Beberapa bulan ini hangat diperkatakan tentang Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang dilaporkan gagal untuk mematuhi arahan kuarantin.

Kegagalan untuk menjalani tempoh kuarantin kendiri itu dilakukan beliau selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu yang kemudiannya mengakibatkan beliau didenda sebanyak RM1,000.

Walaupun telah didenda dan membuat permohonan maaf, namun siasatan ke atas beliau tetap dijalankan susulan beberapa laporan polis yang telah dibuat terhadapnya.

Dan kini selepas beberapa minggu siasatan dijalankan, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap kesalahannya itu.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed yang menjelaskan polis telah ‘menerima arahan agar tiada tindakan lanjut diambil’ seperti dilaporkan Malaysiakini.

“Kertas siasatan telah rujuk ke pejabat peguam negara dan arahan untuk kes ini (ialah) no further action…NFA, atas alasan menteri tak diserahkan dengan borang 14b di bawah seksyen 15 (1) akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin.

“Berdasarkan keterangan tersebut, maka AGC memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan memandangkan tiada keterangan kukuh bagi mengasaskan pertuduhan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, siasatan ke atas menteri itu difahamkan bermula selepas beberapa laporan polis yang dibuat susulan dakwaan oleh ahli ploitik yang mengatakan beliau tidak mematuhi arahan kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Susulan daripada laporan polis itu, Dr Mohd Khairuddin kemudiannya dipanggil pihak polis ke Bukit Aman untuk memberikan keterangan berhubung kesalahan yang dilakukannya itu.

Walaupun mengambil masa yang agak lama, namun keputusan siasatan itu tetap menjadi perhatian terutama dalam kalangan pengguna media sosial yang tertanya-tanya apakah hukuman yang bakal diterima beliau.

Ini susulan beberapa laporan media sebelum ini yang melaporkan terdapat orang awam yang telah didenda dan dijatuhkan hukuman jika melanggar perintah kuarantin wajib.

Dan hari ini dengan penjelasan daripada pihak polis yang memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut ke atas beliau mungkin telah menjawab segala persoalan yang ditimbulkan netizen sebelum ini.

Baca juga perkembangan semasa mengenai COVID-19 melalui perkongsian kami sebelum ini melalui pautan di bawah.

Pakar Jangka Gelombang Ketiga COVID-19 Di Malaysia Berlarutan Hingga Tahun Depan

Malaysia Bakal Menjadi Negara Terawal Terima Vaksin COVID-19

Lelaki Ini Ditahan Polis Ketika Membuat ‘Report’ Ditipu Beli Telefon Gara-Gara Langgar Kuarantin