Kelmarin isteri saya secara rasmi dianugerahkan PhD dalam bidang Pengajian Islam pengkhususan tafsir dari Universiti Malaya.

Jika hendak dijadikan alasan, hati kecil saya akan berkata, “padanlah, dia anak pensyarah. Ibu bapanya juga punya PhD berpuluh tahun lalu. Aku pula sebaliknya. Dengan adanya degree sudah cukup berjaya.” Namun itu hanya alasan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Melihat sudut ‘jiwa besar’ pula. Hebatnya dia, belajar sambil menjaga anak sepenuh masa daripada Aisyah berusia 3 bulan sehingga Aisyah berusia 6 tahun.

Ditambah dengan kelahiran Yusuf, Ibrahim dan Asma’. Hanya Aisyah sahaja sempat dijaga orang beberapa bulan kerana ketika itu isteri diwajibkan mengajar sebagai tutor di Jabatan Al Quran dan Hadis, University Malaya. Selebihnya semua anak dijaga sendiri.

Kemudian hidup berpindah randah daripada Kg Kerinchi ke Jalan Gasing ke Melaka, ke Mesir (lakukan kajian) dan berakhir di Shah Alam.

Jika ditanya kawan-kawan, “belajar sepenuh masa kah?” Ya. Sepenuh masa. Tetapi bukan sepenuh masa di universiti. Kerana banyak masanya di rumah.

Kemudian apabila penyelianya Prof Dr Mustaffa Abdullah cadangkan supaya anak semua dijaga orang. Ya. Memang saya mahukan dijaga orang dan adapun orang yang sedia menjaganya dengan bayaran yang tidak tinggi.

Tetapi isteri tetap tidak bersetuju kerana sambil siapkan PhD, dia juga mahu besarkan anak di tangannya. Tak mengapalah lewat sedikit habis, tetapi masa emas dengan anak-anak tidak mahu dilepaskan.

Kata dia anak-anak ini sewaktu kecil sahaja milik kita. Sudah menengah nanti tinggal di asrama, kemudian masuk universiti. Selepas tamat belajar, bekerja dan berkahwin pula.

Baca: Bagaimana Ibu Saya Berjaya Siapkan PhD Daripada Hasil Kami Berniaga Ikan Di UK

inspirasi-phd-isteri-2

Dalam tempoh itu sekali-sekala sahaja dapat jumpa anak-anak kerana masa itu dikongsi dengan sekolah, tempat kerja dan keluarga baru. Di waktu kecil inilah masanya untuk bersama. Itulah yang diulang-ulangnya. Wallahu’alam. Itu mazhabnya.

Kadang-kadang ada kawan atau ahli keluarga tegur, “Mira. Kenapa kurus sangat ni. Tak sihat kah?” Bila soalan itu terdengar, saya pula yang terasa. Bimbang dikatakan tidak beri makan secukupnya.

Sebenarnya makan minum cukup. Tetapi makanan isteri saya sepanjang perjalanan PhDnya adalah buku. Makan apabila terlalu lapar sahaja. Ketika makan ingatkan buku, berkereta pun fikirkan buku.

Maknanya dia kenyang dengan buku sehingga makannya pun tidak terurus. Selagi sesuatu perkara belum diselesaikan, makanan di depan mata pun seperti tidak kelihatan.

Siang hari uruskan anak-anak. Malam selepas semua anak-anak tidur, barulah dia mulakan penulisan tesisnya. Biasa diantara pukul 12 malam sehingga azan subuh adalah waktu dia menulis tesis.

Di semester akhir, biasa sahaja dia menaip selama 7 hingga 8 jam sehari. Tekun, tabah dan sabar dalam usahanya.

Ketika saya ditugaskan ke Melaka, dia pun ikut ke Melaka dan sepenuh masa membantu saya. Walaupun bukanlah keperluan mendesak untuk beliau membantu, tetapi itulah pengorbanannya.

Kemudian baru memasuki tahun ketiga pengajiannya, biasiswa beliau dihentikan. Maka tahun-tahun berikutnya kami terpaksa membayar sendiri yuran dan kos-kos berkaitan.

Banyak jika hendak diceritakan pengorbanannya sepanjang perjalanan pengajian beliau. Kajian beliau berkait dengan ‘Tafsir Al Maraghi’ karya Sheikh Ahmad Mustafa Al Maraghi, seorang mufassir aliran Islah sealiran dengan Muhammad Abduh dan Rashid Redha.

Ia bukan pengakhiran, tetapi pemulaan kepada ‘kembara ilmu’ untuk meneruskan penggalian dan perkembangan khazanah ilmu dan permulaan kepada usaha pencerahan kepada masyarakat yang dahagakan ilmu.

Apapun pengorbanan dan kejayaan isteri adalah inpirasi kepada saya. Begitu juga kawan-kawannya yang ada di antaranya anak kepada pemungut besi buruk yang selalu dihina orang tetapi berjaya dengan cemerlang iaitu Dr Nurulhuda Ahmad Zaki, juga kawan-kawan yang lain.

Tiada yang mustahil. Aku anak penoreh getah. Bapaku bersekolah sehingga tingkatan 3. Emakku bersekolah sehingga darjah 5. Tetapi keduanya tidak izinkan aku berhenti sehingga ke takat ini.

Mereka membesar di tahun 40 ke 50-an dengan cita cita yang tinggi, tetapi terhalang kerana kemiskinan. Tiada alasan lagi untuk kami gapai cita-citanya.

Kembali ke mula cerita. Isteriku menerima tawaran menyambung pengajian ke peringkat PhD ketika kami di Damsyik, Syria ketika baru 8 bulan mengembara.

Atas kecemerlangan beliau di peringkat degree, beliau ditawarkan terus PhD tanpa perlu siapkan master. Mengambil peluang itu, kami menangguhkan pengembaraan itu sehinggalah beliau tamat November tahun lepas dan hari ini selepas beliau tamat, izinkan kami menyambung pengembaraan ini.

Wallahu’alam.
Preston. Victoria

Baca lagi: Onak Dan Duri Demi Menggenggam PhD. Tanpa Linangan Air Mata Bukan PhD Namanya