Pernahkah anda terfikir untuk travel ke satu-satu lokasi di bumi asing bukan semata untuk mengembara, tapi untuk menghulurkan bantuan selagi terdaya?

Atau tujuan mengembara bukanlah untuk melihat indahnya dunia, tapi untuk melihat dan merasai sendiri peritnya hidup dan sukarnya berjuang demi masa depan yang lebih membahagiakan?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Itulah yang telah dilakukan oleh seorang anak muda bernama Izzat Ibrahim. Pemuda berusia 25 tahun ini merupakan antara mereka yang menawarkan diri menjadi sukarelawan di kem pelarian Kitchen in Calais.

Alhamdulillah, antara yang sudah tercapai adalah menjadi sukarelawan untuk pelarian negara berperang. Itu juga merupakan hadiah terbesar dari Tuhan! – Izzat.

kem-pelarian-calais-1

Menurut pelajar kuliah Syariah Islamiah di Mesir ini, beliau ke Calais bagi mengisi masa yang ada. Pernah gagal 1 subjek pada tahun akhir dan perlu mengulang setahun lagi untuk 1 subjek itu saja membolehkan beliau  menyertai kerja-kerja sukarelawan di Calais, Perancis ini.

Pemergian Izzat ke kem pelarian ini bukan sekadar sebagai sukarelawan, tapi juga perlu bersedia untuk melepaskan keselesaan dan turut hidup dalam serba kekurangan dan kesukaran.

Antara niat saya sebelum sampai di kawasan kem ini adalah untuk cuba hidup sebagaimana para pelarian hidup. Mandi, buang air, tidur makan dan sebagainya. Walaupun tidak dapat terlalu sama, tetapi Alhamdulillah dapat juga rasai semampunya.

“Kenapa saya berniat seperti itu?

Kerana, apabila kita dapat hidup sepertimana orang yang susah yang kita mahu bantu itu hidup, barulah akan tercapai makna sebagai seorang sukarelawan.

Yang mana, antara matlamat utama menjadi seorang sukarelawan adalah cuba untuk rasa bagaimana susahnya hidup mereka. Kemudian dari berkongsi rasa itu barulah timbul keseriusan dalam membantu dan bekerja.

Cuma antara sukarelawan dan pelarian itu ada sedikit perkara berbeza. Saya sebagai sukarelawan adalah orang yang memilih untuk berada di sini. Mereka pula sebagai pelarian tidak pernah mahu untuk berada di tempat yang kotor ini.

Kerja dan penat saya adalah kerana menyediakan makanan dan menguruskan hal ehwal dapur untuk mereka. Mereka pula sebagai pelarian, kerja dan penat mereka adalah kerana banyak berfikir dan mencuba untuk berlari menuju destinasi” – Izzat.

kem-pelarian-calais-5

Sewaktu menyelusuri akaun Facebook Izzat, saya tertarik dengan perkongsian beliau sepanjang berada di kem pelarian Calais yang kadang kala boleh mengetuk hati dan minda kita.

“Alhamdulillah pada saat ini, saya berada di hotel. Semalam, Pakcik Jamalulail dan Aunty Sofinee tawarkan untuk berehat di hotel supaya dapat tidur di katil yang selesa dan mandi di dalam bilik air. Bersama saya adalah 2 orang pelarian dan anak mereka”.

Mereka berdua kasihan kerana telah lebih 5 minggu saya tidur dalam bilik di dapur tempat saya kerja sebagai sukarelawan di kawasan kem pelarian yang punyai katil biasa-biasa.

Begitu juga perihal mandi. 5 minggu saya berada di sana, baru 5 kali juga lah saya mandi. Hari jumaat sahaja.

“Pada hari Ahad 2 minggu lepas ketika Pakcik Jamal and Aunty Sofinee berada di England, rakan saya Nuria BO dari Sepanyol ada tawarkan kepada saya untuk bersama Team Sepanyol mandi di hotel.

Tetapi saya terpaksa tolak kerana tidak sanggup rasanya untuk tinggalkan dapur. Beliau juga tahu yang saya tidak pernah keluar mandi dan tidur di hotel.

Semalam saya tanya Pakcik Jamal, duit untuk bayar hotel guna duit siapa? Duit sumbangan juga kah? Dan beliau jawab yang duit ini guna duit sumbangan.

Duit sumbangan itu memang digunakan untuk bawa pelarian berehat dan mandi di hotel.

Dengan keadaan kem pelarian yang terlalu dhaif dan teruk, sangat tepatlah jika sumbangan juga digunakan untuk bawa beberapa pelarian berehat dan dapatkan tandas dan bilik air yang selesa untuk sekali-sekala.

Kerana pada isu berkenaan mandi, buang air dan dapat tidur pada tempat yang selesa ini, para pelarian memang betul-betul memerlukan.

Mereka perlukan ketenangan dari kekalutan walaupun sebentar. Supaya dapat kembali berfikir dengan tenang dan tenaga yang cukup untuk berlari menuju tempat yang yang diimpikan” – Izzat.

kem-pelarian-calais-4
Inilah antara tugas aku sepanjang di sini. Memasak untuk para pelarian

kem-pelarian-calais-3

Dan hakikatnya menjadi sukarelawan juga perlu berhati kental, apatah lagi apabila saban hari perlu melalui situasi yang tidak dijangka. Belum ditambah dengan suasana dan persekitaran kotor yang menekan jiwa.

Tambah Izzat lagi;

Thiago Silva adalah orang pertama yang saya jumpa sependapat dengan saya berkenaan perasaan tidak suka dengan nama yang diberikan kepada tempat kawasan pelarian ini. Iaitu ‘Jungle’ bermaksud Hutan.

Nama dan refleksi diri

“Thiago merupakan warganegara Brazil tetapi menetap di England. Beliau antara orang yang menubuhkan organisasi kebajikan yang hadir pada hujung minggu lepas (Sabtu dan Ahad) untuk membantu dapur dan menghantar barang sumbangan. Organisasi tersebut ramai ahlinya terdiri daripada warganegara Brazil.

Berkenaan dengan nama tempat ini, saya tahu berkenaan pendapat Thiago adalah daripada kakaknya, Tatiane Erica Da Silva . Ketika itu Thiago sedang bertugas menghidang makanan dan saya dan Titiane bertugas membasuh peralatan dapur.

Sememangnya nama adalah satu perkara yang penting kepada sesuatu tempat. Juga kepada seorang manusia. Kerana itu Nabi Muhammad s.a.w sampai ke satu tempat yang namanya bermaksud tidak baik, maka baginda akan perintahkan untuk mengubahnya.

Juga berkenaan dengan nama manusia, ada beberapa nama yang dilarang oleh baginda untuk diletakkan kepada anak-anak.

Mungkin kerana nama tempat ini sebagai Hutan, kadang-kadang manusia di sini bertindak sebagai manusia tiada ‘aqal’. Merompak, minum arak, bergaduh”.

Bukan pelarian sahaja, ‘penguasa-penguasa’ di sini melayan manusia seperti penjaga binatang yang kejam melayan binatang dengan cara tidak baik.

“Apa yang saya mampu untuk lakukan sekarang hanyalah cuba untuk mengelakkan dari menyebut nama ini dengan nama Jungle (Hutan). Dan juga berkongsi pendapat dengan mana-mana sukarelawan yang datang membantu.

Saya menganggap ini adalah perkara yang penting. Kerana saya datang ke sini adalah untuk memberikan sumbangan kepada manusia yang mulia. Bukan manusia yang dilabel sebagai Orang Utan”.

kem-pelarian-calais-7

kem-pelarian-calais-6

Di Refugees Camp Calais, apa yang setiap hari saya ternanti-nanti adalah pertemuan dengan orang yang baru. Dan ternanti untuk mendengar kisah yang baru – Izzat.

Tok tok!

“Assalammualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

“Makanan ada lagi?”

“Maaf, nasi dah habis. Tinggal sup sahaja.”

“Hem…boleh lah.”

“Ok, sebentar ya.”

“Boleh bagi saya 2 mangkuk? Saya lapar sangat. Sepanjang hari belum makan.”

“Boleh boleh.”

Penghuni silih berganti

Setiap manusia yang berada di Kem Pelarian ini tiada yang akan kekal berada di sini untuk tempoh yang lama bertahun. Para pelarian dan para sukarelawan akan silih berganti.

Mereka yang ada hari ini belum pasti akan jumpa atau tidak pada esok hari. Mereka pelarian akan terus berlari menuju impian dan destinasi.

Apa yang perlu aku buat, hanyalah menghargai sebaik-sebaiknya setiap manusia yang ditemui dan mendoakan semoga berjaya mendapat tempat dan kehidupan yang lebih baik selepas ini”.

kem-pelarian-calais-8

Dan adakala desakan hidup dan tekanan menjadikan manusia hilang kewarasan. Apatah lagi bagi mereka yang pernah melalui tekanan melampaui – fizikal dan mental.

Maka tidak hairanlah jika catatan berikut buat saya sedar betapa kesabaran juga perlu tinggi sewaktu bertugas sebagai sukarelawan di sini.

“Tidak tega rasanya untuk membenci walaupun kadangnya menyakitkan hati. Oh, lupa! Mungkin kerana pernah disakiti oleh sahabat sendiri. Apalah sangat kalau dicuit manja oleh manusia biasa pejalan kaki”.

Di sini aku berkumpul bersama-sama manusia yang pernah dikhianati. Dikhianat negara sendiri. Dikhianat kaum sendiri. Dan ada juga dikhianat keluarga sendiri.

Disepak, dihalau dan dibaling-baling oleh manusia beruntungan. Seronok rasanya berkumpul dan bersama manusia yang biasa diuji. Berkongsi kesakitan dalam gembira. Dalam suasana yang tidak diucap dengan kata bahasa.

“Sebagai pengakhiran untuk catatan ini. Bermimpi dan beranganlah pada segala sesuatu yang kau tak pernah rasa mampu untuk capai. Dan jika angan itu baik, maka Allah itu sangat memahami akan kebaikan untuk makhluknya. Berazamlah!

Semoga Allah menerima amalan kamu dan juga amalan aku. Amin”.

kem-pelarian-calais-9

Mengakhiri catatan, Izzat sempat memberikan pesanan berikut.

Pakcik Jamal (suami Sofinee Harun) pernah ditanya oleh para pelarian ketika awal-awal beliau datang ke kem ini’ –  di mana saudara-saudara Islam kita? Kerana hampir 70% sukarelawan yang ada di sini adalah dalam kalangan non-Muslim.

“Jadi teruskan menyumbang. Bagi mereka yang ada kelapangan masa, tenaga dan wang ringgit, datang ke kem ini untuk bekerja bersama-sama.

Puan Sofinee sangat memerlukan tenaga sukarelawan lelaki Malaysia. Kerana seronok bekerja bersama.  Saya dah nak pulang ke Mesir. Jadi Puan Sofinee sangat mengharapkan ada yang dapat menggantikan saya di sini” – Izzat.

Mungkin sudah tiba masanya kunjungan kita ke Paris dan UK ditukar arah ke Calais. Andai tidak mampu berjihad di medan perang, masih banyak cara untuk kita menyumbang bakti buat saudara seagama.

Buat para travellers, saudara kita menunggu menunggu kedatangan dan sokongan moral kita di Calais.

Untuk sumbangan dan jika anda ingin menawarkan diri sebagai sukarelawan di Kitchen in Calais, hubungi Facebook Page Kitchen in Calais.

Baca lagi: ‘See You In Jannah’ Ucap Pelarian Syria Kepada Sukarelawan Malaysia Di Perancis