Madagascar – cara saya move it move it!

Kita mengembara bukan untuk melenyapkan diri dari kehidupan, tapi supaya kehidupan tidak lenyap dari kita (Anonymous).

Kembara ke Madagascar adalah suatu yang jarang dibuat rakyat Malaysia, namun saya nekad mahu menjejakinya. Ia sebenarnya plan B, kerana tertipu oleh Air Astana yang mana rancangan asalnya adalah untuk ke Kyrgysztan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kami membeli tiket Air Mauritius 3 bulan sebelum perjalanan. Tujuan utama adalah ke Madagascar, namun waktu penerbangan membenarkan kami transit semalaman di Mauritius. Bagus juga keputusan bermusafir bulan mei-jun kerana ia musim kering dan musim dingin yang selesa.

Disebabkan dana pengembaraan saya banyak lagi dengan penjimatan yang dibuat pada pengembaraan lepas, negara pun unik dan berpeluang musafir sebelum berpuasa, maka saya dan 4 orang sahabat buat keputusan untuk pergi sahaja.

bercuti-di-madagaskar-2

bercuti-di-madagaskar-1

Antananarivo atau “Tanah Nan Seribu” adalah ibu negara Madagascar yang terletak di tanah tinggi. Kaum Merina adalah etnik utama di tanah tinggi ini, nenek moyang berasal dari Nusantara. Senibinanya dipengaruhi Perancis. Ia adalah gateway to everywhere beautiful.

1. PENERBANGAN

Perlu diingatkan kembara ke Madagascar tidaklah murah, ia lebih mahal daripada kembara Eropah. Bukanlah Madagascar itu yang mahal tetapi penerbangan ke sana yang mahal.

Namun setelah dibuat survey, harga kami sedikit murah daripada yang biasa. Tambang penerbangan pergi balik Air Mauritius dari Kuala Lumpur ke Mauritius, kemudian ke Antananarivo, Madagascar adalah lebih kurang RM3000+. Biasanya nak dekat 5 ribu. Jadi oklah, nak pergi tempat rare punya pasal.

2. PENGINAPAN

Penginapan adalah hotel 3-5 bintang. Tempahan dibuat melalui email sahaja, tidak perlu apa-apa deposit kerana mereka tiada perkhidmatan debit, money transfer ataupun penggunaan kad kredit.

Ini adalah amat senang bagi kami kerana cash-at-counter sahaja. Hotel mengikut cadangan dan review di internet, dan kebanyakannya tidak lebih RM80 seorang satu malam.

bercuti-di-madagaskar-4
Crickets crossing the vast Savannah grasslands of Madagascar. I like to move it move it!

bercuti-di-madagaskar-5

Antsirabe-Morondava highway adalah antara laluan yang paling cantik di dunia untuk dinikmati sekali seumur hidup. Dalam laluan ini, bermula dari Antsirabe yang penuh sejarah dan pengaruh perancis dalam senibinanya dan dihiasi beca berwarna-warni, bagaikan bandar di Pondicherry, India.

Kemudian, keluar dari bandar Antsirabe, terserempak pula dengan landskap bumi indah savannah grasslands sepanjang highway ke Morondava. Dalam perjalanan tersebut juga, terdapat banyak African Huts kediaman warga mereka, terjumpa warga Madagascar yang bekerja santai di pekan dan buruh kasar di lombong emas, penduduk yang ramah, buah-buahan tropika yang banyak dan murah, melintasi sungai-sungai besar.

Setibanya di kawasan Morondava, tanah-tanah yang merah bertukar hijau dan pokok-pokok Baobab berdiri megah. Batang baobab yang besar itu boleh menyimpan berpuluh ribu gallon air untuk kemandiriannya.

3. PENGANGKUTAN DARAT

Kami menyewa 4WD. Disebabkan jalan di Madagascar kebanyakannya tidak berturap dan merbahaya, maka kami menggunakan khidmat pemandu dan tour guide daripada syarikat Great Madagascar Tour (GMT 3+). Semuanya €120 seorang.

Agak mahal tapi berbaloi kerana susah nak faham berkomunikasi dalam bahasa Malagasy, jalan di sana memang memerlukan kemahiran tempatan dan aspek keselamatan perlu diambil kira untuk tempoh perjalanan yang terhad, hanya 10 hari.

Kos gasoline (petrol) ditanggung oleh kami. Tiada deposit dibayar, semuanya bayar tunai semasa ketibaan.

4. AKTIVITI

Aktiviti dan itenerari telahpun dirancang oleh sahabat saya Razali berdasarkan bacaan dalam blog-blog tertentu. Kami melihat praktikaliti rancangan hari demi hari, dengan pengangkutan 4WD dan keadaan jalan dan muka bumi. Semua bayaran aktiviti tiada deposit, hanya cash over the counter.

bercuti-di-madagaskar-6

bercuti-di-madagaskar-7

bercuti-di-madagaskar-8

Maka nikmat Tuhan yg manakah yg kamu dustakan? Apabila kita travel, nak taknak kita akan terbuat perbandingan juga. Kita pergi Eropah atau Jepun atau Korea Selatan, kita akan dapati kehidupan mereka lebih baik dan komplen pasal keadaan di negara sendiri. Namun, apabila kita travel ke negara yg dhaif, kita akan lebih bersyukur dengan kehidupan kita.

Ramai warga Madagascar yang tidak mempunyai kasut kerana ia terlalu mahal. Ramai yg minum air tidak bersih, maka apabila mendapat air mineral mereka sangat terharu.

Air dalam botol sangat mahal untuk mereka, dapat botol kosong pun mereka terharu. Pakaian dibasuh air tanah saja, kadangkala compang camping habis pakaian mereka!

Apabila sampai di suatu kampung, budak-budak selalu mengejar pelancong asing minta biskut atau gula-gula. Child labor atau pekerja kanak-kanak adalah lebih ramai daripada kanak-kanak pergi sekolah.  Perjalanan darat 120km mengambil masa 10jam. Walaupun serba dhaif, mereka tetap bergembira.

5. MAKANAN

Makanan perlu dibeli sedikit daripada Malaysia, sekurang-kurangnya lauk halal. Orang Malagasy memang makan nasi sebagai makanan ruji jadi tiada masalah, cuma kami khuatir tahap kebersihan dan kehalalan makanan dan kesesuaian lauk makanan mereka dengan perut kami.

Walaupun adventurous, kami berhati-hati. Kos makanan tidak termasuk dalam pakej pelancongan ini.

6. WANG

Kami membawa wang tunai €500 seorang untuk kesemua kos di atas. Sebenarnya banyak tapi kami ambil sikap biar lebih, jangan kurang. Pada penghujung perjalanan, saya ada lebihan €100. Alhamdulillah dengan penjimatan itu, saya boleh digunakan untuk perjalanan seterusnya.

7. TELEKOMUNIKASI

Saya membeli TELMA (Telekom Malagasy) data mobil 3GB dengan RM63. Mahal bagi saya, namun saya perlu sentiasa berkomunikasi dalam bisnes dan update perjalanan dari semasa ke semasa.

8. BAHASA

Bahasa Malagasy banyak akarnya daripada bahasa Nusantara, kerana rumpun dan nenek moyang orang Malagasy berasal dari Nusantara. Boleh lah faham sedikit-sedikit apa yang mereka cakap.

Tapi jika mempunyai kemahiran berbahasa Perancis, ia lebih baik. Cuma orang kampung di sebelah pantai barat hanya berbahasa Malagasy sahaja. Jadi bagus jugalah kami menggunakan khidmat pemandu pelancong.

Mengembara membunuh prasangka dan kejumudan, serta meluaskan pemikiran yang sempit (Mark Twain).

bercuti-di-madagaskar-9

bercuti-di-madagaskar-10

bercuti-di-madagaskar-11

bercuti-di-madagaskar-12

bercuti-di-madagaskar-13

ITENERARI HARI DEMI HARI

Saya lampirkan itenerari hari demi hari untuk rujukan.

HARI PERTAMA (Kuala Lumpur ke Mauritius)

A. Perjalanan: Kuala Lumpur ke Mauritius dengan Air Mauritius. Sampai di sana lewat petang. Airport transfer ke Pingouinvillas €3 seorang.

B. Aktiviti: tiada aktiviti khusus kerana sudah gelap, berjalan tepi pantai Blue Bay sahaja sambil memerhati warga Mauritius clubbing.

C. Penginapan: Pingouinvillas satu malam €10 seorang, dapat satu apartment besar untuk 5 orang dan mewah tepi pantai Blue Bay. Sharif, pemilik premis tersebut adalah seorang Muslim yang murah hati dan sangat menjaga kepuasa pelanggan.

HARI KEDUA (Mauritius ke Madagascar)

A. Perjalanan: Sewa teksi Anand berjalan sekitar Mauritius €5 seorang. Airport transfer dari Pingouinvillas €3 seorang. Tengahari ialah penerbangan kami ke Antananarivo, Madagascar bersama Air Mauritius. Visa semasa ketibaan bagi warga Malaysia untuk tempoh mastautin 30 hari ialah €25 seorang

B. Aktiviti: Siang hari kami di Mauritius berjalan sekitar Blue Bay, pasar besar, Masjid Nabawi (masjid kampung di situ), bergambar di ladang tebu. Pada waktu petang, kami tiba di Madagascar, dijemput oleh Fafa dan Slufu pemandu pelancong kami beserta 4WD, lalu terus bergerak ke Antsirabe bermalam di situ.

C. Penginapan: Coleur Cafe, Antsirabe (Madagascar) kami diberi penginapan yang selesa dan dekorasi cantik (4 bintang) untuk €12 seorang.

bercuti-di-madagaskar-27

bercuti-di-madagaskar-28

Zebu adalah salah satu subspesis lembu yg mempunyai bonggol di tengkuknya. Ia bukanlah kerbau atau lembu biasa, dan bukan juga kacukan zebra dan lembu yang menjadikannya zebu.

Di Madagascar, barangsiapa yang mempunyai banyak zebu dianggap kaya kerana ia berharga €400-800 seekor. Selain tujuan pengangkutan, zebu juga dijadikan maskahwin, zebu juga dikorbankan untuk pengebumian. Bonggol zebu juga adalah delikasi masyarakat Madagascar nyam nyam nyammm.

HARI KETIGA (Antsirabe ke Morondava)

A. Perjalanan: seperti dirancang kami bergerak ke Morondava, kerana Morondava ialah gateway to everywhere beautiful. Perjalanan memakan masa 10 jam.

B. Aktiviti: Bergambar sepanjang perjalanan. Bergerak dari Antsirabe awal pagi, berjalan sekitar pekan Antsirabe. Kemudian menikmati keindahan Tuhan, savannah grasslands yang terbentang luas. Sesampai di daerah Morondava, kami teruja bila nampak pokok Baobab, masa tu sudah gelap dan matahari terbenam. Malam itu kami makan besar seafood termasuk lobster besar untuk €5 seorang berdekatan dengan hotel.

C. Penginapan: Le Sun Beach hotel, satu malam €15 seorang, penginapan di Morondava yang terletak sebelah pantai yang indah. Hotel 3 bintang. Namun pemiliknya lelaki Perancis, dan isterinya orang tempatan adalah sangat sombong bagi kami.

HARI KEEMPAT (Morondava ke Bekopaka)

A. Perjalanan: Morondava ke Bekopaka hanyalah 120km namun ia memakan masa hampir 10 jam untuk tiba. Pertamanya kerana jalan yang tidak berturap, berlumpur dan berlubang-lubang. Keduanya kerana menaiki feri rakit di sungai Tsiribihina yang mengambil masa sejam dan €3 seorang.

B. Aktiviti: sebelum kami bertolak ke Bekopaka, kami melalui Avenue of Baobab. Kami meluangkan masa sejam untuk bergambar bersama baju raya di situ. Kemudian meneruskan perjalanan tidak berturap sehingga sampai di jeti sungai Tsiribihina. Makan udang galah RM0.50 seekor! Selepas sungai, jalan semakin teruk! Namun, kebahagiaan terletak pada perjalanan, bukan destinasi!

C. Penginapan: Le Grand Hotel Tsingy, kami menginap di family house 5 orang. Sempit tapi selesa 3 bintang. Kos satu malam €13 seorang, penjaga hotel sangat mesra dengan kami.

bercuti-di-madagaskar-17

bercuti-di-madagaskar-18

bercuti-di-madagaskar-19

bercuti-di-madagaskar-20

bercuti-di-madagaskar-3

Tsingy terbentuk daripada karst limestone akibat hakisan air bawah tanah jutaan tahun yang lalu. Bayu-batunya tajam, tsingy bermaksud “injut-injut” kerana seseorang tidak boleh melalui batu tajam itu dengan kaki biasa, kerana boleh terpotong kaki itu. Ia adalah UNESCO attraction yang wajib pergi di sini.

HARI KELIMA (Tsingy di Bekopaka)

A. Perjalanan: Perjalanan ke Grand Tsingy memakan masa sejam dari hotel. Small Tsingy pula hanya beberapa minit sahaja. Ini termasuk dalam rancangan awal.

B. Aktiviti: Rock climbing di batu-batu tajam tsingy, mencari binatang unik Madagascar seperti Lemur dan Sifaka dan menikmati keindahan alam. Kos memasuki taman negara Tsingy ialah €18 seorang, termasuk local guide menulusuri Tsingy yang tajam itu.

C. Penginapan: malam itu bermalam di hotel yang sama Le Grand Tsingy €13 seorang.

HARI KEENAM (Bekopaka ke Morondava)

A. Perjalanan jauh 120km selama 10 jam termasuk feri rakit yang diperbuat daripada sampan bermotor, merentas sungai Tsiribihina selama hampir 2 jam.

B. Aktiviti menelusuri kehidupan di kawasan pedalaman dan kampung di Madagascar. Kemuncaknya ketika tiba di Avenue of Baobabs menyaksikan matahari terbenam di antara Baobab. Malam itu makan seafood besar di tempat yang sama €6 seorang.

Setiap satu daripada ribuan bandar di dunia ini ada keistimewaan matahari terbenamnya yang tersendiri, dan sangat berbaloi untuk hadiri walaupun sekali, untuk menyaksikan turunnya matahari (Ryu Murakami)

C. Penginapan di Morondova di Le Sun Beach Hotel €15 seorang satu malam.

HARI KETUJUH (Sekitar Morondava)

A. Perjalanan: pada awalnya rancangan mahu ke Belo-Sur-Mer, sebuah kawasan laut 60km dari Morondava, tetapi dikhabarkan air naik tinggi, sukar untuk 4WD merentasinya. Maka, plan B ialah berjalan sekitar Morondava dan pergi ke pulau Betania, sebuah perkampungan nelayan melalui canoe €5 seorang.

B. Aktiviti santai pasar tani Morondava, singgah di masjid-masjid dalam bandar itu, berjalan di tepian pantai sambil membeli hasil tangkapan nelayan, menelusuri paya bakau hingga Pulau Betania sebuah perkampungan nelayan. Petangnya, sekali lagi ke Avenue of Baobabs menikmati matahari terbenam di antara pokok-pokok gergasi Baobab.

C. Penginapan malam terakhir di Le Sun Beach Hotel €15 satu malam seorang.

bercuti-di-madagaskar-14

bercuti-di-madagaskar-15

bercuti-di-madagaskar-16

madagaskar-1_edited
Thnak for this Dr Faiz Najmi – Ida Latif

Tips mencari Baobab, memandang 6 daripada 9 spesis di dunia ini ada di Madagascar. Spesis lain ada di benua Afrika dan di semenanjung tanah Arab.

1. Dapatkan tiket flight ke Mauritius
2. Dari Mauritius terbang 1j45min ke Antananarivo (capital city of Madagascar)
3. Dari Antananarivo airport, tukar wang semua, bertolak ke Antsirabe (4jam) dan bermalam di situ.
4. Dari Antsirabe, bertolaklah ke Morondava. Di Morondava lah terdapat banyak Baobab.
5. View ini diambil daripada Avenue of Baobabs.

a. Daun baobab boleh dibuat teh
b. Buah Baobab boleh dimakan, ia dikategorikan dalam superfruits, kandungan vitamin C dan kalsium yg tinggi, dan mineral lain.
c. Katanya baobab baik untuk kulit dan weight loss, hooyeahh!!

HARI KELAPAN (Morondava ke Antsirabe)

A. Perjalanan: bergerak pulang semula ke Antsirabe 10 jam perjalanan.

B. Aktiviti: membuat beberapa pit stop dan bergambar sepanjang perjalanan, terjumpa migrasi kriket yang terbang merentasi savannah grasslands.

C. Penginapan: Hotel H1 di Antsirabe, hotel selesa 5 bintang €9 seorang. Penginapan yang paling kami puas hati.

HARI KESEMBILAN (Antsirabe ke Antananarivo)

A. Perjalanan: pulang semula ke Antananarivo 3 jam perjalanan.

B. Aktiviti: singgah di muzium batu precious dan semi-precious, singgah di muzium tanduk zebu dan membeli sedikit souvenir di situ. Malam hari kami singgah couchsurfing di rumah kawan Puan Suri, namanya Fahaso, untuk bermakan malam di sana. Sungguh indah persaudaraan travellers!

C. Penginapan: Relais Normand Hotel di tengah bandar Antananarivo €11 satu malam seorang.

HARI KESEPULUH (Antananarivo hingga pulang ke rumah)

A. Perjalanan: sekitar bandar Antananarivo dan tengahari airport transfer untuk perjalanan pulang dengan Air Mauritius, transit di Mauritius sejam.

B. Aktiviti: membeli belah souvenir sekitar bandar Antananarivo, melawat zoo untuk bermain bersama Lemur. Zoo dan bermain Lemur €6 seorang. Hari terakhir di sini kami berpuasa hari pertama Ramadhan.

C. Penginapan: dalam penerbangan pulang dari Mauritius ke Kuala Lumpur. Berbuka puasa, bermoreh dan bersahur dalam kapal terbang Air Mauritius juga.

bercuti-di-madagaskar-21

bercuti-di-madagaskar-22

bercuti-di-madagaskar-23

bercuti-di-madagaskar-24

bercuti-di-madagaskar-25

bercuti-di-madagaskar-26

Buah baobab ialah buah hasil daripada pokok baobab. Luarnya berbentuk oval dan berwarna coklat, kulitnya tebal bagai buah kelapa. Isinya pula kering, memakan isinya bagaikan cotton candy yang masam dan berbiji, rasanya di antara grapefruit, buah pir dan vanilla.

Ia juga dikategorikan ‘superfruits’, 6 kali vitamin C daripada buah oren, 2 kali calcium daripada secawan susu dan banyak lagi mineral lain (mineral powerhouse).

Sekian begitulah perjalanan kami di Madagascar. Jika anda ingin melakukan perjalanan semua sendiri tanpa menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong, mungkin perjalanan anda jauh lebih murah.

Lagi-lagi Air Asia sudah buka laluan baru ke Mauritius mulai Oktober ini. Cuma jangan terkejut penerbangan Mauritius ke Madagascar sangat mahal! Memang begitu, airport tax yang mahal dan penerbangan murah masih belum aktif di situ.

Jika anda tidak menggunakan khidmat agensi pelancongan, anda perlu luangkan masa yang lama kerana menunggu pengangkutan awam boleh ambil masa berjam-jam, barangkali seharian menunggu, atau tunggu sampai pengangkutan tersebut penuh. Mungkin itulah saja aktiviti anda pada hari itu!

Jika anda tiada masa, anda harus fleksible dengan wang. Jika anda tiada wang, anda harus fleksible dengan masa. Begitulah falsafah bermusafir yang perlu ada bagi setiap backpacker.

Bumi ini bagaikan sebuah buku, dan mereka yang tidak mengembara hanya membaca satu halaman sahaja (Saint Augustine)

20 tahun dari sekarang, anda akan lebih kecewa dengan apa yang anda tidak pernah lakukan berbanding dengan apa yang pernah anda cuba (Mark Twain).

Baca lagi: Ini 10 Tip Daripada Kami Setelah 5 Bulan Mengembara Di Amerika Selatan