Dari serumpun buluh menjadi hutan belantara.

“The forest that once was green, Was colored black by those killing machines.” -Of Monster and Men “Dirty Paw”

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Antara pengalaman yang menggerunkan adalah sesi night walk di dalam hutan di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM).

Dilepaskan seorang demi seorang di dalam hutan belantara waktu malam melalui trek yang disediakan sudah cukup menggoncang perasaan.

Kenangan beraktiviti di situ sewaktu sekolah akan sentiasa diingati. Ada suatu ketika kami dibawa melalui sebuah sungai kecil di dalam hutan tersebut. Katanya sungai buatan.

Tiba-tiba petugas di hutan tersebut menunjukkan kepada kami seekor katak kecil sambil mengeluarkan ungkapan bermakna, “Kalau hutan tu tak tercemar, maknanya mesti ada katak”.

Begitulah ilmu hutan yang pernah aku pelajari. Betul ke tidak fakta itu masih lagi menjadi tanda tanya. Hutan FRIM ini tetap mengagumkan aku. Merupakan hutan buatan manusia terbesar di rantau ini.

Apabila disebut hutan buatan manusia bererti pokok-pokok di sini ditanam sendiri oleh manusia. Bermula dari tahun 1923 hingga 1967, pokok-pokok telah ditanam semula di atas tapak bekas lombong. Keluasan mencecah 544.3 hektar dengan kira-kira 15 juta pokok ini sudah cukup membayangkan betapa gigih mereka yang menanamnya. Kagumnya aku dengan hutan buatan manusia ini!

National Geographic

‘Hutan Jadav’ bermula dari tanah kosong, hanya pasir. Gambar hutan di belakang adalah ‘Hutan Jadav’ yang sebenar.

Rasa kagum kepada hutan pastinya menemukan kita kepada rancangan National Geographic. Satu siaran rancangan yang membawa kita menghayati apa sahaja yang bernama makhluk Tuhan di alam semesta ini.

Pada 25 Januari 2016 yang lalu, National Geographic melalui page Facebook-nya telah berkongsi sesuatu yang mengejutkan. Aku sangat teruja pada tahap tertinggi. Tajuk perkongsian itu tertulis begini.

‘Watch: This man began planting a forest in 1979-and now it’s the size of Central Park’

Kurang lebih 16 minit durasi filem dokumentari arahan William Douglas McMaster itu. Dianugerahkan sebagai dokumentari terbaik The American Pavilion Emerging Filmmaker Showcase tahun 2014. Malah diayangkan di Festival Filem bertaraf antarabangsa di Cannes, Perancis.

Kemudian, William pun kembali ke India untuk menceritakan kejayaannya itu kepada Jadav Payeng. Watak penting dokumentari tersebut.

“Cut me before you cut my trees!”

Gertakan yang bukan biasa-biasa. Dari tahun 1979 Jadav sudah menanam anak pokok satu persatu. Hanya bermula dengan beberapa batang pokok buluh sahaja.

Sekarang saiz hutan yang ditanamnya sendiri secara berseorangan sudah seluas 550 hektar. Lebih luas berbanding FRIM barangkali. Malah lebih luas daripada Central Park di New York (341 hektar) yang bisa kita kenali melalui filem animasi ‘Madagascar’. Gilanya, ini kerja seorang!

Hanya orang kampungnya sahaja yang tahu dan maklum mengenai aktiviti si Jadav ini. Jadav Payeng adalah orang daerah Jorhat, di sebuah wilayah bernama Assam di India.

Di situ ada sebuah pulau terbesar yang terletak di sungai Brahmaputra dengan nama Pulau Majuli. Sekali lagi diingatkan bahawa Pulau itu terletak di tengah sungai.

Di situlah hutan buatan milik Jadav dipelihara sejak 1979. Hinggalah satu hari yang bertuah pada tahun 2009, seorang jurugambar dengan nama Jitu Kalita tiba di Sungai Brahmaputra. Niat hatinya bulat. Tiada lain selain mencari panorama-panorama indah untuk dimuatkan ke dalam kamera digitalnya.

Apakan daya, kalau namanya takdir. Jitu begitu pelik dan terkejut apabila ada sebuah hutan di pulau terbiar itu. Agak luas hutannya.

Jitu akhirnya bertemu dengan Jadav di tebing sungai lalu diceritakan semuanya. Jitu Kalita telah menukilkan kisah itu melalui sebuah artikel, lalu diterbitkan oleh akhbar tempatan di sana.

Cerita yang tersebar luas itu telah mengubah kehidupan Jadav Payeng dan mereka berdua menjadi teman yang rapat. Pastinya berita seperti ini membuatkan rakyat India terkejut beruk.

Kini, orang awam dari Assam ini bergelar The Forest Man of India. Gelaran yang dianugerahkan oleh bekas Presiden India, Dr. APJ Abdul Kalam yang merupakan seorang saintis.

Begitu juga, William Douglas McMaster yang mengfilemkan kisah Jadav ini tidak menoleh ke belakang lagi dan terus membawa kisah ini ke peringkat global. Dokumentari ini terpilih sebagai salah satu The Short Film Showcase di National Geographic hingga aku ditakdirkan menekan klik pada ceritanya.

Niat Jadav

Jika niat Jitu Kalita bulat. Niat dan tekad yang ada pada Jadav juga semestinya bulat-sebulatnya.

Pulau Majuli adalah satu lokasi yang semakin terhakis saban hari. Jangkaan masa 15 hingga 20 tahun akan menamatkan hayat pulau sungai ini.

Begitu juga musibah banjir yang mempercepatkan lagi hakisan. Niatnya mula teguh setelah melihat ratusan ekor ular mati sungai beserta pokok-pokok yang rosak akibat banjir pada 1979.

Ketika itu masih bergelar remaja. Itulah ‘turning point’ dalam hidup Jadav. Dia berjalan terus melakukan penanaman semula anak-anak pokok.

Hingga sanggup dia membawa sekumpulan semut dan anai-anai dari seberang pulau untuk dilepaskan di hutan miliknya itu. Katanya semut dan anai-anai boleh meningkatkan kualiti tanah. Seorang pakar bernama Ritu Thakur bersetuju dengan pendapat Jadav ini.

Kelapa

Orangnya nampak ‘simple’. Tapi otak geliga bak saintis.

Jadav telah mencadangkan kepada kerajaan agar penanaman pokok kelapa dilakukan di pulau tersebut.

Katanya, kelapa bukan sahaja boleh menjana pendapatan malah jika ditanam sebanyak mungkin ia mampu menguatkan tanah di pulau tersebut untuk mengelak hakisan.

Usaha Jadav bukan setakat itu sahaja. Kerajaan tempatan telah menjalankan permohonan agar Pulau Majuli dijadikan tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO). Namun, ianya ditolak. Sedemikian banyak ideanya itu pun masih belum disahut mana-mana pihak.

Walaupun tidak disahut lagi, hutan tanam milik Jadav ini masih terus hidup dan membesar. Sudah menjadi habitat buat gajah, harimau, badak dan rusa yang datang menyinggah. Burung pun sudah bermigrasi di situ.

Jadav masih terus menanam pokok. 150 hektar tanah bertentangan hutan pertama yang diusahakan itu pula ditanam pokok.

Gelaran ‘The Forest Man of India’ dan cerita di sebaliknya itu pastinya menjadikan Jadav seorang yang amat berpengaruh saat ini. Siapa yang tak mahu dengar idea-idea Jadav ini?

Usaha terbarunya adalah menanam semula pokok di daerah Dibrugarh dan Dhemaji. Hutan di kawasan itu punah kesan Projek Bogibeel. Projek pembinaan jambatan merentasi sungai Brahmaputra. Jadav telah menemui menteri berkaitan dan mendapat bantuan pelbagai NGO untuk usaha ini.

Video oleh William tentang Jadav di bawah:

Pendapat orang tempatan

Jika kita orang Malaysia yang jauh beribu kilometer dari India sudah merasa asyik dan terinspirasi dengan kisahnya, bayangkan orang di India sana. Seorang teman mahasiswa dari Universiti Sains Malaysia Katnatak Lingayat Education (USMKLE), Belgaum, India bernama Nur ‘Athira Faisal Sabri yang berada di India ada bertanya rakannya, “As a local Indian, what is your personal opinion regarding this man (Jadav Payeng)?”

Jawapan Rajit Sajut, seorang pelajar tempatan itu sungguh mengejutkan.

“Unbelievable. He is godman. He is like president of Singapore who single handedly changed a barren land (part of Malaysia and disowned) into a country who is economical conditions challenges US and equals dollar to Singapore dollar. Anyway this man teaches us that you can achieve anything if you have honesty, dedication and hardwork.”

Kesungguhan menjaga keharmonian hutan ini mengingatkan aku kepada pejuang-pejuang alam sekitar di tanah air ini.

Saban hari mereka juga tidak berhenti memikirkan nasib hutan untuk anak bangsa mendatang.

Ada beberapa NGO alam sekitar yang aku ikuti rapat perkembangannya seperti Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Sahabat Alam Malaysia – SAM dan Greenpeace Malaysia.

Beberapa soalan telah diajukan kepada Pengerusi NGO KUASA iaitu Saudara Hafizudin Nasarudin. Hafizudin telah memberi respon yang baik kepada aku.

NGO Malaysia

‘Hutan Jadav’ yang sekarang.

Mereka ini sentiasa menjadi pemantau dan melaporkan aktviti pembalakan dan pencerobohan yang dikira memusnahkan hutan biodiversiti.

Di kala kita berehat panjang, NGO seperti ini menyertai mesyuarat, dialog dan pertemuan dengan pihak berkuasa negeri, Jabatan Perhutanan dan pihak stakeholder yang lain.

Apa yang dikagumi adalah NGO ini mempunyai tapak projek konservasi di Hutan Segari Melintang dan Hutan Bakau Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Dew. Untuk tujuan latihan pendidikan pula, mereka lakukan di Silibin, Ipoh.

Apabila ditanya bagaimana orang awam secara individu ingin menjaga hutan dan melakukan penanaman semula pokok, respon Saudara Hafizudin,

“Untuk menanam semula pokok, ia haruslah efektif dan mempunyai nilai signifikan. Dianjurkan orang awam yang berminat tanam pokok supaya berbincang dengan NGO, di manakah paling sesuai untuk ditanam dan spesis apa yang perlu ditanam. Orang awam digalakkan membuat permaculture/urban farming bagi menghasilkan makanan sendiri daripada terlalu bergantung kepada pembelian dari Pasaraya bagi mengurangkan plastik, tenaga dan pencemaran (supply chain).”

Menurut Saudara Hafizudin, mereka banyak belajar daripada seorang pejuang alam sekitar yang sudah lama berkhidmat. Orang yang dimaksudkan itu adalah Encik Meor Razak yang meggerakkan Sahabat Alam Malaysia.

Beliau sangat aktif dalam menjaga hutan di semenanjung ini. Sering masuk hutan menaiki motorsikal untuk tujuan memantau jika ada sebarang kemusnahan dan pembalakan.
Beberapa soalan juga diajukan kepada Encik Meor Razak mengenai peranan orang awam untuk menjaga hutan. Jawab beliau,

“Sekiranya orang awam tidak dapat menyertai mana-mana program dan kegiatan yg dianjurkan oleh SAM atau NGO yang lain, orang awam yang bertanggung jawab bolehlah mengemukakan cadangan mahupun bantahan kepada pihak-pihak berkuasa yang berkenaan secara bertulis, mengemukakan kenyataan kepada media dan sebagainya. Orang awam juga boleh membantu sama ada dalam bentuk sumbangan tunai mahupun barangan yang bersesuaian.”

Beliau secara peribadi akan menyediakan satu tempat untuk projek perhutanan semula. Inilah pesanan bernilai daripada aktivis-aktivis alam sekitar tanah air ini.

Akhirnya, penulis ingin berkongsi petikan kata-kata ini untuk dihayati.

“Syeikh Shamsuddin (Sekh Aksemsettin) bukan sekadar seorang perangsang spiritual Muhammad (Sultan Al-Fateh). Beliau juga pakar dalam bidang botanis. Sehingga Imam Asy-Syaukani mengatakan beliau ini sentiasa kelihatan suka berborak dengan tumbuh-tumbuhan,” -Petikan kata-kata Ustaz Syaari Rahman di Seminar Youth Ace 2014.

Terima kasih pejuang alam sekitar dan pencinta tumbuh-tumbuhan.