Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Batik merupakan salah satu budaya dan jati diri bangsa Malaysia, ia adalah baju yang dicorakkan dengan pelbagai jenis reka bentuk yang melambangkan budaya dan masyarakat di Malaysia. Pakaian ini sangat popular di Kelantan, Terengganu atau Pahang.

Batik Malaysia kebanyakannya menggunakan motif flora dan jarang menggunakan motif makhluk hidup seperti manusia atau haiwan yang berhubung dengan faktor Islam sebagai agama rasmi di Malaysia yang melarang menggunakan apa saja imej makhluk sebagai hiasan.

Terbaharu, bagi membangkitkan kembali budaya dan kesenian bangsa Malaysia, Jalil Rasheed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Corporation yang baru dilantik bulan lalu mengumumkan bahawa Berjaya Corp dan seluruh anak syarikatnya akan menggunakan Batik sebagai pakaian rasmi.

Jalil dalam ciapannya di laman Twitter berkata bahawa perubahan ini melibatkan 20,000 kakitangan Berjaya Corp dan membabitkan kumpulan lelaki dan juga wanita.  Dia juga menggalakan vendor dan para pembekal untuk mengambil langkah atau polisi yang sama.

Perubahan pakaian rasmi dalam Berjaya Corp ini bukan sahaja bertujuan untuk mempromosikan budaya Malaysia, tetapi ia juga bagi membuka peluang dan ruang kepada peniaga kecil yang menjadikan Batik sebagai modal utama perniagaan mereka untuk berkembang lebih maju.

Di akhir ciapan yang dimuat naik pada hari ini, Jalil turut menitipkan harap agar polisi dan perubahan dasar dalam pakaian rasmi ini akan membuka mata syarikat lain untuk mengikut jejak langkah yang sama.

“Saya harap lebih banyak syarikat akan bergabung dengan kami dalam mempromosikan [batik] ini. Ia adalah perubahan kecil yang dapat kita buat dari perspektif korporat. Kami melakukan yang termampu,” kata Jalil di laman Twitter miliknya.

Terdahulu, Vocket melaporkan Jalil yang pernah menjawat jawatan sebagai CEO Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada tahun 2019 lalu sekali lagi menjadi pilihan syarikat besar iaitu Berjaya Corporation Bhd (Bcorp) dalam mengemudi jawatan CEO kumpulan bermula 16 Mac lalu.

Apa yang menarik perhatian ramai menerusi perlantikan Jalil Rasheed selain usianya yang masih muda untuk jawatan yang disandang, beliau juga secara tidak langsung berjaya menjadi CEO pertama Bcorp yang bukan daripada keluarga Tan Sri Vincent Tan.

Menerusi perlantikan yang dibuat, beliau ditugaskan untuk menstruktur korporat Berjaya Corp, pengurusan sumber manusia dan juga kewangan syarikat di samping memberi lebih penekanan kepada lebih banyak peluang perniagaan di bawah Berjaya Corp.

Baru sahaja dilantik sebagai CEO, Jalil Rasheed ‘borong’ 70,000,000 saham Berjaya bernilai RM20.3 juta. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Baru Sahaja Dilantik Sebagai CEO, Jalil Rasheed ‘Borong’ 70,000,000 Saham Berjaya Bernilai RM20.3 Juta

Jalil Rasheed Muncul Individu Pertama Bukan Keluarga Dilantik Sebagai CEO Kumpulan Berjaya

Baru Sahaja Seminggu ‘Borong’ Saham Berjaya, Jalil Rasheed Kini Raih Keuntungan RM8.4 Juta

 

Anda Mungkin Suka