh masa, antaranya menjual permainan kanak-kanak di gedung online Ebay” – Zaid.

Travel seawal usia 12 tahun

Menurut Zaid, beliau mulai travel seawal usia 12 tahun. Pada waktu itu Zaid tinggal di asrama di Kelantan. Setiap kali cuti sekolah beliau akan bercuti di rumah kawan-kawan yang berada di KL, Melaka dan lain-lain destinasi selama beberapa hari sebelum pulang ke rumah.

Pada usia 16 tahun pula, Zaid telah berpeluang melanjutkan pengajian di Jordan.

Saya pergi seorang diri ke sana. Walaupun keluarga agak keberatan untuk melepaskan saya ketika itu kerana faktor umur yang masih muda, tetapi saya berjaya menyakinkan mereka.  Alhamdulillah dari situ bermulalah episod pengembaraan saya menjelajah dunia sehingga ke hari ini – Zaid.

Ujar Zaid lagi, kebanyakan daripada kembara beliau adalah secara solo terutama sewaktu masih bujang dan belum berkahwin. Di masa-masa tertentu ada juga beliau travel dalam kumpulan bersama kawan-kawan dan travel berdua dengan isteri selepas berkahwin.

Dari segi negara kegemaran pula, Turki merupakan negara yang paling digemari oleh Zaid. Malahan negara ini umpama rumah ke 2 beliau dan paling kerap dikunjungi.

zaid-traveller-17
Travel ke Turki masa umur 17 tahun.

zaid-traveller-16

Ni gambar masa muda-muda dulu. Kembara solo pertama saya bermula ketika umur saya 17 tahun (2003), Masih baby face lagi. Huhu. Lokasi gambar : Jabal Qal’ah, Amman Jordan

zaid-traveller-5
Kenangan terawal masa mula-mula kami suami isteri keluar mengembara bersama.

Berkahwin di usia muda

Bertemu jodoh seawal berusia 21 tahun, menurut Zaid pada waktu itu beliau sudah 1 tahun tamat belajar manakala isteri pula masih berbaki 2 tahun pengajian.

Dalam tempoh 2 tahun menunggu isteri beliau menghabiskan pengajian, Zaid melakukan berbagai pekerjaan untuk menampung kos sara hidup yang tinggi di Jordan.

Antara kerja yang beliau pernah lakukan adalah menjadi pemandu pelancong, sebagai penterjemah, jual kain buatan Syria, menjaja satay serta  menjual kuih-muih dari rumah ke rumah pelajar Malaysia di Jordan. Ujar Zaid apa saja peluang buat duit secara halal pasti beliau akan ambil.

Bercakap tentang jodoh pula, suka untuk saya kongsikan sedikit pengalaman. Orang kata bila dah minat cepat-cepat masuk meminang, jangan couple lama-lama, bahaya!

Saya beranikan diri untuk bertemu dengan keluarga bakal isteri, bercakap face to face dengan ayahnya yang saya ingin mengahwini anaknya. Alhamdulillah Allah mudahkan segala urusan, selepas 2 bulan saya langsungkan akad nikah di Jordan – Zaid.

Tambah Zaid lagi, selepas berkahwin hobi travel beliau menjadi semakin rancak memandangkan isteri beliau juga seorang kaki travel. Berbagai negara mereka jejaki bersama, sama ada di negara-negara Timur Tengah mahupun negara di benua Eropah.

“Alhamdulillah syukur pada Allah atas sedikit rezeki yang diberi. Saya telah nikmati pengalaman yang unik selepas berkahwin. Bermula travel berdua dengan isteri, kemudian bertiga dengan anak, tambah lagi jadi berempat sampailah jadi bertujuh! Makin lama makin besar kenderaan diperlukan untuk travel. Hehe” – Zaid.

zaid-traveller-15

zaid-traveller-13
Sauna tradisional . Lokasi di Damascus Syria. Rasanya sauna ni dah kena bom kot sekarang.

Pengalaman manis

Berkongsi tentang pengalaman manis sewaktu mengembara yang paling diingati oleh Zaid, ujar beliau;

“Ada beberapa pengalaman paling manis sepanjang mengembara. Yang pertama, saya bertemu jodoh ketika mengembara. Pada masa itu saya menjadi ketua rombongan membawa pelajar junior melawat ke tempat-tempat bersejarah di sekitar Jordan. Dari situ saya mengenali isteri saya yang juga punya minat yang sama iaitu mengembara. Alhamdulillah.

Yang kedua pula, ketika saya mengembara ke Mersin iaitu di bahagian selatan Turki, pada masa itu umur saya 17 tahun, saya sesat tak jumpa jalan untuk pulang ke bandar.

Ditakdirkan saya bertemu dengan insan yang sangat baik bernama Osman Ferhat, walaupun kami berkomunikasi seperti ayam dan itik, dia melayan saya seperti sudah lama kenal, saya dibawa ke rumah beliau, dan saya duduk di situ selama 8 hari.

Sejak itu hubungan kami tidak putus. setiap kali ke Turki jika ada kelapangan saya pasti akan pergi ke rumahnya yang saya anggap seperti keluarga angkat. Saya juga banyak belajar bahasa Turki daripada mereka sekeluarga. Alhamdulillah” – Zaid.

zaid-traveller-14

zaid-traveller-8
Shalimar Bagh, Kashmir

Pengalaman pahit

Berkenaan pengalaman pahit yang pernah dilalui sepanjang mengembara, inilah yang telah dilalui oleh Zaid.

“Pengembaraan tak semuanya manis, ada kalanya pahit. Antara pengalaman cemas yang tidak dapat dilupakan, saya pernah ditahan 2 hari di lokap imigresen di negara Jordan, semuanya gara-gara batu karbala Syiah dan baju t-shirt Hizbullah Syiah.

Dipendekkan cerita. Semasa di Baalbek Lubnan yang merupakan kubu kuat Hizbullah, saya membeli 3 helai t-shirt untuk dibuat kenangan, maklumlah tentera Hizbullah masa tu baru lepas perang dengan Israel, jadi saya sangat teruja bila tengok t-shirt tu.

Kemudian saya menziarahi pula masjid Sayyidah Zaynab di Damascus Syria yang juga merupakan antara pusat utama syiah Iran. Bersepah sana sini longgokan batu-batu karbala yang digunakan syiah semasa solat. Saya ambil 4 biji batu Karbala untuk dijadikan kenangan kononnya.

Bila tiba di imigresen Jordan, menjadi satu prosedur biasa, beg galas saya telah diperiksa oleh pegawai kastam. Mereka keluarkan satu-persatu batu karbala dan tanya pada saya adakah saya seorang Syiah?

Saya kata tidak. Habis tu kenapa kamu bawa batu-batu ini? Kemudian mereka selongkar satu lagi beg terjumpa pula t-shirt Hizbullah. Habislah, ni dah kes parah ni.

Datang seorang lagi pegawai terus ambil paspot dan saya dibawa ke satu bilik untuk disoal siasat. Ingatkan dah habis, rupa-rupaya tidak! Agak mengejutkan saya, mereka bagitau terpaksa menahan saya untuk siasatan lanjut.

Lemah semangat rasa, hati terus teringat dekat kampung halaman. Macam-macam bermain dalam fikiran. Alhamdulillah Allah mudahkan segala urusan. 2 hari dalam tahanan rasa seperti 2 tahun lamanya. Hanya Allah saja yang tahu.

Selepas 2 hari saya pun bebas dan dibenarkan masuk ke Jordan. Impian saya untuk memiliki t-shirt Hizbullah akhirnya tercapai juga semasa lawatan ke Lubnan pada tahun 2012.

Tapi sekarang t-shirt tu dah jadi kain buruk. Jangan salah faham pula tau, saya bukan Syiah.

zaid-traveller-9

“Beginilah penganut mazhab syiah solat dengan seketul batu karbala dihadapan sebagai tempat meletakkan dahi ketika sujud. Foto : Masjid Sayyidah Zainab, Damascus Syria. Masjid dan makam ini 100% diuruskan oleh kerajaan Iran” – Zaid.

zaid-traveller-12

“Antara cabaran seorang pengembara. Ni cerita beberapa minggu lepas di pedalaman kampung bernama Westport.

Pada malam tersebut saya rancang untuk bermalam di stesen keretapi yang terletak kira-kira 4km dari tempat penginapan, kerana keretapi ke destinasi seterusnya akan bergerak pada jam 8 pagi. Selepas hampir 3km berjalan kaki dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk di bawah paras beku, saya tidak terdaya lagi untuk meneruskan perjalanan.

Diringkaskan cerita, saya mula mencari tempat untuk berteduh. Hanya ada sebuah rumah saja di situ. Selepas diketuk pintu beberapa kali, tiada orang yang menyahut. Mungkin sudah tidur atau keluar barangkali. Masa tu jam sudah 9:30pm.

Kemudian saya lihat ada sebuah pintu ke bahagian bawah rumah yang tidak berkunci. Saya mengambil keputusan untuk berteduh dan bermalam di situ saja.  Hanya beralaskan sejadah dan tuala. Agak menyeramkan juga suasana di bawah tu dengan keadaan yang sangat kelam. Memang sejuk menggigil juga tidur malam tu.

Sebagai langkah berjaga-jaga saya letakkan satu nota ringkas di beg. Ttakut juga tiba-tiba polis datang tangkap kan. Huhu notanya seperti berikut :

“Sorry, just wanna sleep here. Tomorrow I will leave. I’ve no place to go tonight. Outside is very cold. Please allow me just for a few hours. Really appreciate it. Thank you”

Keesokan paginya saya ingin berjumpa dengan tuan rumah untuk ucapkan terima kasih, malangnya masih tiada suara yang menyahut. Saya masih berhutang dengan tuan rumah tersebut, inshaAllah satu hari nanti saya akan kembali ke sana. Syukur ya rabb atas pertolonganmu”. — in Westport, New York.

Pengalaman lucu

Tiap kali mengembara juga pastinya ada pengalaman lucu. Tidak terkecuali dengan Zaid yang telah turut melaluinya. Ikuti catatan Zaid ini.

Antara pengalaman lucu yang paling saya ingat iaitu ketika mengembara di negara Eropah Timur. Pada ketika itu saya ingin mencari bilik air, ramai yang tak faham bila ditanya.

Dan akhirnya saya terpaksa keluarkan sebatang pen dan sehelai kertas, saya lukis sebuah jamban dan orang sedang kencing. Barulah mereka faham tempat yang ingin saya tuju. Nasib baik ‘sempat’.

zaid-traveller-4

zaid-traveller-11
Dah macam robot nampak, dalam baju sejuk, dibalut pula dengan baju hujan. — in Niagara Falls, Ontario.

Berkelana di USA dan Kanada

Sejak beberapa bulan lepas Zaid telah mengembara di USA dan Kanada secara solo dan sering berkongsi pengalaman serta pengamatan beliau tentang budaya dan kehidupan masyarakat di negara Uncle Sam ini.

Sebagai seorang yang sering mengikuti perkongsian beliau, saya turut tertanya-tanya apakah matlamat di sebalik permusafiran Zaid kali ini kerana ia mengambil tempoh yang lama.

Rupa-rupanya Zaid ke USA kerana sebab tertentu. Menurut Zaid, beliau ke USA untuk mencari peluang perniagaan sambil membuat kerja-kerja sambilan bila ada masa terluang, di samping melihat keindahan alam di benua Amerika Utara tersebut.

Perancangan saya sekiranya semua berjalan dengan lancar, saya ingin membawa isteri dan anak-anak berpindah ke Amerika untuk tempoh beberapa tahun’ inshaAllah – Zaid.

Perniagaan terjejas teruk

Tanpa berselindung, Zaid turut menjelaskan tentang latar belakang pekerjaan beliau. Menurut pemuda ini sejak 2 tahun lepas perniagaan beliau mengalami kerugian teruk sehingga terpaksa menutup syarikat.

Zaid kemudian beralih ke bidang baru dengan membuka restoran masakan Arab dan barat. Mungkin kerana cetek pengalaman, restoran beliau juga tidak mampu bertahan lama dan perlu ditutup.

Mengalami 2 kerugian berturut-turut bukanlah satu perkara yang mudah namun Zaid menerima segala yang berlaku dengan hati yang terbuka.

“Orang kata jangan takut untuk gagal. Saya terima dengan hati terbuka walaupun terpaksa membayar dengan harga yang sangat mahal. Mungkin Allah mahu supaya saya muhasabah diri semula. Saya redha” – Zaid.

zaid-traveller-6

New York City, Aku datang lagi! InshaAllah saya akan berkelana di bandar NY selama sebulan lebih mulai hari ini. Teringat masa mula-mula tiba di sini sekitar 2 bulan lepas, terasa kekok dan asing. Alhamdulillah kali ini saya rasa lebih yakin dan berinformasi untuk meneroka bandar metropolitan NY. Moga Allah permudahkan urusanku di sini. Amin.

Kenapa pilih travel ke USA dan Kanada

Ujar Zaid secara jujurnyabeliau merasakan semangat dan motivasi beliau jatuh teruk selepas mengalami beberapa kerugian dalam perniagaan. Disebabkan ini Zaid perlukan sesuatu yang baru dan lebih segar.

“Saya ambil keputusan berani dengan berhijrah ke negara Uncle Sam sesuai dengan jiwa saya yang cintakan dunia pengembaraan. Bagi saya rezeki ada di mana-mana, InshaAllah selagi kita berusaha, kita dapat mencapainya. Tiada istilah gagal dalam kamus hidup saya” – Zaid.

zaid-traveller-3

Rumahku syurgaku. Alhamdulillah. Jika tiada aral melintang, sebagian bilik kosong dalam rumah ini akan dijadikan bilik sewa Airbnb khas untuk travelers. InshaAllah moga dipermudahkan segalanya. Amin.

Pengalaman berharga sewaktu kembara di USA dan Kanada

Dapat berkenalan dengan ramai kawan, menerima layanan yang baik daripada kenalan baru meskipun berlainan agama dan bangsa, serta dilayan bagaikan keluarga membuatkan beliau gembira sewaktu mengembara di negara ini.

Dari segi pengajaran yang beliau temui pula, ujar Zaid orang Amerika kebanyakannya sangat tepati masa, bersikap terus terang dan pembersih.

“Ketiga-tiga perkara tersebut amat kurang diamalkan oleh masyarakat Malaysia termasuk diri saya sendiri” – Zaid.

Baca catatan Zaid: USA Tidaklah Hebat Mana. Tapi 4 Perkara Ini Buat Saya Kagum Dengan Rakyatnya

zaid-traveller-7

Jika di KL ramai yang merungut banyak tol, sama juga ceritanya di sini. Hampir 40 minit memandu saya dah lalu 5 tol berjumlah USD 5.8 dolar. Kalau dikira pergi balik jumlahnya dekat 12 dolar. Kalau sebulan hari-hari pergi kerja boleh kira sendiri berapa jumlahnya. Jam di sini pukul 06:30am. Berpagi-pagian mencari rezeki. New Jersey, USA.

Pesanan buat pembaca Vocket

1. Kita sebagai umat Islam, perkara terpenting yang perlu dijaga ketika mengembara ialah solat, kerana Islam itu sangat mudah. Walaupun tiada masjid, di atas tanah sekalipun kita boleh solat meskipun tiada air untuk berwudhuk kita boleh bertayammum. Bila kita jaga solat, inshaAllah pengembaraan kita akan menjadi lebih hebat dan bertambah berkat.

2. Usah takut untuk keluar mengembara, jika tidak mampu ke destinasi yang jauh, mulakan ke destinasi yang terdekat yang ada di sekeliling kita dulu. Pendek kata mulakan dengan apa yang anda rasa mampu. Sekali mula melangkah inshaAllah langkah seterusnya akan menjadi lebih mudah.

3. Jangan ditunggu sehingga kaya baru nak mula mengembara kerana ramai juga orang kaya yang tak mampu nak pergi keluar mengembara.

4. Akhir sekali pesanan ikhlas dari saya buat pembaca The Vocket, jangan tamak dalam mengembara. Akibat nak kejar seberapa banyak negara tercicir satu permata di belakang.

7 hari lawatan di Turki lebih baik berbanding 7 hari lawatan di 7 negara berbeza secara touch & go. Walau dengan cara apa sekalipun kita keluar mengembara sama ada secara backpacker, road trip ataupun rombongan Cik Kiah, yang terpenting pengajaran yang dapat kita pelajari dalam pengembaraan tersebut.

zaid-traveller-1

Bila dekat luar negara lalang tepi jalan pun nampak cantik, laju je jari ni tekan butang kamera. Bila di negara sendiri lalu tepi buat tak tahu je, tapi bila tengok gambar mat salleh posing tepi Sungai Klang cantik je nampak. Saya pun terjebak sama, nampak lalang liar ni pun nak ambil gambar.

Begitulah lumrah manusia yang kadang-kadang tidak menghargai apa yang ada di depan mata, tetapi sering mengidamkan apa yang tiada. Sempena bulan Ramadan Al-mubarak, bulan tarbiah diri, sama-sama kita latih diri untuk lebih bersyukur dengan setiap nikmat yang diberi. Mudah-mudahan hidup akan lebih diberkati ilahi. Amin.

Buat Zaid, terima kasih atas perkongsian kisah anda kali ini. Saya dan team Vocket mendoakan agar urusan Zaid dipermudahkan dan kembali berjaya membina empayar perniagaan anda.

Andai hijrah itu mampu mengubah diri ke arah kebaikan, maka berhijrahlah. Dan kembali lah semula ke tanahair apabila tiba masanya. Malaysia masih memerlukan Zaid dan mereka yang bersemangat waja untuk membangunkan ekonomi dan kesejahteraan negara ini.

Baca lagi: Berhenti Kerja Dan Jual Semua Harta, Mazlan Tekad Keluar Mengembara Sejak 3 Tahun Lepas