Pada jam kira-kira 9.33 pagi semalam seorang penunggang motosikal nyaris maut dihempap sebuah lori simen yang terbalik, dipercayai selepas terbabas ddi Persiaran Pulau Lumut, Alam Budiman, Seksyen U10, pagi semalam.

Menerusi video berdurasi 14 saat yang tular di media sosial itu, mangsa dilihat sempat mengelak dan hanya terkena ‘sedikit’ bahagian belakang lori terbabit. Bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Dalam satu perkongsian Facebook Noor Nazrah, dia berasa sangat bersyukur apabila mengetahui suaminya terselamat dalam kejadian yang hampir meragut nyawa.

“Yang bawa motor tu suami saya. Alhamdulillah Allah Maha Baik. Allah bagi peluang pada kami semua. Lemah semangat tengok video ini. Terus panas badan macam nak demam.

“Hargailah orang yang kita sayang. Sebab cinta di dunia sekejap sangat sebenarnya. Terima kasih pada Allah bagi peluang untuk kami perbaiki diri,” petik perkongsian Noor Nazrah.

Memetik kenyataan rasmi Ketua Balai Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian kemalangan terbabit. Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menerima satu laporan kemalangan jalan raya di Persiaran Pulau Lumut membabitkan sebuah lori dan sebuah motosikal kira-kira jam 11.17 pagi.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori membawa muatan simen sedang bergerak masuk susur sebelah kiri dari arah Persiaran Mokhtar Dahari hilang kawalan dan terbabas masuk ke haluan bertentangan disebabkan keadaan jalan susur yang sedikit menurun.

“Akibat kejadian ini, lori terbabit terbalik dan bahagian belakang lori terkena sebuah motosikal yang sedang bergerak lurus dari arah bertentangan,” katanya.

Bagaimanapun kedua-dua mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami kecederaan luka di bahagian anggota badan dan menerima rawatan di hospital terdekat.

“Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59. Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat BSPT IPD Shah Alam, Sarjan Mohd Riduwan Hamidi di talian 011-26928229,” katanya.

Sumber