Orang kita, asal sebut babi sudah tentu berundur terus. Punya takut dan geli geleman memikirkan binatang haram tersebut jika ada dalam makanan kita semua.

Baru-baru ini, nyata kita semua terkejut apabila ada beberapa laman web viral menulis dengan tajuk “Kedai Pretzel ditarik balik Halal Jakim kerana Pretzel Dog”.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Lalu kita semua main-mainkan, wayang-wayangkan dalam bentuk ayat perli, maki-maki serta menuduh Jakim terlalu sensitive dalam hal-hal nama yang sepatutnya tidak menjadi isu tentang halal-haram sesuatu makanan.

Begini kawan-kawan,

1. Kedai Pretzel Malaysia mula bertapak di negara kita bermula tahun 1996, dengan menggunakan lesen francais dari Amerika Syarikat, syarikat ini terus teguh melalui satu syarikat sdn bhd yang sememangnya mempelopori hidangan snek pretzel sihat kepada para pelanggan. Sehingga hari ini mereka telah pun mempunyai lebih 45 outlet di seluruh negara.

2. Selama bertapak di Malaysia sepanjang 20 tahun, mereka menjual Pretzel, Pretzel Dog dan Pretzel Stick serta beberapa jenis minuman. Hampir kesemua outlet menyediakan pretzel yang dibina dengan menonjolkan bagaimana pretzel dibuat kepada umum.

3. Persijilan halal pula mula dikuatkuasakan pada tahun 1974, kemudian berlaku beberapa perpindahan kuasa untuk memberi sijil halal dari Jakim kepada beberapa badan, yang kemudiannya sekarang kembali kepada Jakim. Difahamkan sebelum berlaku perpindahan, Jakim (Bahagian Hub Halal) mempunyai sekadar 180 kakitangan sahaja untuk mengurus selia permohonan persijilan halal seluruh negara.

4. Pada 18hb Oktober, Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Halal, Jakim telah mengeluarkan kenyataan yang mereka tidak pernah mengeluarkan ‘fatwa’ haram kepada premis makanan ini.
Link: Facebook.com/HabHalalJakim

5. Mereka memaklumkan, selama ini belum ada lagi outlet Kedai Pretzel yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Dengan kata lain, ada beberapa kemungkinan, ia mungkin di dalam proses atau memang tidak pernah dimohon sijil halalnya.

6. Kedai Pretzel difahamkan pernah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia sebelum ini, namum ia tidak dapat diproses atas beberapa isu teknikal seperti dokumen sokongan bahan ramuan. Dengan kata lain, ia dihantar tanpa lengkapkan dokumen. Seperti biasa, memang tidak dapat diproses.

7. Namun selepas beberapa penambahbaikan dilakukan, kini status produk makanan Kedai Pretzel adalah dalam proses permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan telah memasuki fasa proses audit halal bagi Central Kitchen (Dapur Berpusat).

8. Proses pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah mengambil kira setiap ramuan dan proses yang berkaitan di dalam pengeluaran sesuatu produk dengan teliti oleh pakar Syariah dan juga Teknologi makanan.

9. Laman Facebook Bahagian Hab Halal Jakim kemudiannya memuat naik status pada 19hb Oktober 2016 dengan ayat:

Dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia(MPPHM) ada dinyatakan, antara permohonan yang tidak layak memohon pensijilan halal adalah:

“…produk yang menggunakan nama atau nama yang sinonim dengan produk tidak halal atau istilah yang mengelirukan seperti ham, bak kut teh, bacon, beer, rum, charsiew, dan seumpama dengannya”

Ini menguat lagi dakwaan netizen dengan mengatakan perkataan Pretzel Dog di dalam menu Kedai Pretzel merupakan salah satu penyebab mengapa proses sijil pengesahan halal ini mengambil masa.

10. Jadi, tidak ada kenyataan Jakim mengenai Kedai Pretzel ini haram dimakan. Ia lebih kepada kenyataan proses persijilannya sahaja.

kedai-pretzel-2

Kawan-kawan yang baik,
Ini Malaysia. Masa saya kecil lagi, kami tak biasa nak sebut hotdog. Memang terasa pelik. Jadi emak akan sebut sosej. “kau nak makan roti sosej?” ha begitulah.

Perkataan memang nampak biasa. Cuma, inilah negara kita. Jakim telah bina polisi begitu pada tahun 1974 lagi. Dan polisi ini mesti diguna pakai oleh sesiapa pun yang mahu memohon Sijil Pengesahan Halal dari Jakim.

Betul, tidak ada sesiapa yang mewartakan wajib kepada mana-mana premis yang berniaga makanan atau minuman untuk memaparkan Sijil Halal mereka, cumanya sebagai anak Malaysia, logo halal yang terpampang di pintu kedai tersebut menjadi salah satu sebab kita boleh masuk dan makan dengan mudah.

Kadang-kadang, kita terlalu sensitive sehingga menyusahkan orang lain. Jakim sendiri, perlu lebih aktif dalam memberi kefahaman untuk membuat permohonan halal.

Manakala semua premis perniagaan yang memasuki negara, juga perlu ambil tahu dan peka setiap jenis menu supaya tidak berlanggar dengan mana-mana perkataan sensitive yang boleh menyebabkan kedai anda viral atau diburuk-burukkan dengan mudah.

Dalam hal ini, saya tidak menyalahkan Jakim seratus peratus. Ia sangat bagus apabila polisi kalian digunakan sebaiknya. Apabila sudah diwartakan sebarang polisi yang dibuat, adalah sangat bagus apabila semua kakitangan mengikut dan menggunakan polisi tersebut dengan sebaik-baiknya. Itu jatidiri yang sangat saya hormat. Tahniah Jakim.

Juga saya tidak salahkan Kedai Pretzel, cumanya kalian sudah bertapak 20 tahun di negara kami. Maka adalah lebih baik kalian membuat kajian sebaik-baiknya dalam menjana kewangan apabila menjual pretzel dengan beberapa menu yang kalian telah pun adakan. Jika perlu tukar kepada Pretzel Sosej, ia nampaknya lebih cantik. Jika kalian tidak bersetuju, itu hak kalian. Tidak ada siapa yang akan marah-marah.

Sebagai orang awam, saya harapkan kita semua dapat belajar dalam hal-hal begini. Zaman saya, ramen itu haram, ham itu haram, bak kut teh itu haram, beer itu haram. Kebimbangan saya adalah kita menghalalkan perkara haram dengan mengekalkan nama namun mengisi ramuan dengan bahan-bahan halal.

Sehingga satu hari nanti kita sendiri keliru yang mana halal yang mana haram. Jadi perkara terbaik, yang halal kekalkan dengan nama dan ramuan halal. Yang haram, biarkan mereka haram.

Bab hotdog dan pretzel dog yang hanya pada namanya sahaja ada dog-dog ini, saya fikir sebagai anak Malaysia, kita kekalkan dengan penggunaan sosej. Ia lebih manis dan lebih menambah selera untuk dimakan. Ya kawan, saya anak kampung dan masih kolot dengan nama sebegitu.

Kedai Pretzel mendapat kredit besar dalam hal ini. Dari manusia yang tidak tahu tentang mereka, kini seantero Malaysia mahu mencari apa yang mereka hidangkan. Entah-entah jualan mereka naik berpuluh kali ganda. He he he. Marketing percuma memang sebegitu. Viral akan memberi impak sama ada ia baik atau buruk.

Apa pun, mencaci maki Jakim tidak menjadikan kita lebih pandai dari mereka dalam hal-hal menetapkan persijilan halal kepada mana-mana premis atau makanan.

Jika kita yakin mereka menyediakan makanan halal, makan (walau tidak ada sijil halal). Jika tidak, duduklah jauh-jauh dan carilah nasi lemak yang sahih halalnya walau tidak dijual oleh anak-anak dara (dan sahih juga tidak ada sijil halal).

Khairul Hakimin Muhammad,
Semoga kita semua halal-halal sahaja.