Jackie Chan sudah lama menjadi salah satu selebriti Hong Kong yang paling kedepan dan menonjol dalam usaha untuk menyebarkan dakyah propaganda Parti Komunis yang berkuasa di China. Tetapi baru-baru ini, dia bertindak mengabadikan kesetiaan beliau terhadap Parti Komunis kepada satu tahap yang baru.

Di dalam satu simposium yang dianjurkan oleh Persatuan Filem China minggu lalu, di hadapan cerdik pandai dan tokoh filem China, Chan dengan lantang menyatakan kekaguman beliau terhadap Parti Komunis. Dia dengan semangat meminta semua orang untuk mengkaji dan menerapkan semangat dari ucapan dasar yang disampaikan oleh Presiden China, Xi Jinping.

“Di luar negara mereka sering mengatakan, bangga menjadi orang Cina. Saya sangat beruntung menjadi orang Cina, tetapi saya juga sangat cemburu kerana anda semua adalah ahli Parti. Saya rasa Parti Komunis China sungguh luar biasa,” kata Jackie Chan, menurut rakaman video dari penyiar rasmi CCTV. “Apa yang dikatakan oleh Parti, apa yang dijanjikan, tidak memerlukan 100 tahun untuk dicapai – ia pasti dapat dicapai hanya dalam beberapa dekad. Saya mahu menjadi ahli Parti Komunis!” Kata-kata Chan diikuti dengan tepukan gemuruh orang para tetamu yang hadir.

Ucapan panjang Xi yang menjadi rujukan Chan adalah mesej panjang lebar yang disampaikan pada 1 Julai lalu bagi menandakan ulang tahun ke-100 penubuhan Parti itu mengenai kebangkitan China, termasuk mesej bahawa negara itu tidak lagi “dibuli” oleh negara lain serta bahawa sesiapa yang mencuba melakukannya akan menerima kesan yang besar oleh China.

Difahamkan bahawa sikap politik Chan kini sangat berbeza dengan sikap politiknya di masa muda. Pada tahun 1989, Chan pernah secara terbuka mengkritik pembantaian tentera terhadap para pendemo yang pro-demokrasi di Dataran Tiananmen. Chan juga secara terbuka menyokong gerakan pro-demokrasi di China. Namun sikap kritis Chan ini berlaku sebelum China mengambil alih Hong Kong dari Britain. Ketika Britain mengembalikan negara itu ke China, dia mula berubah angin dan mula menunjukkan sisi lain dirinya yang lebih kearah Parti Komunis.

Walaupun China telah menikmati pertumbuhan ekonomi yang hebat sejak akhir 90-an, pengaruh Beijing terus menerus menjadi kuat, termasuk di Hong Kong. Sektor hiburan, termasuk perniagaan filem Asia Timur, yang sebelumnya dikendalikan oleh Hong Kong, kini harus memenuhi permintaan pasaran domestik China. Chan, sebagai pelakon layar dalam industri perfileman Hong Kong adalah antara orang yang tanpa ragu-ragu memuji kehebatan Parti Komunis yang dulunya pernah dikecam oleh beliau sebagai pelanggar hak asasi manusia.

Pada awal bulan ini juga, Chan dikhabarkan telah hadir ke acara propaganda Parti Komunis terbesar yang diadakan di stadium nasional Bird Nest dengan kapasiti 91,000 orang di Beijing. Di sana, Chan yang mewakili Hong Kong, bersama-sama dengan selebriti dari Taiwan dan Macau telah mendendangkan lagu Yellow River Cantata, sebuah karya patriotik klasik yang dikeluarkan semasa Perang China-Jepun. Chan bersama dengan dua lagi selebriti itu menyanyi dengan penuh semangat bait-bait lirik yang menyebut; “Pertahankan kampung halaman anda, pertahankan Sungai Kuning, pertahankan seluruh China!”

Pertunjukan ini berlangsung dengan meriah sekali dan ia berlaku ketika sejumlah orang dari negara asal Chan, iaitu Hong Kong ditangkap kerana mencetuskan demonstrasi yang menentang Parti Komunis China. Chan sendiri rasanya tidak lagi gemar untuk bersama dengan Hong Kong apabila dia sendiri pernah memberi pandangan bahawa situasi politik di Hong Kong terlalu bebas dan menganggap sistem demokrasi tidak baik untuk negaranya sendiri.

Dan ketika situasi Hong Kong dan Beijing semakin memanas, Jackie Chan dilihat lebih berpihak kepada China. Dia turut menyokong undang-undang baru yang tidak menggalakkan demonstrasi, penangkapan pembangkang dan penutupan surat khabar yang mengkritik sikap keras China. Populariti dan sokongan dari anak muda terhadap Jackie Chan juga sudah lama merosot dan pelakon itu tidak lagi dianggap sebagai idola yang boleh dibanggakan.

Jackie Chan kongsi detik cemas tenggelam 45 saat selepas terjatuh dari jet ski. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Jackie Chan Kongsi Detik Cemas Tenggelam 45 Saat Selepas Terjatuh Dari Jet Ski

Pangsapuri Mewah Milik Jackie Chan Dirampas, Dituduh Terlibat Dengan Rasuah?

Jackie Chan Mungkin Dikuarantin Kerana Dijangkiti Coronavirus?