Pengeluar kereta mainan Hot Wheels, Mattel Inc mengumumkan kerjasama dengan pengeluar kereta nasional Proton bagi mengeluarkan model skala 1:64 kereta nasional pertama negara, Proton Saga.
Lapor Harian Metro, Presiden dan Ketua Pegawai Komersial Mattel Inc Steve Totzke berkata, kerjasama itu sempena memperingati ulang tahun ke-40 syarikat itu di Malaysia.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- ‘Ibu Lebih Percayakan Scammer’ – Anak Luah Rasa Kesal Duit Lebih RM60,000 Milik Ibunya Lesap
- ‘Bankrap Bukan Pengakhiran’ – Individu Ini Kongsi Kisah Bangkit Daripada Fasa Bankrap
“Ini adalah perkongsian pelesenan yang menarik kerana kami bergabung untuk membangunkan kereta Hot Wheels, mengikut model Proton Saga asal iaitu model pertama keluaran Proton, yang kini akan menjadi sebahagian daripada koleksi peribadi Hot Wheels.
“Perkongsian ini bertujuan mempertahankan warisan kebanggaan Mattel dan Proton untuk terus menyediakan kenderaan berkualiti tinggi kepada peminat semua peringkat umur di seluruh dunia,” katanya berucap pada sambutan ulang tahun ke-40 Mattel di Bukit Mertajam, hari ini.
Menurut Totzke, Proton Saga merupakan kereta pertama daripada jenama automotif Malaysia dan sehubungan itu memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia yang membolehkan rakyat Malaysia memiliki kereta.
Model baharu Hot Wheels itu dijangka mula dijual di seluruh dunia menjelang akhir 2023.