Pada minggu lalu, saya telah berkesempatan berkunjung ke Turkiye untuk merasai pengalaman berpuasa di sana. Bulan Ramadan adalah bulan penuh keberkatan dan sepanjang bulan ini, boleh dikatakan semua umat Islam akan melakukan lebih banyak ibadah.

Selama 4 hari di bumi Turkiye, saya dapat melihat perbezaan suasana sambutan Ramadan di sana berbanding dengan sambutan Ramadan di Malaysia. Sebelum terlupa, saya ingin berterima kasih kepada pihak Türkiye Tourism and Development Agency atas jemputan yang cukup bermakna ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Suasana berpuasa di Turkiye

Untuk pengetahuan anda, amalan berpuasa di Turkiye adalah bergantung kepada pilihan individu dan tidak seperti di Malaysia, banyak kedai makan dibuka seperti biasa pada waktu siang dan tiada larangan makan di kedai makan tersebut.

Pukulan gendang akan didengari sebagai tanda untuk mengejutkan umat Islam bangun sahur. Malah, tempat-tempat tumpuan pelancong tidaklah ramai seperti ketika bukan bulan Ramadan kerana mungkin ramai orang memilih untuk ‘simpan tenaga’.

Ketika ini, musim bunga di Turkiye dan cuaca agak dingin. Secara jujur, disebabkan ini pertama kali saya ke sini maka saya tidak sangka bahawa cuaca akan hujan sepanjang hari dan juga sejuk sehingga menusuk ke dada.

Disebabkan cuaca agak sejuk, apabila melakukan banyak aktiviti maka akan membuatkan rasa lapar itu lebih cepat berbanding hanya duduk di bilik hotel.

Berbuka puasa style rakyat Turkiye

Jika di Malaysia, rakyat Malaysia gemar untuk berbuka puasa di hotel untuk makan buffet tetapi di sini, mereka lebih kepada konsep fine dining tetapi menyajikan makanan terkenal mereka iaitu Kebab.

Walaupun ia berkonsepkan fine dining tetapi anda akan kenyang kerana terdapat banyak side dishes yang disertakan seperti ‘Ramazan Pidesi’ ataupun bahasa mudahnya roti dan juga ‘Meze Platter’ yang mengandungi keju, kurma, buah-buahan dan banyak lagi.

Hidangan akan dilengkapi dengan manisan sama ada Baklava dan Khunafa serta dihidangkan bersama secangkir kopi Turkiye atau teh hangat.

Fungsi masjid sepanjang bulan Ramadan

Untuk pengetahuan anda, terdapat lebih 3,000 masjid di sekitar Istanbul dan kesemua masjid ini bukan sekadar hanya menyediakan ruangan solat.

Sebagai contoh, saya telah ke Masjid Taksim untuk menyaksikan masjid ini digunakan sepanjang bulan Ramadan dimana para tetamu boleh menunaikan solat dan juga berkunjung menghayati karya kaligrafi khat di dewan.

Pada waktu berbuka puasa pula, ada sukarelawan akan memberikan makanan iaitu bubur dan kurma kepada orang awam sama seperti di Malaysia.

Selepas solat terawih pula, mereka yang berada berdekatan dan juga mereka yang selesai menunaikan solat dapat menikmati lokma iaitu doh goreng secara percuma oleh polis tempatan sebagai satu usaha memberi kembali kepada masyarakat.

Pengalaman berpuasa di Turkiye

Secara jujur, disebabkan cuaca yang agak sejuk membuatkan saya cepat lapar apabila melakukan banyak aktiviti berbanding hanya duduk di hotel.

Akan tetapi, jika sudah ke Turkiye mesti tidak lengkap melakukan lawatan ke beberapa tempat menarik yang menjadi destinasi ‘must visit’, bukan?

Oleh itu, di Istanbul saya telah melawat ke Masjid Hagia Sophia dan Masjid Eyüp Sultan serta berjalan-jalan di sekitar jalan Istiklal. Saya juga telah ke Bursa dan menerokai bandar tersebut.

Saya akan kongsikan destinasi-destinasi yang saya kunjungi dalam artikel seterusnya. Nantikan dan saya harap dengan perkongsian pengalaman saya berpuasa di Turkiye ini mungkin akan membuatkan anda ingin berpuasa di sana pada bulan Ramadan akan datang.