Hari ini saya terbaca muka depan di sebuah akhbar tempatan di mana seorang menteri membidas dan persoalkan kenyataan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung. Bagi pandangan saya, dakwaan Presiden Persatuan bahawa syarat yang dikenakan adalah mengikut SOP antarabangsa jelas amat mengarut.

MENGAPA?

Sebab saya BERHIJAB ketika bekerja di salah satu hotel bertaraf 5 bintang di Singapura. YA,SAYA BERHIJAB DI KOTA ASING. Pelik tapi benar. Tetapi itulah hakikatnya. Bukan saya sahaja, malah ada rakan saya juga menjalani culinary training program di US juga bebas berhijab.

ANTARA PILIHAN DAN PEGANGAN

Saya menceburi bidang perhotelan sejak berusia 16 tahun kerana selalu melihat abang kandung yang ketika itu bertugas sebagai Supervisor di bahagian coffee house. Untuk pengetahuan, saya dibesarkan dalam suasana yang menekankan aspek keagamaan yang tinggi dan agak konservatif.

Maka, bidang pekerjaan yang dipilih oleh abang saya sentiasa mencetuskan pertikaian di kalangan keluarga. Justeru apabila saya memilih kerja sambilan di bidang yang sama, ia turut mengundang kontrovesi.

Saya bekerja di bahagian banquet dan dugaan bermula sebaik saja saya bekerja. Walaupun ketika itu tidak bertudung, agak janggal apabila staff terus bekerja tanpa mengendahkan waktu solat. Kebanyakan acara bermula maghrib dan selesai selepas isya’, saya sendiri pernah dimaki kerana hilang sekejap untuk menunaikan kewajipan.

Hal ini menyebabkan saya adakala diberi pilihan sama ada bekerja atau balik. Ini juga menyebabkan saya sentiasa dimarahi kerana menimbulkan pelbagai soalan yang pada mereka adalah lebih baik menjaga susun atur perjalanan acara berbanding menjalankan tanggungjawab hakiki kita sebagai Islam. Boleh anda bayangkan?

Tapi Alhamdulillah, sepanjang saya bekerja belum pernah lagi diarah pulang kerana saya bertegas walaupun waktu agak terhad, saya tetap dengan pendirian saya. Selain itu, saya juga sering mempertikaikan tentang hidangan arak kepada tetamu.

Bagi pihak atasan, saya antara staff yang rebel dan sensitif. Persoalan saya, adakah saya terlalu rigid apabila melihat benda-benda yang terang-terangan jelas pada hukumnya?

hotel-3

Apabila terlalu lama bekerja, akhirnya minat itu datang menyebabkan saya ingin mengetahui lebih mendalam lagi dalam bidang ini. Ketika berusia 18 tahun, saya menghantar permohonan untuk menyertai satu latihan jangka pendek bagi melayakkan diri sebagai butler.

Memandangkan saya ada pengalaman bekerja yang agak lama, makanya pihak pengurusan memahami perkara berkaitan sensitiviti. Apabila melibatkan penyediaan arak serta bahan yang tidak halal, pihak pengurusan memberikan seorang rakan sekerja non muslim khas bagi menggantikan saya. Ketika itu, saya bersyukur hal itu seperti mula dititikberatkan.

Mungkin ada yang mempertikaikan kenapa jalan ini yang dipilih walaupun saya tetap dengan ijtihad saya. Dari pandangan saya, bergelar hotelier bukan sekadar anda melayan atau menghidang. Malah ianya lebih daripada itu.

Bekerja di sektor perhotelan membantu saya lebih yakin serta sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Anda perlu berketerampilan kemas sentiasa. Beretika serta sopan kerana anda bergerak sebagai duta kecil di dalam sesebuah organisasi hotel.

Apa yang saya pelajari di universiti, bidang perhotelan adalah satu jurusan yang menekankan keseluruhan aspek. Anda perlu berpengetahuan dalam setiap perkara, menjangkaui jangkaan seperti menu yang sesuai untuk vegetarian, makanan yang mempunyai alergik dan sebagainya.

Anda juga perlu alert sekiranya pelawat meminta sesuatu yang di luar daripada apa yang mampu ditawarkan oleh pihak hotel. Selain itu, di dalam subjek perhotelan juga anda boleh mempelajari mengapa dan kenapa di sebalik struktur rekacipta serta konsep yang cuba diketengahkan oleh sesuatu hotel.

Sebagai contoh, tahukah anda Sheraton, The Westin, St Regis, W Hotel, Aloft sebenarnya berada di bawah satu pengurusan yang sama iaitu Starwood Hotel and Resorts?

Ini secara langsung membuka peluang kepada sesiapa yang ingin mencuba suasana baru. Mereka boleh memohon untuk bertukar ke hotel lain di bawah pengurusan yang sama. Ini adalah satu keistimewaan kepada mereka yang berada di dalam bidang ini. Lebih manis sekiranya anda berpeluang menyertai opening team.

Hal dan isu bertudung ini sudah lama berlaku. Seorang rakan saya pernah mempertikaikan apabila permohonannya untuk menjalani latihan amali, beliau diarah membuka tudung waima dalam bidang pengurusan meskipun tidak nampak di mana relevannya.

Adakah apabila berhijab, maka pemikiran juga ditutup sekali? Selepas saya bergraduasi, hanya 4 dari rakan sekuliah yang benar-benar meneruskan perjuangan di dalam bidang pengurusan hotel serta kulinari.

Selebihnya? Sama ada bertukar angin atau terus melanjutkan pengajian dalam bidang Master untuk melayakkan diri sebagai Pensyarah. Rata-rata yang saya bertanya menjawab  YA,BERHIJAB ADALAH ISUNYA.

KENAPA HAL INI SEHARUSNYA BERLAKU?

Apa relevannya bidang pengurusan ditawarkan kepada pelajar bertudung tetapi akhirnya kami terpaksa beralih ke bidang lain?

Natijahnya, ramai yang terpaksa akur rezeki mereka di tempat lain. Sijil mereka? Mungkin gah untuk tatapan sahaja tanpa dapat mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam bidang pekerjaan sebenar.

Hal ini pernah dibangkit di sekitar tahun 2006 apabila seorang pengarah akaun diarah berhenti kerja kerana bertudung. Justeru, apabila isu ini timbul semula saya bersyukur masih ada pihak yang mempertahankan pegangan serta pilihan untuk graduan seperti kami mengembangkan kerjaya di dalam bidang yang mempunyai prospek tinggi ini.

Kementerian haruslah menelusuri dasar serta memandang isu ini dengan serius agar tiada lambakan graduan dalam bidang pengurusan perhotelan hingga kami terkapai-kapai tanpa hala tuju. Sedangkan hakikatnya mereka mempunyai misi dan minat ke arah itu.

Pihak yang berkenaan harus sedar, imej bertudung bukan lagi imej kolot malah ini satu keunikan yang ada bagi negara yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi.

Selain mempromosikan makanan halal, berpakaian sopan dan moden serta ciri-ciri Islam yang ada menambahkan keunikan serta menjadi imej yang lain di mata pelancong luar yang datang ke negara ini.

Pemikiran bahawa berpakaian ketat, skirt pendek serta mekap yang tebal untuk grooming haruslah diubah sepertimana konsep Islam Hadhari yang pernah diterapkan oleh bekas Perdana Menteri kita, Tun Dato’ Sri Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi.

Sekian.