Sebelum ini mereka mungkin sibuk melayan kerenah penjahat-penjahat seperti Thanos di Amerika Syarikat, namun sejak bermulanya COVID-19 musuh mereka nampaknya bukan lagi watak-watak jahat rekaan Marvel Universe.

Sebaliknya, sesuai dengan peranan mereka sebagai adiwira pujaan ramai seorang ‘Iron Man’ tampil membuat kemunculan di Sabah bagi membantu ‘mempertahankan’ negara kita dari serangan virus membunuh itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bagaimanapun, Iron Man tersebut atau nama sebenarnya Yohan Charles Jayasuriya kali ini tidak membawa senjata canggih milik Stark Industries tetapi membawa bekalan makanan bagi membantu mereka yang berada dalam kesusahan dalam tempoh PKP ketika ini.

Menurut Harian Metro, Yohan yang berusia 42 tahun memutuskan untuk memakai sut Iron Man ketika membuat agihan bantuan makanan di Sabah pada semalam selepas mendapat cadangan dari  seorang ahli kumpulan alumni Sekolah Menengah St Michael Penampang.

“Walaupun bukan mudah memandu dan berpanas dalam sut Iron Man, saya rasa berbaloi dan puas bila tengok senyuman penerima bantuan.

“Malah, naluri kebapaan saya tersentuh sampai mengalir air mata, bila seorang kanak-kanak mengucapkan terima kasih Iron Man,” katanya.

Mengulas mengenai sut adiwira yang dimilikinya itu, Yohan berkata dia sebenarnya memiliki dua lagi sut yang berlainan.

Namun sut yang dipakai ketika mengagihkan bantuan semalam adalah yang paling ringan dan sesuai untuk dipakai ketika memandu.

“Saya ada tiga sut Iron Man, tapi hanya ini sesuai dipakai untuk memandu kerana beratnya cuma enam kilogram dan lembut sikit.

“Sut ini dihasilkan saya bersama sifu saya di Filipina yang mana kami menggunakan craft foam sebagai bahan asas.

“Memang satu cabaran memandu menggunakan sut ini dan sudah pasti berpeluh-peluh, tetapi semua kepayahan dan rasa sengal pada badan saya itu hilang apabila tengok penerima gembira dan terhibur dengan kemunculan Iron Man,” katanya kepada Harian Metro.

Menjelaskan lanjut mengenai cara uniknya mengenakan sut adiwira kegemaran ramai itu, Charles berkata kenapa tidak jika ia boleh membahagiakan penerima bantuan terutamanya kanak-kanak.

“Kami masing-masing ada peranan sendiri dan saya berbesar hati menyumbang tenaga untuk menghantar dan mengagihkan bantuan kepada bekas rakan sekolah yang terpilih di sekitar Penampang.

“Saya terfikir kenapa tidak saya gunakan koleksi sut Iron Man saya untuk menceriakan lagi hari penerima terutama kanak-kanak yang mungkin ketika ini bosan duduk rumah.

“Jika sesiapa mengenali saya, mereka pasti tahu inilah cara saya sejak dulu lagi dalam membawa keceriaan kepada orang lain bukan untuk meraih pengikut ramai jauh sekali populariti,” jelasnya.

Masyarakat kita memang terkenal dengan sikap pemurah mereka terutama ketika berada dalam situasi PKP ketika ini dan boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja pihak yang tampil ingin menghulurkan bantuan.

Antara yang tidak ketinggalan menghulurkan bantuan sebelum ini adalah penyampai radio, Radin yang ‘melelong’ koleksi kasut miliknya bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan PKP. Klik pautan di bawah untuk membaca dengan lebih lanjut. 

Radin Mahu Lelong Yeezy Untuk Kutip Dana Bantu ‘Frontliners’ Dan Insan Yang Memerlukan

Netizen Terharu Petronas Sumbang RM20 Juta Untuk Hadapi COVID-19

Terperangkap Dengan PKP, Jurutera Dari Rusia Ini Ditinggalkan Bersendirian Di Temerloh