Instagram kini telah mengumumkan ciri yang baharu pada aplikasi tersebut dalam usaha untuk menceburi bidang perniagaan sepenuhnya dengan memperkenalkan ciri “checkout” untuk pengguna yang suka membeli barang atas talian. Dengan adanya ciri terbaru ini, anda boleh menyimpan maklumat pembayaran anda di Instagram untuk membuat pembelian dengan lebih pantas.

Lebih daripada 20 jenama yang akan menggunakan ciri checkout untuk membolehkan pembelian ke atas jenama mereka antaranya Nike, Adidas, Dior, H&M, MAC Cosmetics, Michael Kors, Oscar de la Renta, Prada, Uniqlo, Warbry Parker dan Zara. Sebagai balasan menjadi antara jenama yang awal menggunakan ciri ini, Instagram tidak mengenakan yuran jualan kepada mereka.

Insta Checkout 2

Antara item yang layak untuk check-in dalam aplikasi Instagram, ianya akan mempunyai butang “Checkout on Instagram” berwarna biru di bawahnya. Anda hanya perlu menekan butang tersebut dan anda akan diminta untuk memberikan alamat emel anda supaya penjual boleh melengkapkan pesanan anda.

Setelah anda selesai memasukkan segala maklumat penghantaran dan kaedah pembayaranya, anda diminta untuk menyemak terlebih dahulu butiran tersebut dan anda terus boleh membuat pembelian anda menerusi Instagram.

Ciri baharu ini juga bertujuan untuk mewujudkan perniagaan baru yang besar untuk syarikat induk Facebook, di mana baru-baru ini mereka telah memberi isyarat bahawa syarikat tersebut mengharapkan ciri perdagangan dan pembayaran yang baharu untuk masa depan syarikat. Buat masa ini, maklumat pembayaran yang disimpan dengan Facebook hanya akan digunakan di Instagram.